
Kempen
Pas di Kuala Besut yang berslogankan 16-16 Terengganu Baru semakin
menimbulkan kebimbangan kepada UMNO dan BN. Terlihat bahawa mereka amat
bimbang kiranya perkara itu menjadi kenyataan. Di hari-hari terakhir ini
isu itu menjadi percakapan semua orang dan mungkin menusuk ke dalam
kalbu para pengundi.
Selepas Najib Presiden Pas, Husam Musa
menyatakan keddudukan seri tidak akan menggugat kerajaan BN di
Terengganu sebaliknya hanya menjadikan Pas mempunyai suara yang lebih
kuat untuk memastikan kepentingan rakyat terpelihara dan kemudian
diikuti dengan kenyataan Presiden Pas bahawa parti itu tidak mahu
jawatan Menteri Besar, kebimbangan para pemimpin UMNO mulai menyerlah.
Sebelum
ini dilontarkan persepsi bahawa Pas ingin memenangi Kuala Besut kerana
mengidamkan kerusi Menteri Besar dan kedudukan 16-16 akan dijadikan
laluan ke arah itu. Rupa-rupanya Pas tak ingin jawatan Menteri Besar,
mereka hanya mahukan lebih kuasa untuk menjaga kepentingan rakyat
terutam kerana negeri itu merupakan negeri yang kaya dengan royalti
minyak.
Menjelang hari-hari terakhir kempen sebelum pembungan
undi pada 24 Julai, semakin ramai pemimpin dan menteri UMNO datang ke
Kuala Besut. Semuanya bercakap tentang 16-16 dan Terengganu seri.
Pelbagai hujah dan analogi dilontarkan kepada pengundi Kuala Besut agar
tidak terpedaya dengan kempen Pas mengenai kedudukan 16-16 dalam DUN
Terengganu serta hujah-hujah sampingan lainnya.
Zahid Hamidi
mengingatkan pengundi agar jangan terpedaya dengan perangkap Pas
mengenai 16-16, sambil mengingatkan kedudukan DUN Terengganu yang
mungkin tergantung kerananya. Muhyiddin, Ahmad Maslan, KJ, Idris Jusoh
dan lain-lain pemimpin yang kerap turun ke Kuala Besut juga bercakap isu
yang sama. Mereka mahu kedudukan 16-16 dielakkan dan dikekalkan
kedudukan 17-15 dengan terus memberi kemenangan kepada calon BN.
Hakikatnya,
kempen untuk menjadikan Terengganu seri mula mendatangkan kerisauan
kepada UMNO dan BN. Bukan saja curahan projek dan pembangunan melimpah
di Kuala Besut, dijangkakan juga kebanjiran pemimpin UMNO daripada Kuala
Lumpur akan turut berlaku di hari-hari terakhir kempen ini.
Jika
mengikut laporan media, sehingga semalam saja sudah sejumlah RM337 juta
projek dicurahkan di Kuala Besut yang meliputi peruntukan daripada
Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pelajaran, Kementerian Pertanian,
kerajaan negeri Tengganu dan Syarikat Perumahan Negara Berhad.
Dengan
lebih ramai menteri dijangka turun, bermakna akan ada lagi projek
tambahan untuk Kuala Besut. Nilainya mungkin mencecah atau melebihi
RM500 juta. Limpahan dan curahan projek ini, walau apa pun tafsirannya,
ia adalah menguntungkan penduduk Kuala Besut.
Bayangkan, belum
pun kedudukan Terengganu seri dicapai, sudah begitu banyak projek
pembangunan dan wang dicurahkan. Tentulah jika kedudukan seri 16-16
dijadikan kenyataan, lebih banyak lagi wang akan dicurahkan, bukan saja
untuk Kuala Besut tetapi juga untuk seluruh negeri Terengganu.
Walaupun
mengikut rakan-rakan yang pergi ke Kuala Besut, keadaan kempen agak
tenang tetapi mereka juga tidak berani menjangkakan secara pasti siapa
yang akan menang ketika ini. Mood pengundi bila-bila masa boleh berubah
dan sesuatu yang diluar jangkaan tidak mustahil boleh berlaku.
Hakikatnya, BN tidak boleh terlalu yakin dan Pas pula tidak seharusnya mudah putus harapan.
Namun
jika pengundi bijak dan berfikir secara menyeluruh untuk kepentingan
rakyat Terengganu, menjadikan kedudukan seri 16-16 tidak seharusnya
diabaikan begitu saja. Rahmat dan nikmatnya untuk rakyat sudah nyata di
depan mata sekarang ini dan ia akan berganda lagi di masa-masa akan
datang kiranya kedudukan 16-16 itu benar-benar berlaku.
Dalam
usaha mempertahankan kuasa dan kerajaannya, seluruh Terengganu pasti
akan meriah dengan pelbagai projek pembangunan dan menaikkan taraf
kehidupan rakyat.
Seperti kata rakan yang baru pulang dari Kuala Besut, Terengganu seri, rakyatnya pasti berseri-seri...