July 31, 2010

Umno Hulu Selangor mula berkempen...walaupun tarikh pilihanraya jauh lagi

Baru lega dari PRK  Hulu Selangor. Nampak UMNo Hulu Selangor sudah mula berkempen. Signboard "haram" yang didirikan di persimpangan keluar Tol Bukit Beruntung membuktikan juga bahawa penguatkuasaan majlis daerah bersekongkol dengan pihak UMno dengan membiarkan signboard ini didirikan. Dengarlah cakap Dato Menteri Besar Selangor, pilihanraya akan  diadakan hanya bila cukup mandat yang diberikan rakyat (2013), itu pun jika diadakan, 6 bulan sebelum tu akan diberitahu awal2..

July 26, 2010

Kem spies remaja berjaya merubah kehidupan seharian..

Seramai lebih 100 peserta remaja menghadiri kem remaja anjuran kerajaan negeri selangor di bawah exco pendidikan, pendidikan tinggi dan modal insan di Kem Nur Laman Bestari, Ulu Yam pada 24 sehingga 25 Julai 2010 yang lalu. Peserta di pilih dari kawasan parlimen Hulu Selangor dan DUN Pelabuhan Klang dengan bantuan Pusat-pusat khidmat rakyat berkenaan.
Menurut Kordinator Pembangunan Modal Insan Dun Batang Kali, Shaiful Anuar Sulaiman (gambar), program ini yang di adakan dari masa kesemasa adalah sebahagian dari usaha kerajaan negeri Selangor untuk mendidik peserta mengukuhkan asas dalaman diri masing-masing. Selain dari itu, ianya akan juga melahirkan masyarakat berilmu dan beriman dimana mereka akan menggunakan ilmu tersebut di landasan yang sepatutnya.
"Kursus ini berlangsung selama dua hari satu malam dan peserta dilihat bersungguh-sungguh dan ceria melakukan aktiviti yang dijadualkan"
Program ini merupakan permulaan kepada peserta ini untuk memahami konsep Spies sebelum menyertai kursus kemantapan seterusnya. Sepanjang kursus tersebut, pendekatan yang digunakan seperti ceramah dan tanyangan media telah membantu dalam proses memahami Spies. Lima elemen Spies, spritual, fisikal, inteklektual, emosional dan sosial ini akan mendidik peserta mengukuhkan asas dalam diri mereka, melatih ketahanan fisikal supaya senantiasa cergas dan sihat membawa kepada kecerdasan intelek bagi melahirkan remaja yang berwawasan. Kursus ini kelak dapat membantu remaja mengamalkan sikap kerjasama berkumpulan bagi melahirkan generasi cemerlang.

July 22, 2010

PENDUDUK BUKIT BERUNTUNG BANTAH BUMBUNG 1MALAYSIA

Kira-kira 100 penduduk mengadakan bantahan di hadapan Blok K, Pangsapuri Sri Semarak, Bukit Beruntung kerana tidak puas hati ekoran kejadian "bumbung 1Malaysia" diterbangkan ketika ribut melanda kawasan itu petang Selasa lalu.
Bantahan yang diadakan secara aman itu berlangsung selama 40 minit bermula jam 6 petang tadi
"Kita minta Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dan kerajaan persekutuan menyiasat perkara ini. Penduduk bimbang ia akan berlaku di tempat lain (pada masa akan datang)," kata ahli majlis MDHS, Mat Rahat Ibrahim.
Bumbung itu telah diganti oleh kerajaan persekutuan ketika pilihan raya umum Hulu Selangor Mac lalu dan projek itu dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika program Juara Rakyat di Hulu Selangor sebelum itu.
Menurut laporan, sebanyak 57 blok pangsapuri kos rendah terlibat dalam projek tersebut.
Dihubungi Malaysiakini lewat petang ini, Mat Rahat yang juga penganjur bantahan tersebut berkata hanya bumbung blok itu sahaja yang diterbangkan ribut dalam kejadian Selasa lalu.
Berikutan kejadian itu, kerajaan Selangor telah mengarahkan MDHS menjalankan siasatan terhadap bumbung pangsapuri di Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa bagi menentukan sama ada ianya masih selamat.
Mengulas lanjut, Mat Rahat mendakwa perbelanjaan bumbung yang diganti termasuk perbelanjaan mengecat bagi ke semua blok di kedua-dua tempat menelan belanja lebih dari RM15 juta.

July 21, 2010

ISU PASIR - TAKLIMAT KPD MEDIA 24 JULAI 2010 8.30 PG

SHAH ALAM, 21 Julai: Syarikat milik penuh Kerajaan Selangor, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) akan mengadakan taklimat kepada pihak media mengenai industri perlombongan pasir di Selangor.
Taklimat tersebut dibuat ekoran pelbagai pertikaian dan dakwaan negatif dilemparkan kepada kerajaan Pakatan Rakyat negeri itu berhubung isu perlombongan pasir.
Program taklimat dan lawatan ke tapak perlombongan pasir itu akan diadakan pada hari Sabtu, 24 Julai ini bermula jam 8.30 pagi hingga 3 petang.
Menurut surat jemputan yang dihantar kepada media, program sehari tersebut bertujuan mendedahkan media secara lebih mendalam industri pasir di Selangor.
Petugas media turut akan dibawa melawat tapak perlombongan pasir haram di samping tapak yang diberi permit.
KKSB sebelum ini dikritik hebat berhubung isu perlombongan pasir di Selangor termasuk dakwaan monopoli lesen lombong pasir dan isu bonus kakitangan yang tinggi.
Isu tersebut juga telah membawa kepada pendengaran awam tiga hari oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) sebelum ini.
Sementara itu, Selangor telah mengeluarkan permit melombong pasir kepada 158 syarikat dan individu dari 2005 hingga 2007.
Daripada jumlah itu, sebanyak 49 permit telah dikeluarkan pada 2005, 2006 (48) dan 2007 (61).
Permit-permit tersebut dikeluarkan oleh enam Pejabat Tanah iaitu Kuala Langat, Hulu Langat, Sepang, Kuala Selangor, Petaling, Hulu Selangor dan Gombak.

July 19, 2010

PAS bersedia ambilalih kepimpinan melayu di Selangor...

SHAH ALAM – Pimpinan Pas di pelbagai peringkat termasuk akar umbi kini sudah bersedia mengambil alih saki baki amanah kepimpinan Melayu yang dipegang UMNO di Selangor untuk digantikan dengan kepimpinan Islam yang lebih adil dan meyakinkan seluruh masyarakat. Ketua Penerangan Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, Pas Selangor memberi jaminan pada orang Melayu di negeri ini agar jangan bimbang dan khuatir sekiranya UMNO hilang kuasa kerana kuasa politik itu akan kembali ke tangan pimpinan Melayu dalam Pas dan PKR yang lebih jujur dan bersih dalam memimpin agama, bangsa dan negeri ini.
Beliau berkata demikian mengulas isu cadangan kerjasama Pas-UMNO yang dimainkan media demi perpaduan dan kepentingan Melayu.
Menurutnya, isu perpaduan Melayu yang dijanjikan adalah agenda politik UMNO dan ia tidak relevan bagi Pas Selangor.
“Pas Selangor merasakan agenda ini cuba diketengahkan UMNO semata-mata untuk memecahkan perpaduan erat dalam Pakatan Rakyat (PR) khasnya di Selangor,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Menurut Roslan, sejak Mac 2008 sehingga kini, Pas Selangor semakin selesa dan begitu komited dalam memperteguh kerajaan PR Selangor yang didokong bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP lantaran menghormati mandat yang telah diberikan rakyat.
“Orang-orang Melayu di Selangor kini semakin terbuka dan dapat menerima kesungguhan dan keikhlasan pimpinan Pas dalam memimpin mereka.
“UMNO di Selangor pula semakin dipinggirkan dan tidak mustahil dengan rekod cemerlang kerajaan PR yang didokong Pas, UMNO Selangor akan terus ditolak khasnya oleh orang Melayu sendiri,” katanya.





Malam Kesenian Islam dan Pelancaran Dana Bgn Mesjid ArRahimah, Bandar Sg Buaya (17 Julai 2010- 9mlm)

Majlis Malam Kesenian Islam dan Pelancaran Dana Bangunan Mesjid ArRahimah, Bandar Sungai Buaya telah diadakan pada 17 Julai 2010 dari jam 9 mlm sehingga 12 mlm. Suasana malam itu yang dihadiri lebih 400 orang penduduk kampung di hidupkan oleh persembahan nasyid berkumpulan dari Darul Quran KKB, Kumpulan Dikir Barat, persembahan nyanyian solo oleh ajk mesjid, persembahan hadrah dan ceramah oleh Ust Khairul Anuar. Jamuan turut disediakan untuk hadirin yang datang sejak awal solat mahrib/isyak lagi. Majlis dirasmikan oleh Penyelaras Dun Batang Kali, Mohd Nashruddin Abd Aziz.

Majlis Sepetang Bersama Wargaemas - Pusat Jagaan Sejahtera, Sg Buaya

Bersama tetamu undangan, Yang Berhormat Gan Pei Nei, ADUN Rawang dan Penyelaras Dun Batang Kali, Mohd Nashruddin Abd Aziz, lebih dari 30 orang wargaemas dan penghuni Pusat Jagaan Sejahtera, Jalan Kiambangsari, Sg Buaya telah diraikan dalam satu majlis Sepetang Bersama Wargaemas semalam (17 Julai 2010, jam 3 - 5 ptg).

July 16, 2010

DEMO RAKYAT SELANGOR KONON...

Demo selamatkan rakyat selangor yang dibuat oleh pemuda selangor nampaknya memakan diri sendiri, mengutuk kerajaan negeri selangor tidak pandai tadbir negeri..kononnya..jahanam pkr, hidup rakyat..
Bagaimana dengan kenaikan harga minyak, gula, tepong hari ini?
Siapa yang tidak pandai tadbir?
Dimasa piliharaya kecil hulu selangor ada pemimpin be end yang memutar belitkan tentang air percuma diberi oleh kerajaan be end, manakala gula naik disebabkan kerajaan baru pakatan rakyat..... memang orang hulu selangor dipatahkan perubahan minda dengan pemimpin yang tidak berilmu..
Nasib baik lah ada suara keadilan, dapatlah sekolah berasrama untuk orang felda, universiti untuk anak felda, dapatlah jumpa menteri turun felda, jika tidak disebabkan isu bangkrup felda oleh suara keadilan, semua ini tidakberlaku...

sumber: www.sas-2008.blogspot.com

July 15, 2010

Perlantikan Pembangkang sebagai Pengerusi PAC di DUN Selangor

Persidangan Dewan Negeri Selangor pada kali ini mencipta sejarah bukan sahaja di sejarah politik dan sejarah demokrasi berparlimen Selangor tetapi juga di negara Malaysia.
Selepas menggubal Enakmen Kebebasan Maklumat yang pertama di Selangor, kini Dewan Negeri Selangor akan mencipta sejarah buat pertama kali berlaku di Malaysia, di mana Dewan akan meluluskan usul untuk melantik wakil daripada Pembangkang sebagai Pengerusi PAC kerana sebelum ini belum ada lagi Dewan Perundangan seperti Dewan Negeri Selangor yang melantik wakil pembangkang sebagai pengerusi PAC.
Ini akan menetapkan satu predecence baru dalam sejarah demokrasi berparlimen di Malaysia dan mencerminkan status negeri Selangor sebagai sebuah negeri yang betul-betul maju, bukan sahaja daripada fizikalnya tetapi juga dari segi sahsiah politiknya kerana ini merupakan kali pertama anggota daripada pembangkang dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam atau nama singkatannya Public Accounts Committee (PAC).
Usul ini juga mencerminkan cita-cita kerajaan Selangor untuk memastikan prinsip keupayaan, kebertanggungjawaban dan beramanah betul-betul diterap ke dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor dan bukan retorik semata-mata.
PAC merupakan salah satu jawatankuasa Dewan yang paling penting dan diberi tanggungjawab untuk menyiasat dan menyemak semua penyelewengan jabatan-jabatan kerajaan dan memastikan eksekutif bertanggungjawab terhadap Dewan melalui pengawalan perbelanjaan wang ringgit orang ramai.
Pengerusi PAC yang baru (Mohd Shamsudin bin Lias, gambar kiri) perlu menjalankan tugasnya dengan adil dan saksama.  Beliau harus mengetepikan perbezaan politiknya dan bekerja kuat dengan memartbatkan prinsip ketelusan dan beramanah dalam pentadbiran kerajaan Selangor, yakni cabang eksekutif kerajaan Selangor.
Walaupun secara kebiasaannya Ketua Pembangkang yang dilantik menjadi Pengerusi PAC, tetapi kali ini saya difahamkan wakil-wakil daripada pembangkang telah diberi peluang untuk memilih wakil mereka sendiri.  Ini menunjukkan keterbukaan Dewan Negeri Selangor dan saya berharap tradisi cemerlang ini dapat diteruskan di dalam Dewan yang Mulia ini biarpun kerajaan bertukar tangan.
Pengerusi PAC yang baru bakal menghadapi cabaran yang lebih besar.  Pengerusi baru perlu berusaha untuk membawa perubahan dalam gerak kerja dan fungsi PAC serta menjadikan struktur pentadbiran kerajaan Selangor semakin cekap tanpa mengira siapa yang memegang kerajaan.  Pengerusi baru juga perlu memastikan wang ringgit orang awam digunakan dengan sebaik mungkin demi mengelak sebarang bentuk ketirisan.
Saya (Lau Weng San, gambar kanan) turut menggesa anggota-anggota PAC yang lain serta kakitangan kerajaan memberi segala bantuan dan kerjasama yang diperlukan kepada Pengerusi PAC yang baru ini supaya beliau dapat menjalankan tugasnya dengan baik.  Jangan pula Pengerusi PAC datang daripada pembangkang maka beliau dipandang remeh.
Negara dan negeri kita sedang mengalami perubahan.  Budaya politik lapuk yang mementingkan partisan sudah semakin usang.  Keterbukaan, keupayaan, beramanah pula merupakan kata-kata keramat untuk menentukan bangun dan jatuhnya sesebuah negeri.
Saya berharap dengan perlantikan ini, Dewan-Dewan Negeri (termasuk negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat) dan Dewan Rakyat di peringkat Persekutuan akan mengikut jejak langkah Dewan Negeri Selangor ini.
Akhir sekali saya mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi PAC yang lama, iaitu YB Kajang dan tahniah kepada Pengerusi PAC yang baru, iaitu YB Sungai Burung.  Semoga PAC di bawah YB Sungai Burung akan membantu rakyat dan kerajaan Selangor ke arah mercu tanda yang lebih tinggi.
*Ucapan ADUN Kampung Tunku-DAP, Lau Weng San semasa membahas Usul Perlantikan Pembangkang Sebagai Pengerusi PAC pada 14 Julai 2010.

July 14, 2010

Saman Ekor adalah ISA kedua negara

http://episodeperjuangan.blogspot.com/
1. ISA adalah satu akta yang zalim kerana menahan dan menghukum tanpa bicara. Begitulah dengan Saman Ekor yang yang dihantar notis samannya terus memaksa penerimanya membayar saman tersebut tanpa mereka diberi peluang melalui proses pengadilan di mahkamah .
2. Jika seseorang ditahan dalam satu - satu sekatan jalanraya oleh pihak polis trafik ataupun JPJ dan kemudiannya surat saman dikeluarkan agar pemandunya menandatangani surat tersebut , pun tidak bermaksud pemandu itu mesti terus membayar saman tersebut .
3. Sebaliknya pemandu itu akan dihadapkan ke mahkamah . Tandatangan itu hanya persetujuan untuk hadhir ke pembicaraan di mahkamah pada tarikh yang telah ditetapkan dalam surat saman tersebut . Kecuali pihak pemandu mengambil langkah mahu menyelesaikan kes di luar mahkamah dengan membayar kompaun . Itu pilihan yang ada .
4. Saman Ekor jelas menzalimi pengguna jalanraya . Pihak polis seperti mengendap - ngendap atau menyorok mahu mengenakan mangsa . Lalu surat saman dihantar ke rumah dan penerima mesti membayar saman tersebut jika tidak beberapa tindakan lain akan dikenakan seperti tidak boleh menyambung roadtax dan lain - lain .
5. Sepatutnya saman tersebut tidak menghukum rakyat atau pengguna jalanraya sebaliknya membawa mereka ke mahkamah untuk diadili sebab bukan satu kes kesilapan dan kekeliruan berlaku . Apa yang penting rakyat perlukan keadilan dan peluang mereka membela diri jika mereka merasakan mereka tidak bersalah .

6. Jika pihak polis mempunyai bukti yang kukuh , maka usah dirisau kerana pesalah tetap akan dihukum atau tidak terlepas dari hukuman justeru pihak polis mempunyai bukti yang kukuh . Apa yang kita maksudkan ialah memberi ruang proses keadilan itu berlaku .
7. Perkara kedua ialah kerajaan sepatutnya mengambil langkah mendidik rakyat atau pengguna jalanraya agar memandu dengan selamat dan mematuhi peraturan jalanraya . Pengalaman saya di Jepun , setiap kenderaan dibekalkan sejenis alat mengesan kelajuan dan alat itu akan mengeluarkan bunyi siren yang kuat apabila pemandunya memandu melebihi had laju yang dibenarkan .
8. Saya difahamkan bahawa kaedah di Jerman bagaimana beberapa buah kereta peronda polis akan berada di beberapa lokasi pada kadar setiap 5 ke sepuluh kilometer sebelum satu - satu sekatan atau tindakan dikenakan kepada pengguna yang masih melanggar peraturan jalanraya . Cara itu dilihat berkesan dan mengurangkan kadar saman dikeluarkan kepada pengguna jalanraya dan pengguna juga selamat .
9. Apa yang berlaku dalam negara kita seperti pihak berkuasa mahu mengenakan pengguna jalanraya . Malah perkataan " Jerangkap Laju " itu sendiri telah menggambarkan bahawa pihak berkuasa mahu memerangkap bukan mendidik pengguna jalanraya .
10. Pengamatan saya mutaakhir ini , hampir setiap kali menghadapi pilihanraya umum akan timbul isu seperti saman ekor ini . Seolah - olah kerajaan sedang memeras rakyat untuk mendapatkan wang saku kerajaan UMNO dan BN bagi menghadapi pilihanraya umum . Malanglah jika perkara ini benar . Jika begini , Saman Ekor telah menjadi ISA kedua negara untuk terus membelenggu rakyat dengan kezaliman menghukum tanpa bicara

Ustaz Nasrudin Hassan at Tantawi,m
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

July 13, 2010

Terkial-kial di malam Final World Cup ... penyokong Holland

m

Program Spies Remaja 10-11 Julai 2010 Kem Nur Laman Bestari, Ulu Yam

Sebahagian dari 121 orang remaja sekitar Dun Btang Kali, Hulu Bernam dan Kuala Kubu Bharu telah menghadiri kem spies keremajaan di Nur Laman Bestari, Jalan Sg Tua, Ulu Yam pada Sabtu dan Ahad lepas (10-11 julai 2010).
Majlis penutup telah disempurnakan oleh Penyelaras Dun Batang Kali, Tuan Mohd nashruddin Abd Aziz, diantara lain mengingatkan pelajar tentang budaya sihat yang telah diterapkan melalui Spies kerajaan negeri Selangor, dimana peserta akan dapat dari masa kesemasa mengambil iktibar semua ilmu-ilmu yang diberikan melalui tahap-tahap yang disediakan.

Kertas puteh kutipan wang Talam Corp

Selangor akan menyediakan satu kertas putih berkaitan kutipan hutang berjumlah RM392 juta daripada syarikat Kumpulan Talam Corporation menjelang hujung tahun ini, kata menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim.
Menjawab satu soalan lisan di DUN Selangor hari ini, Khalid berkata setakat ini Selangor telah berjaya mendapatkan aset tanah berjumlah RM290 juta dan juga tunai sebanyak RM50 juta.
Hutang berkenaan kini berada bawah seliaan Menteri Besar Incorporated (MBI), katanya ketika menjawab soalan daripada daripada Janice Lee (DAP-Teratai)."Saya memang menunggu permintaan tersebut (kertas putih) sebab saya nak tulis satu kes lagi macam mana tanah ini beri sewenang-wenangnya kepada orang.
"Kertas putih yang dikehendaki mesti sudah ada perjanjian yang kita lakukan. Sekarang kita sedang kumpul perjanjian tersebut. Hasil dari kertas ini kita akan hasilkan pada hujung tahun ini untuk jadi asas perbincangan masa depan," kata Khalid.
Tambahnya, beliau memerlukan masa untuk meneliti keputusan yang dibuat oleh exco Selangor berkaitan tanah yang diberikan kepada Kumpulan Talam sebelum ini, bagi menghasilkan kertas putih tersebut.
"Saya dapati banyak yang dinyatakan tidak ditulis dengan baik. Keputusan exco (sebelum ini) agak terlalu longgar, dipersetujui untuk diberi kepada orang ini, (tetapi) sebabnya tak ada," katanya lagi.

July 07, 2010

Piala Dunia: Separuh Akhir : Uruguay 2, Belanda 3..Belanda Layak Ke Akhir Buat Kali Ke 3

Belanda memperagakan aksi mantap pada separuh masa kedua dan mara ke perlawanan akhir Piala Dunia buat kali ketiga selepas mencatat kemenangan 3-2 ke atas Uruguay awal pagi tadi. Belanda mendahului menerusi gol V Bronckhorst pada minit ke-18 sebelum Forlan menyamakan kedudukan untuk Uruguay pada minit ke-41. Jurulatih Belanda, Bert van Marwijk kemudiannya menggantikan Demy de Zeeuw dengan memasukkan Rafael van der Vaart dan ia membuahkan hasil selepas Sneijder pada minit ke-70 serta Arjen Robben berjaya menambah gol pada separuh masa kedua untuk memberi kedudukan selesa kepada Belanda. Uruguay memperoleh gol kedua selepas dua minit masa kecederaan hasil jaringan Maximiliano Pereira. Sneijder yang bermain cemerlang sepanjang kejohanan ini dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan. Belanda akan menetang sama ada Jerman atau Sepanyol pada perlawanan akhir untuk menentukan juara Piala Dunia 2010.

July 06, 2010

Anwar Pertahankan Kg. Baru

Kg Baru penuh nostalgia. Jadi jangan gadaikannya demi pembangunan. Buat UMNO, hentikan polemik murahan anda. Penduduk kg baru pula jangan mempercayai cakap UMNO yang menipu..
Anwar minta Kg Baru jangan terpedaya janji manis BN
Anwar mahu masyarakat Kg baru bukan BN menentukan masa depan kawasan.
KUALA LUMPUR, 6 Julai — Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru penduduk Kampung Baru di sini gar tidak terpedaya dengan janji manis ditawarkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mengetengahkan pelan untuk membangunkan kawasan eksklusif orang Melayu itu baru-baru ini.
Beliau berkata, penduduk jangan sesekali terperangkap dengan tawaran yang dibuat BN sehingga menyebabkan tanah di kawasan tersebut dijual untuk projek pembangunan.
Kata Anwar, sebelum ini Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin pernah menyebut projek pembangunan di Kampung Baru dimajukan dengan pemilikan hartanah 60 peratus orang Melayu dan 40 peratus kaum lain, tetapi bila penduduk membantah cakap pula 100 peratus milik orang Melayu.
"Saya tanya kepada Lim Kit Siang (Penasihat DAP), adakah beliau berhasrat untuk memiliki tanah Kampung Baru?
"Beliau kata tidak, jadi saya nak tanya orang Cina pun tidak minta mengapa BN bersungguh-sungguh untuk memberikan 40 peratus hak kepada bukan Melayu?
"Apa punya otak orang BN, semua pikir duit sahaja. Ada tanah semua nak jual, jangan harap puak ini nak uruskan pembangunan Kampung Baru kerana nanti akibatnya macam cerita Pendekar Bujang Lapok RM40,000 untuk kamu, RM400 juta untuk aku (kerajaan BN)," katanya ketika berucap pada Forum Keamanan Gaza di Gombak dekat sini malam tadi.
Turut hadir dalam ceramah itu Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, Pengarah Strategik PKR Tian Chua, Ahli Majlis Pimpinan PKR Datuk Dr Tan Kee Keong, Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar Mohd Akin, Timbalan Ketua AMK Fariz Musa dan sukarelawan Gaza Mustafa Mansur.
Forum anjuran AMK Wangsa Maju itu dihadiri kira-kira 500 orang.
Raja Nong Chik sebelum ini dilaporkan bercadang supaya pembangunan hartanah berdasarkan nisbah 60:40 antara Bumiputera dan bukan Bumiputera di kawasan itu.
Beliau berkata kerajaan tidak memaksa pemilik tanah Kampung Baru untuk menerima cadangan membangunkan hartanah berdasarkan kuota 60:40 bagi Bumiputera dan bukan Bumiputera.
Namun cadangan tersebut ditolak pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru yang bersetuju dengan cadangan pembangunan semula kampung itu yang akan mengekalkan 100 peratus hak milik Bumiputera.
Selain itu, Lembaga Pentadbiran Petempatan Pertanian Melayu (MAS) Kampung Baru juga membantah cadangan tersebut.

Anwar mencadangkan supaya hal-hal berkaitan pembangunan Kampung Baru diserahkan kepada penduduk di kawasan itu yang dianggapnya layak untuk menguruskannya sendiri.
"Di Kampung Baru semua ada, kontraktor pun ada jadi mereka layak untuk menguruskan perancangan untuk pembangunan kawasan tersebut.
"Biar mereka buat sendiri, uruskan sendiri cara bagaimana mereka mahu membangunkan Kampung Baru. Selain itu mereka juga boleh lantik Dr Lo’ Lo’ Ghazali (Ahli Parlimen Titiwangsa) sebagai penasihat mereka," katanya.
Kampung Baru mempunyai keluasan 122.93 hektar dan berdasarkan penilaian yang dilakukan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta pada Mac 2007 membabitkan 54.4 hektar, kadar yang ditetapkan bagi satu kaki persegi untuk tanah kediaman ialah antara RM270 hingga RM300 dan RM500 hingga RM600 untuk satu kaki persegi bagi tanah perdagangan.
Selain kerajaan BN, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim juga berhasrat mengemukakan cadangan pembangunan semula Kampung Baru memandangkan beliau telah merangka beberapa alternatif kepada Kerajaan Pusat berhubung pembangunan semula kampung berkenaan 15 tahun lalu.
Cadangan tersebut dikatakan mengambil kira semua isu yang terlibat terutama hak milik kekal orang Melayu, masalah pembahagian tanah serta mewujudkan pembangunan yang setaraf dengan kawasan berdekatan.

Posted by Hisyamuddin Che
http://www.sas-2008.blogspot.com/

July 05, 2010

HITEA QUALITY HOTEL SHAH ALAM AHAD 4 JULAI 2010

Bersama Pak Kudus Tg Karang, pejuang keadilan era reformasi 98
kenangan bersama Shamsul Astro Gaza photographer.

July 04, 2010

MENGAPA HISHAMUDDIN NAK HAIRAN....


Nampak tak siapa dibelakang Raja Petra??

Bernama melaporkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata jika Zaid, anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR, seorang yang bertanggungjawab, beliau akan memberi penjelasan kepada rakyat apa hubungannya dengan pengendali portal berita Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin.

Kononnhya menurut Hishamuddin "Kita memang tertanya-tanya, dalam pada kita tercari-cari di mana Raja Petra, semalam kita lihat gambar Zaid bersamanya, jadi siapa sebenarnya di belakang Raja Petra?

Aku rasa yang tertanya-tanya dimana Raja Petra sekarang hanyalah Hishamuddin seorang kerana kebanyakkan rakyat Malaysia yang mengikuti Malaysia Today telah tahu yang Raja Petra kini berada di England setelah beliau menyiarkan gambarnya dihadapan Scotland Yard beberapa bulan yang lalu..

Dan Dato Zaid Ibrahim juga telah menjelaskan kepada kita akan hubungannya dengan Raja Petra, sebagai kawan. Kawan yang tidak meninggalkan kawan yang berada didalam kesusahan, sila baca di SINI

Hishammuddin juga berkata pihak berkuasa tidak mempunyai laporan bagaimana Raja Petra ke luar negara sedangkan pasportnya telah diserahkan.

"Apa pasport yang dia guna pun kita tak tahu. Kalau nak bawa dia balik dari England pun, kita kena bekerjasama dengan polis UK (United Kingdom) tapi sekarang ni jelas mereka tidak akan bekerjasama dengan kita," katanya.

Apa yang nak dihairankan Hishamuddin ooiii... Rakyat Indonesia, Rakyat Bangladesh, Rakyat Thailand, Rakyat Myanmar dan lain -lain negara ramai yang boleh masuk dan bekerja secara haram di Malaysia ini.. kalau beribu-ribu orang tu boleh keluar dan masuk begitu mudah.. Raja Petra dan Keluarganya apalah sangat..

July 03, 2010

Tak Nak Judi di Mesjid Negara petang tadi (3 julai 2010)

KUALA LUMPUR - Gerakan Rakyat Mansuhkan Judi (GMJ) mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada kira-kira 2,000 orang peserta yang hadir menyokong Himpunan Rakyat 'Tak Nak Judi' yang diadakan di perkarangan masjid negara hari ini. Setiausahanya, Suhaizan Kayat berkata peserta yang datang untuk berhimpun adalah manusia-manusia yang berani kerana menolak judi. Katanya, himpunan pada hari ini adalah diadakan untuk melancarkan kempen 'Tak Nak Judi' yang akan digerakkan ke seluruh negara.
Menurutnya, himpunan ini juga diadakan adalah bagi mendesak kerajaan Malaysia supaya mendidik rakyat membenci judi.

Keadilan sedia ke mahkamah..

KUALA LUMPUR, 1 Jul – KEADILAN hari ini menegaskan parti tidak akan melayan tuntutan RM200 juta dan tidak akan memohon maaf seperti yang dituntut oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) berhubung laporan ‘Felda Bankrap’ yang isiarkan dalam lidah rasmi, Suara Keadilan lebih seminggi lalu.


Naib Presiden KEADILAN, Sivarasa Rasiah berkata pihaknya bersedia ke mahkamah bagi mengemukakan segala bukti terhadap pendedahan yang dilakukan itu.

“Pendirian kita jelas, memang kita tidak akan layan dan kita akan jawab di mahkamah. Tindakan tersebut sangat kita alu-alukan dan inilah peluang untuk kita lakukan pendedahan terhadap penyelewengan yang berlaku di dalam Felda.

“Berhubung perkataan bankrap maksud kita jelas bahawa penyelewengan berlaku sehingga menjejaskan kewangan Felda, selain fakta yang diberikan oleh menteri terbabit boleh membawa Felda ke arah bankrap.

“Pelaburan dilakukan terhadap pembinaan bagunan baru Felda yang membabit kos yang tinggi itu juga satu pembaziran yang besar dan tidak akan dapat dimanfaatkan oleh peneroka begitu juga pelaburan di luar negara terutamanya di Amerika Syarikat.

“Tujuan kita jelas ingin membawa Felda kepada satu perubahan terhadap pentadbiran yang dilihat mempunyai kepentingan sesetengah pihak, sepatutnya Felda mengambil keputusan menjelaskan perkara tersebut bukan kepada tindakan tuntutan saman,” kata Sivarasa kepada Suara Keadilan di parlimen petang tadi.

Beliau mengulas mengenai tuntutan ganti rugi Felda terhadap KEADILAN, penerbit Pelita Koridor Sdn Bhd serta Percetakan NPK Sdn Bhd.

Sebelum ini Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata pada sidang media di parlimen bahawa peguam Felda telah menghantar notis tuntutan saman fitnah kepada ketiga-tiga penama tersebut.

Kata Ahmad sekiranya tuntutan itu gagal ditunaikan dalam masa tujuh hari bermula hari ini, Felda akan membawa kes tersebut ke mahkamah.- SUARA KEADILAN

July 01, 2010

ANWAR MANGSA LOBI ZIONIS

Julai 01

Kunjungan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Amerika Syarikat beberapa hari lalu bukanlah untuk 'memujuk' Yahudi, sebaliknya bagi menyampaikan ucapan berhubung Islam dan demokrasi di Asia Tenggara, kata ketua penerangan PKR.

Latheefa Koya (kiri) berkata perkara itu telah dijelaskan kepada pemimpin parti itu dalam mesyuarat majlis pimpinan pusatnya di Shah Alam Ahad lalu.

"Bukan untuk pujuk Yahudi. Beliau juga pergi untuk bertemu dengan anak lelakinya yang sedang menuntut di sana," katanya ketika diminta mengulas laporan bahawa ketua umum PKR itu berkunjung ke luar negara bagi 'menjernihkan' hubungan dengan kelompok tersebut.

Utusan Malaysia melaporkan, tindakan itu ekoran Anwar dikatakan membuat kenyataan yang dilihat beliau anti-Yahudi dalam isu firma perunding APCO Worldwide baru-baru ini.

Memetik tulisan dalam Washington Post, akhbar Umno itu melaporkan Anwar meluangkan banyak masa untuk menawarkan penjelasan kepada rakan-rakan lama beliau termasuk pengerusi jawatankuasa luar negeri, Howard Berman dan beberapa pemimpin Yahudi.

Malah, Anwar dalam tulisan itu juga dikatakan menyesal menggunakan istilah seperti "pencerobohan Zionis," yang biasanya digunakan oleh Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Latheefa berkata, Anwar telah menjelaskan kepada pemimpin PKR bahawa dalam pertemuannya dengan pemimpin negara kuasa besar itu, beliau mengambil peluang menjelaskan perbezaan istilah "Yahudi" dan "Zionisme" seperti yang digunakan dalam konteks Malaysia.

Ini kerana, kata Latheefa, sikap anti-Yahudi adalah satu bentuk rasis kerana Yahudi itu mewakili bangsa sesuatu kaum.

'Mereka American'

"Anwar jelaskan bahawa beliau bukan anti-Yahudi tetapi anti Zionis," katanya yang menyifatkan pemimpin nombor satu Pakatan itu menjadi mangsa lobi Zionis di Amerika Syarikat yang terlalu luas.

"Beliau tak pernah minta maaf kerana mengkritik Zionis."

Latheefa juga menjelaskan pertemuan Anwar dengan pemimpin-pemimpin tertentu di luar negara hanyalah atas dasar "pertemuan pemimpin Malaysia dan Amerika".

"Mungkin kebetulan mereka Yahudi. Tetapi ini bukan isu, mereka American (orang Amerika)," katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Md Akin (kanan) pula menyifatkan laporan Utusan Malaysia hari ini berniat jahat dan bagi menggambarkan Anwar pro-Yahudi.

"Mereka tidak faham seluruh artikel (dalam Washington Post) dan tidak membacanya dengan penuh teliti," katanya.

Katanya, jika dinilai berdasarkan tindakan Anwar mengkritik keganasan Israel dalam insiden berdarah flotila Mavi Marmara, jelas bahawa Anwar konsisten menentang keganasan Zionisme.

Ditanya tentang laporan bahawa Anwar dikatakan menyesal menggunakan istilah "pencerobohan Zionis", Shamsul yang juga ketua majlis pimpinan PKR Melaka menjelaskan:

"Saya tidak rasa artikel dalam Washington Post itu ada menggunakan perkataan kesal."

Terkini 8.00pm, dari SPRM Putrajaya

Tepat jam 7.30 petang tadi, menjelang solat maghrib ADUN Sri Muda Shuhaimi telah selesai di soal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Untuk maklumat semua, kedua-dua YB Shuhaimi dan YB Ameruddin Shaari dipanggil sebagai saksi dan bukan suspek dalam kes belum diketahui lagi

KEMPEN TAK NAK JUDI DITERUSKAN - 3 JULAI SABTU 2 PTG MESJID NEGARA


Setelah rakyat mendapat kejayaan mendesak kerajaan membatalkan lesen judi sukan pada 25hb Jun 2010 maka rakyat perlu pergi ketahap kedua Kempen Tak Nak Judi yang akan dilancarkan pada 3hb Julai 2010 pukul 2 petang di Masjid Negara.

Nama Kempen Tak Nak Judi adalah dicadangkan sendiri oleh seorang yang berbangsa cina bernama Sdr. Ng Yap Hwa daripada Pusat Pembangunan Kebudayaan Lim Lian Geok (LLG).

Dato’ Dr. Toh Kin Woon Bekas Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang daripada Parti Gerakan sekarang ini menjadi Pengerusi Pusat Pembangunan Kebudayaan Lim Lian Geok (LLG) berpendapat judi bukanlah budaya masyarakat cina. Sdr Thiagarajah Sokalingam daripada Tamil Foundation juga berpendapat judi boleh meruntuhkan masyarakat dan negara.

Mr Tom Grey, Presiden Persekutuan Lesen Perjudian Kebangsaan, Amerika telah membuat kajian bahawa jika kerajaan mendapat $1.00 pendapatan daripada judi maka kerajaan kehilangan $1.9 kos pembayar cukai untuk mengatasi masalah yang berlaku kesan daripada judi seperti jenayah, bengkrap, ketagihan, keruntuhan rumah tangga dan lain-lain.

Antara kejayaan kempen pertama Gerakan Rakyat Membantah Judi(GMJ) selain daripada pemansuhan judi sukan adalah semua bangsa dalam negara ini boleh bersetuju bahawa judi adalah suatu nilai yang tidak baik dalam negara.

Dalam menuju sebuah negara yang maju, aman dan damai Malaysia perlu bebas untuk menolak nilai-nilai yang tidak baik seperti rasuah, salahgunakuasa, pembaziran, jenayah, perjudian dan lain-lain lagi.

Tahap kedua Kempen GMJ ini adalah untuk mendidik masyarakat membenci judi melalui Kempen Tak Nak Judi. Oleh kerana telah lebih 50 tahun negara ini menghalalkan judi maka pendekatan berhikmah diperlukan untuk memisahkan judi daripada kehidupan masyarakat yang tegar terhadapnya. GMJ memahami usaha ini bukanlah sesuatu yang mudah.

Ia perlu suatu keazaman yang tinggi daripada semua anggota masyarakat, NGOs, parti politik dan pihak kerajaan. Kita jangan pandang kebelakang lagi dalam mempastikan rakyat dan negara bebas daripada amalan berjudi.

Pemansuhan lesen judi sukan yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri membuktikan adanya persaingan antara kuasa rakyat untuk menghindar diri daripada judi dengan syarikat judi yang mahu mempertahankan perniagaanya.

Kedua-dua pihak mendesak kerajaan menjayakan cita-cita masing-masing. Kerajaan Barisan Nasional(BN) dilihat berpihak kepada siapa yang lebih kuat . Ini bermakna jika rakyat lemah memperjuangkan pembebasan judi dalam negara maka kesempatan ini akan diambil oleh syarikat judi untuk mengembangkan sayap perniagaanya. Inilah realiti yang harus difahami oleh rakyat Malaysia.

Oleh itu rakyat Malaysia sudah tiada punya pilihan lagi kecuali bersungguh-sungguh menyelamatkan negara ini daripada aktiviti judi. Maka kehadiran rakyat Malaysia dalam Kempen Tak Nak Judi di Masjid Negara pada hari sabtu 3hb Julai 2010 jam 2 petang adalah sangat penting bagi membuktikan keazaman kita semua.

Janganlah keazaman syarikat judi mempertahankan perniagaannya lebih kuat daripada keazaman rakyat membenci judi. Kalau kita tiada keazaman ini dikuatiri kita macam menyokong judi dalam negara.

Suhaizan Bin Kaiat
Setiausaha
Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ).