PETALING JAYA: Calon bersih, parti kotor? Parti bersih, calon kotor? Lagi tidak boleh terima jika kedua-duanya kotor. Tentunya rakyat berhasrat untuk diwakili oleh individu yang bersih yang menganggotai parti juga bersih. Dalam erti kata lain calon bersih, partipun mesti bersih. Bersih atau kotor dari perspektif politik adalah jelas. Ia mudah diukur dengan ukuran-ukuran yang sedia diwujudkan di peringkat nasional, negeri dan antarabangsa. Paling minima ialah menerima pakai dasar tata kelola atau tadbir urus baik (good governance) yang mendokong prinsip-prinsip kecekapan, kebertanggungjawaban dan ketelusan (CAT – Compentency, Accountability, Transparency). Kejayaan mencapai “kebersihan” itu adalah berlandaskan sejauh mana pengamalan ketiga-tiga prinsip tersebut oleh mereka yang telah diberi kuasa menerajui dan mentadbir parti politik. Di Malaysia, parti politik yang berkuasa mempunyai pengaruh yang amat besar ke atas hala tuju agenda nasional yang menghala tujukan agenda negeri dan kesemua agenda-agenda lain yang mengesani rakyat jelata, seperti mengenakan GST, menghapus subsidi, had gaji minima untuk pekerja, kenaikan tarif elektrik, kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, menyimpan wang KWSP rakyat dengan lebih lama tanpa persetujuan rakyat ramai, hubungan antara kaum dan golongan-golongan berlainan agama, kebebasan akhbar dan perhimpunan rakyat serta segala yang lainnya. Melalui cara itu, calon-calon dalam pilihan raya adalah tertakluk kepada dasar dan prinsip serta budaya politik yang diikuti oleh parti politik yang diwakilinya. Persepsi rakyat Malaysia ialah parti-parti politik itu semuanya sama sahaja. Diperakui bahawa sebahagian rakyat kecewa dengan beberapa insiden politik dan sikap segelintir ahli politik yang bertentangan dengan harapan rakyat. Ketika ini ada dua golongan parti politik – Pakatan Rakyat(PR) dan Barisan Nasional(BN). Di antara keduanya, BN telah hampir 60 tahun memerintah Malaysia dan telah membudayakan cara hidup, corak pemikiran, politik, kepolitikan dan hubungan antara kaum yang menganuti berbagai agama di Malaysia. Keadaan atau status rakyat. Malaysia kini adalah cerminan kepada dasar dan ideologi politik BN kerana PR belum pernah memerintah negara Malaysia walaupun berpengalaman mentadbir negeri-negeri yang dimenanginya dalam plihanraya umum sebelum dan pada 2008 dan 2013. Rekod pencapaian negeri-negeri yang ditadbir oleh PR jelas menunjukkan dasar dan ideologi politik yang berbeza, walaupun pengamalannya belum memuaskan hati rakyat yang mempunyai harapan menggunung terhadap PR. Semakin tahun, bertambah meningkat bilangan rakyat yang menginginkan perubahan dalam corak pemerintahan negara yang mengamalkan CAT. Mereka telah mengalihkan pandangan kepada selain Umno-BN dan mendapati PR mempunyai potensi itu. Manifestasi visi dan misi PR dalam konteks CAT diterjemahkan dalam pentadbiran dan dasar-dasar pelaksanaan aktiviti dan program rakyat, khususnya di negeri Selangor dan Pulalu Pinang. Kesungguhan dan komitmen politik kerajaan negeri Selangor diperkukukuhkan dengan menerbit dan mewujudkan SELCAT dan Penang CAT di Pulau Pinang. Ia telah meyakinkan masyarakat antarabangsa dengan kedua negeri mencapai pelaburan asing (FDI) paling tinggi di kalangan negeri-negeri di Malaysia. Pada pilihan raya umum yang lalu, Selangor telah meraih dua pertiga sokongan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) walaupun Umno-BN telah membelanjakan wang yang sangat banyak dan memobilisasikan segala jentera komunikasi dan lainnya untuk mencemar dan menewaskan PR di negeri itu. Oleh kerana usaha yang berterusan dan komitmen kerajaan Selangor merakyatkan ekonomi dan membela rakyat dalam pelbagai aspek telah berjaya menawan hati penduduknya. Keyakinan itu menyebabkan mereka berjaya menangkis sebarang propaganda BN sama ada di media cetak atau elektronik. Bagi Kerajaan Selangor, ia suatu usaha yang tersusun dan bersifat jangka panjang untuk mencapai agenda pembangunan rakyat yang lengkap dan menyeluruh. Di antara perkara yang menguja rakyat Selangor ialah janji untuk memiliki saham-saham dalam syarikat pembekal air di negeri Selangor. Ia adalah satu contoh yang konkrit dalam merayatkan ekonomi negeri Selangor secara hakiki, yang boleh menjadi aras ukur (benchmark) kepada aras ukur CAT kerajaan-kerajaan di peringkat antrabangsa. Satu lagi fenomena CAT yang penting ialah rakyat berasa selesa dan mudah untuk membuat aduan tanpa sebarang perasaan negatif, atau rasa terancam. Maklum balas rakyat sentiasa dihargai kerana ia adalah cara untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan, aktiviti dan program-program kerajaan negeri. Perubahan budaya kerja perkhidmatan awam juga perlu berlaku bagi merealisasikan agenda reformasi. Perubahan ke arah merealisasikan CAT dalam pentadbiran negeri berlaku secara berfasa dan tentunya menghadapi berbagai rintangan dan cabaran di peringkat permulaannya kerana budaya pentadbiran UMNO-BN telah terpasak begitu lama – selama lebih setengah abad. Oleh yang demikian, parti politik pemerintah ketika ini adalah tunggak pemerintahan di Malaysia. Tidaklah bermanfaat jika calon bersih tetapi reformasi atau perubahan budaya politik partinya tidak diyakini akan berlaku bagi kepentingan rakyat jelata. Jika budaya politiknya ialah mengawal rakyat dan menakuti rakyat dengan berbagai amaran dan akta, supaya parti politik itu terus berkuasa, calon yang menganggotai parti politik yang sedemikian akan juga menganuti budaya parti politiknya yang rakus kuasa dan akan melakukan apa yang perlu bagi mengekalkan kuasanya. Rakyat ingin suatu pemerintahan yang mesra rakyat, khususnya dalam memperolehi maklumat secara bebas ketika diminta oleh rakyat, memastikan hak rakyat dalam pembahagian pendapatan negara dan negeri diurus sehingga akhirnya kualiti kehidupan rakyat meningkat dari masa ke semasa, bukan sebaliknya – Malaysia ialah sebuah negara pengeluar minyak dan kaya dengan berbagai hasil tentunya sudah mampu menjadi seperti negara lain yang sekufu yang memberikan pendidikan dan kesihatan yang percuma kepada rakyatnya serta mengurangkan kos kehidupan, khususnya dalam keperluan pengangkutan, seterusnya memelihara keselamatan rakyat dengan baik. Parti politik yang boleh diyakini hasratnya benar-benar mementingkan rakyat tidak hanya memberikan itu dan ini dalam manifestonya dalam bentuk belanjawan tetapi yang memberikan rasa selamat kepada rakyatnya dan keluarganya serta masa depan mereka. Parti politik yang boleh dipercayai ialah yang boleh dirapati untuk mendapatkan pembelaan bagi rakyat yang memerlukan dan tidak memperlakukan rakyat sebagai alat-alat untuk kepentingan agenda politik sempitnya, seperti mengenakan GST yang jelas menyusahkan rakyat. GST 6 % ini hanya permulaan. Ia boleh meningkat di masa akan datang adalah suatu ketentuan. Jika sekarang ini, perbelanjaan RM1000 akan terpaksa membayar RM60, jika 10% menjadi RM100 setiap pembelian. Jika dua belas kali atau setahun pembelian sedemikian, RM1200 akan dibayar oleh rakyat sebagai pertambahan tanpa sebarang kenaikan gaji. Parti politik yang bersih adalah yang memberikan maklumat sebenar kepada rakyatnya, sekali-kali tidak membohongi mereka. Rakyat perlu tahu apa rancangan masa kini dan masa depan untuk rakyat, bukan informasi itu diketahui, disimpan dan dimiliki oleh hanya untuk segelintir golongan yang berkuasa yang ingin memerintah untuk selama-lamanya. Parti politik yang bersih ialah yang melaksanakan CAT dengan segala kesungguhan dan menjadikan rakyat berasa selamat. Pendidikan terhadap rakyat adalah usaha yang utama untuk melahirkan rakyat, warga negara yang berakhlak, bertanggungjawab dan mengasihi sesama mereka dan terhadap para pemimpinnya. Parti politik yang bersih ialah yang tidak curang terhadap rakyat dan tidak pula mengkhianati mereka dengan pembohongan demi pembohongan dan tidak langsung menghiraukan pelaksanaan manifesto yang menjadi ikrarnya. Posted & copy by RAKYAT MARHAEN
No comments:
Post a Comment