February 24, 2009

Rekod Perakaunan PNSB Diselidik

Isnin, 23 February 2009
SHAH ALAM, 23 Februari - Ketua Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Datin Khairiyah Abu Hassan dan Pengurus Kewangan, Nora Azmin Radzuan diberi cuti bergaji selama 30 hari sementara kajian rekod perakaunan anak syarikat kerajaan negeri itu dibuat.
Pejabat Menteri Besar dalam satu kenyataan hari ini berkata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selaku Pengerusi Perbadanan Menteri Besar telah mengenal pasti beberapa kelemahan dan kesalahan dalam penyimpanan rekod perakaunan syarikat itu.
“Antara rekod-rekod yang disyaki terlibat termasuk penyerahan dokumen kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan urusniaga pembelian serta penjualan hartanah di Mekah di antara tahun 2006 hingga 2007.”

Justeru, dua individu berkenaan diarahkan untuk bercuti supaya kaji selidik dan kemaskini rekod perakaunan dapat dilakukan, seperti diputuskan Ahli Lembaga Pengarah PNSB hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, keputusan itu menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri dalam soal memantau selia, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam segala urusan pentadbiran kerajaan negeri serta semua agensi termasuk badan berkanun, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pertubuhan yang berkaitan kerajaan negeri. - NOOR ALLIA KASSIM

No comments: