February 10, 2014

ANDA FIKIR TS KHALID TIDAK BIJAK BERPOLITIK ?


Sejak Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang disengajakan, ramai di kalangan ahli PKR yang menyokong dengan hujah bahawa langkah tersebut terpaksa dilakukan kerana kelemahan berpolitik Tan Sri Khalid Ibrahim, menteri besar Selangor.
Mereka memuji Khalid hebat dalam pentadbiran, tetapi pada masa yang sama, mengeji beliau tidak mahir berpolitik.
Apakah betul dakwaan mereka?
Menaikkan rizab Selangor
Mari kita bermula dari 2008. Khalid dilantik menjadi menteri besar Selangor dan mendapati kerajaan Selangor yang kaya sebenarnya miskin. Duit kerajaan entah ke mana meskipun Datuk Seri Dr Khir Toyo boleh memiliki mahligai di Shah Alam.
Tiada jalan lain bagi Khalid. Sama ada beliau mencari jalan untuk meningkatkan pendapatan kerajaan negeri Selangor ataupun beliau merayu dan membiarkan diri diperas ugut daripada segi kewangan oleh kerajaan persekutuan yang masih di bawah Umno.
Bagi Khalid, untuk melawan kemaraan dan kacauan Umno di Selangor, kerajaan Selangor Pakatan Rakyat mesti mempunyai dana yang bukan sekadar cukup, malah menggerunkan lawan.
Oleh itu, tidak susah untuk memahami mengapa Khalid sentiasa mewar-warkan jumlah rizab kerajaan Selangor kepada umum. Ia adalah strategi politik serampang dua mata, pertama mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat bahawa Selangor sedang ditadbir dengan baik, dan kedua ditujukan untuk Umno, bahawa kerajaan negeri Pakatan Rakyat mempunyai dana yang cukup untuk berperang dengannya sekiranya mereka melakukan apa-apa.
Meningkatkan rizab kerajaan negeri Selangor adalah satu langkah politik untuk menyekat sebarang peluang Umno untuk merampas kembali Selangor.
Hanya dengan rizab yang menggerunkan, Putrajaya tidak berani melakukan sabotaj berbentuk kewangan pada kerajaan negeri Selangor kerana ia tahu kerajaan Selangor mampu menyelesaikannya.
Ia dilakukan dengan baik oleh Khalid apabila beliau melawan sabotaj Umno menggunakan isu kutipan sampah melalui pembelian sendiri jentera pengurusan sampah.
Untuk membolehkan rakyat melupakan Umno di Selangor dan hanya teringat kepada Pakatan Rakyat, Khalid memberikan air percuma 20m3 setiap bulan kepada rakyatnya.
Pemberian air percuma ini menjadi satu mercu tanda kecemerlangan pentadbiran Khalid, kerana rakyat tidak pernah menikmati kemewahan ini semasa Umno-BN mentadbir.
Kerana air percuma ini, rakyat juga merasakan Selangor ditadbir dengan baik kerana rizab semakin meningkat sehingga mampu memberikan air percuma yang selama ini tidak mampu diberikan oleh kerajaan Umno-BN.
Air percuma ini pada kulitnya dilihat sebagai satu usaha berkebajikan Khalid, tetapi di sebaliknya, ia sebenarnya dicatur dengan penuh teliti yang merangkumi kehebatan ilmu strategik politik Khalid.
Lantikan Khusrin, gaji, istana
Sebagai seorang bekas CEO satu syarikat yang besar, setiap tindakan Khalid akan dilakukan dengan penghujungnya “apakah kesudahan yang diinginkan.”
Khalid perlu memastikan setiap langkah taktikalnya menguntungkan kerajaan negeri dan juga rakyatnya meskipun berdepan dengan keadaan yang amat sukar. Situasinya mesti win-win, atau win-lose, tapi lose untuk pihak lain.
Selain itu, Khalid juga dilihat sentiasa mengelakkan diri dan kerajaan negeri daripada bertembung dengan pihak istana.
Khalid belajar daripada episod bantahannya terhadap pelantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan negeri Selangor.
Ketika itu, walaupun Khalid membantah pelantikan Khusrin yang dilakukan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) tanpa merujuknya terlebih dahulu, tetapi beliau tetap menghadirkan diri ke majlis angkat sumpat Khusrin atas alasan menghormati Sultan Selangor.
Daripada segi politik, Khalid memahami sekiranya beliau memulau majlis angkat sumpah tersebut, ia akan dilihat sebagai mengisytihar perang dengan istana.
Apakah kebaikan atau keuntungan yang boleh dicapai dengan berperang dengan istana? Tiada, malah ia merugikan kerana langkah itu akan memberi laluan untuk Umno mempertingkat serangan dan menjejaskan sokongan pengundi Melayu kepada Pakatan Rakyat.
Oleh itu, Khalid akur dengan lantikan Khusrin meskipun dalam protes kerana menjaga hubungan baiknya dengan istana perlu diutamakan bagi mengelak gangguan tidak perlu terhadap kerja beliau sebagai MB Selangor. Langkah sedemikian juga mengelakkan beliau dan seluruh kerajaan negeri daripada terperangkap dalam permainan Umno.
Berbalik ke waktu ini, ramai yang mengecam tindakan Khalid menaikkan gaji exco, speaker, timbalan speaker dan beliau sendiri sebagai menteri besar pada skala yang besar.
Walaupun panas pada awal isu ini terletus, tetapi akhirnya, isu gaji tinggi di Selangor sebenarnya berpihak kepada kebijaksanaan politik Khalid.
Gaji yang tinggi melambangkan kemakmuran pentadbiran Selangor. Gaji MB lebih tinggi daripada PM sebenarnya satu kemenangan untuk Pakatan Rakyat, kerana ia menunjukkan Selangor ditadbir jauh lebih baik daripada Putrajaya sehingga membolehkan keadaan itu berlaku. Meskipun Umno-BN mentadbir untuk 5 dekad lamanya, mereka masih tidak mampu berbuat demikian.
Khalid juga tidak mahu apa yang berlaku semasa pentadbiran Umno-BN berlaku di zaman Pakatan Rakyat iaitu ahli politik termasuk exco merekacipta projek dan menceburkan diri dalam aktiviti untuk menambah sumber pendapatan diri dan keluarga kerana kesempitan wang. Situasi inilah menjadi baja kepada suburnya masalah kronisme, salah guna kuasa, projek rundingan terus dan rasuah di dalam pentadbiran Umno-BN.
Apakah jalan keluar untuk mengelakkan perkara ini berlaku? Bagi Khalid, memberikan gaji yang setimpal kepada mereka adalah jalan keluar paling mudah dan logik. Walaupun dari luar kenaikan gaji yang dicadangnya kelihatan lumayan, sebenarnya gaji itu adalah setimpal dengan kecemerlangan kerajaan negeri Selangor.
Jais, isu Allah dan PKNS

Dalam isu kemelut agama pula, Khalid sebagai MB Selangor menghadapi dua ujian politik yang besar, kedua-duanya melibatkan tindakan Jais.
Pertama ialah serbuan Jais ke gereja DUMC dan yang kedua ialah serbuan Jais ke Persatuan Bible Malaysia (PBM) untuk merampas Bible berbahasa Melayu.
Khalid sudah tentu sedar isu Allah ini bukanlah isu akidah, kerana sekiranya ia adalah isu akidah, sudah tentu hukumnya meliputi semua negeri di Malaysia.
Namun, apabila ada sesetengah negeri dibenarkan kerajaan untuk menggunakan Allah dan sesetengah negeri tidak, sudah pasti isu Allah pada pandangan Khalid menjadi satu isu politik.
Isu Allah tidak pernah reda, dan malah makin buruk apabila ahli politik, para peguam dan media daripada kedua-dua belah terus menghangatkan suasana dengan menegaskan pandangan masing-masing mengenai penggunaan nama Allah.
Penganut Kristian terus menggesa pemimpin bukan Islam daripada PR untuk bersuara mempertahankan hak mereka. Mereka juga mengharapkan pemimpin Melayu PR bersuara untuk pihak mereka menggunakan fakta sejarah dan sudut perlembagaan.
Pihak satu lagi pula, mereka terus bertegas bahawa Allah adalah hak milik eksklusif orang Islam dan tidak boleh digunakan oleh penganut agama lain.
Perkara ini menjadi lebih rumit, apabila kajian UMCEDEL dan Merdeka Centre menunjukkan lebih daripada 75% orang Islam di Malaysia berpendapat bahawa Allah adalah hak milik eksklusif orang Islam.
Oleh itu, apakah kesudahan yang diharapkan daripada kemelut Allah ini?
Dalam isu Allah, situasi apakah yang paling menguntungkan Pakatan Rakyat dan pada masa sama menghalang Umno terus mengambil untung politik daripada segi menjauhkan pengundi Melayu pedalaman daripada mendekati Pakatan Rakyat?
Itu yang menjadi pertimbangan Khalid. Khalid sedar isu Allah sudah menghampiri tahap tiada penyelesaian, maka apa yang boleh dilakukannya ialah mengelakkan diri dan kerajaan negeri daripada menambah minyak pada isu yang tengah membara.
Ini dilakukan oleh Khalid dengan mengambil sikap pasif terhadap isu tersebut.
Khalid tahu mengheret kerajaan negeri ke kemelut Allah adalah satu tindakan tidak bijak. Isu Allah ini sepatutnya masalah kerajaan persekutuan, dan tiba-tiba kini ia cuba dijadikan seolah-olah ia masalah Selangor kerana tindakan Jais seperti cara Umno melontarkan kentang panas isu Allah ini kepada PAS.
Apakah kesudahan yang boleh diharapkan jika Khalid membawa kerajaan negeri untuk berperang dengan satu agensi di bawah kuasa sultan? Tiada, kerana 75% orang Melayu tidak bersetuju dengan nama Allah digunakan oleh agama lain, sudah tentu berperang dengan Jais dan Mais tidak akan menyelesaikan kemelut ini.
Berpihak kepada mana-mana pihak akan menyemarakkan keadaan. Langkah yang boleh diambil oleh Khalid ialah meredakan keadaan.
Bagaimana untuk meredakan keadaan? Iaitu dengan bersikap pasif dan mengelak daripada melakukan apa-apa yang boleh menghangatkan lagi kontroversi dan memberi peluang kepada Umno untuk menyerang.
Maka, kerajaan negeri Selangor mengambil pendirian menghormati apa yang dilakukan Jais dan Mais untuk tidak dilihat bertembung dengan istana sambil memberikan teguran kepada Jais agar memaklumkan terlebih dahulu kepada kerajaan negeri sebelum serbuan dilakukan pada masa depan.
Sikap pasif Khalid juga boleh dilihat apabila beliau tidak menyahut cadangan beberapa Adun DAP untuk meminda Enakmen 1988 Selangor. Jika disahut, maka Khalid sendiri membantu DAP dan Pakatan Rakyat memijak bom yang dipasang lawan.
Itulah langkah tengah yang diambil oleh Khalid untuk meredakan isu Allah.
Sudah tentu, ada pihak yang tidak senang dengan tindakan Khalid, tetapi daripada sudut politik, apa yang dibuat Khalid menghentikan isu Allah daripada terus marak dan dimanipulasikan pihak tertentu untuk menegangkan lagi hubungan antara kaum dan agama di Selangor.
Dan sikap pasif Khalid ini memberi manfaat kepada Pakatan Rakyat daripada terus rugi daripada sudut persepsi politik bahawa mereka tidak berpihak kepada orang Melayu.
Khalid sedar bahawa Pakatan Rakyat berhadapan dengan masalah kurangnya sokongan Melayu pedalaman, dan orang Melayu pedalaman ini tidak mempunyai masalah untuk kekal bersama Umno-BN.
Oleh itu, daripada sudut politiknya, Khalid tidak boleh melakukan sesuatu yang menambahkan alasan untuk mereka kekal bersama Umno-BN.
Bagi rakyat di kawasan bandar dan semi-bandar, terutamanya pengundi bukan Islam, Khalid memilih untuk mengambil 'calculated risk' dengan menaruh harapan bahawa mereka sedar bahawa ini adalah permainan Umno-BN. Khalid menaruh keyakinan bahawa mereka akan kekal bersama Pakatan Rakyat untuk menumbangkan Umno-BN.
Kontroversi di PKNS dan pemecatan 30 pekerja kontrak di PKNS juga secara tersiratnya menunjukkan kehebatan Khalid berpolitik.
Tindakan tegas dan cepat ini dilakukan pada waktu PRK Kajang bakal langsung dapat mengurangkan protes dalaman secara drastik terhadap isu ini kerana masing-masing ingin menjaga kepentingan kempen Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kajang.
Memahami CEO Khalid
Sebagai seorang CEO, Khalid perlu memastikan perniagaan Guthrie adalah terjamin. Sebagai MB, Khalid perlu memastikan Selangor terus berkembang, terus kaya dan terus kekal di tangan Pakatan Rakyat.
Kerajaan Selangor mesti kekal telus. Kerajaan Selangor mesti dilihat kerajaan yang ‘do what you say, and say what you do.’
Asalkan kerajaan Selangor kekal di tangan Pakatan Rakyat dengan kepercayaan yang diberikan rakyat, barulah rakyat dan parti Pakatan Rakyat dapat mendapat manfaat daripadanya. Jika ia kembali kepada Umno-BN, hanya segelintir yang sahaja yang dapat tinggal di rumah seperti istana.
Kerajaan negeri yang mencampur-adukkan hal ehwal kerajaan negeri dengan hal parti tidak akan bertahan lama.
Banyak keputusan kerajaan negeri perlu diambil atas kepentingan kerajaan negeri, dan kebanyakan keputusan tersebut sebenarnya tidak menguntungkan parti politik; sebagai contoh - mengurangkan pembelanjaan daripada sudut lantikan politik atau memberi projek kecil-kecilan untuk membiayai program parti secara halus.
Lebih-lebih lagi, Khalid tahu agensi seperti SPRM adalah ‘lebih rajin’ untuk menyiasat salah laku di dalam kerajaan negeri milik PR berbanding Umno-BN. Oleh itu, beliau tidak boleh mengambil sebarang risiko untuk SPRM dan Umno-BN mendapat sebarang bukti kesilapan dengan membiarkan hal ehwal negeri disalahgunakan untuk keperluan parti.
Beliau terpaksa kedekut. Demi kerajaan Selangor untuk terus hidup, Khalid perlu pentingkan kepentingan kerajaan negeri daripada kepentingan parti.
Barangkali itulah yang menyebabkan ahli partinya sendiri menuduh beliau tidak pandai berpolitik, meskipun langkah politik Khalid untuk menghalang kemaraan Umno di Selangor cukup mengkagumkan.
Sebagai seorang bekas CEO di syarikat sebesar Guthrie, mustahil Khalid tidak mahir berpolitik. Politik dalam dunia korporat kadangkala adalah jauh lebih ganas daripada politik di luar.
Khalid tidak pernah malu menyatakan bahawa beliau kaya. Dan kerana itu, beliau "has nothing to lose."
CEO yang menampilkan dirinya seolah-olah tidak pandai berpoltik, tetapi, pada masa sama cukup berani dan tangkas membuat keputusan (lihat episod PKNS) apabila situasi memerlukannya adalah amat digeruni oleh kawan mahupun lawan.
Apakah anda masih percaya Khalid tidak bijak berpolitik? –

February 05, 2014

BN TIADA CALON LAWAN ANWAR !

Kredibiliti Anwar yang pernah menyandang jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan menaikkan persoalan siapa dapat menyaingi Anwar sebagai calon BN. – Gambar fail.










Penganalisis politik berpendapat Barisan Nasional (BN) ketandusan calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang selepas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diumumkan sebagai calon Pakatan Rakyat (PR). 
Prof Madya Dr Shaharudin Badaruddin dari Universiti Teknologi Mara berkata, BN juga tidak mampu menyaingi kehebatan Anwar yang pernah menyandang jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan satu ketika dahulu.
“Di situ sahaja cukup untuk dilihat, bukan soal ketandusan. Anwar punyai kredibiliti antarabangsa, pernah memegang jawatan timbalan perdana menteri dan masih aktif dalam politik, maka dengan sendiri dalam konteks PRK, mereka buntu meletakkan calon."“Adakah mereka memiliki calon yang berkredibiliti untuk menandingi pengaruh Anwar? Tokoh Umno sedia ada sudah memiliki kerusi Parlimen atau negeri, maka siapa orang Selangor yang boleh menentang Anwar?" katanya kepada The Malaysian Insider.
Shaharudin berkata, jika BN masih buntu untuk meletakkan calon, adalah lebih baik untuk tidak menyertai PRK itu bagi mengelakkkan isu nasional yang akan dimainkan Pakatan.
Katanya, momentum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang masih dirasakan, belum mampu mengubah pendirian kaum Cina yang dilihat cenderung menyebelahi Pakatan.
“Jika buntu, lebih baik tidak bertanding kerana jika BN letakkan calon, sudah tentu timbul isu nasional yang tidak dapat dielakkan.
“Baru 9 bulan (selepas) PRU13, maka agak sukar mood pengundi Cina beralih dan mereka memerlukan masa. Kalau MCA bertanding, undi Cina pergi ke Pakatan, sudah pasti sukar MCA mendapat undi di sana,” katanya.
Sementara itu, pensyarah Jabatan Hubungan Antarabangsa Universiti Malaya, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar berkata, kemelut Umno dan MCA yang mahu meletakkan calon masing-masing dilihat bagi parti paling lama memerintah negara itu untuk membuat keputusan.
Katanya, selain masalah calon, BN juga perlu berdepan dengan isu kenaikan harga barang yang setakat ini masih gagal ditangani oleh parti pemerintah itu.
“Sama ada ketiadaan calon yang jelas untuk dipertandingkan atau perebutan parti komponen dalam Umno dan MCA, kerana kawasan itu mempunyai jumlah pengundi Melayu yang hampir sama dengan pengundi Cina.
“Pemilihan waktu ini untuk mengadakan PRK dilihat lebih menguntungkan Pakatan sebagai pembangkang dalam keadaan harga barangan masih tinggi, kos hidup semakin meningkat dan semuanya masih belum dapat ditangani dengan baik,” katanya.
Mohamad berkata apa juga keputusan yang diambil BN, parti gabungan itu pasti berdepan masalah sama ada dari segi calon atau keputusan untuk menyertai pilihan raya.
Katanya, atas sebab itulah BN lebih cenderung menggunakan taktik kelemahan dan kecurangan yang dilakukan oleh Pakatan.
“Mana-mana pilihan yang dibuat BN sama ada bertanding atau tidak mahu pun meletakkan calon dari MCA atau Umno, mesti membuahkan masalah. Tidak dapat dielakkan.
“Saya tak lihat ada penyelesaian. Ertinya PR sudah menjangkakan keadaan yang akan dihadapi BN. Oleh kerana itu dalam kempen BN yang saya lihat ia lebih tertumpu kepada kekurangan dan kecurangan PR,” katanya.
Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff pula beranggapan barangkali Umno lebih mengambil pendekatan tunggu dan lihat untuk mengelakkan sebarang spekulasi di peringkat awal.
Katanya, calon yang mungkin ditonjolkan berkemungkinan dari kalangan profesional yang masih belum mendapat perhatian media.
“Mungkin mereka belum mengumumkannya dan ada yang terpengaruh dengan spekulasi. Kita sendiri tidak melihat siapa yang disembunyikan.
“Mungkin mereka munculkan di kalangan profesional yang kita tidak tahu. Masih terlalu awal untuk bercakap tentang calon. Tidak adil jika mengatakan MCA tiada calon,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Mohammad Agus berpendapat Umno tidak akan bertanding dalam PRK Kajang kali ini dan peluang seharusnya diberikan kepadda MCA.
Katanya, persepakatan yang diamalkan dalam BN menjadi kunci kekuatan parti itu dalam mengetengahkan calon mereka dalam pilihan raya kali ini.
“Saya tidak rasa Umno akan ambil kerusi ini. Apa pun spekulasi, BN akan tetap dengan prinsip kerjasama mereka. Jika MCA letak calon Cina, mungkin mereka yang beragama Islam atau di kalangan profesional.
“Dalam PRK Pengkalan Chepa dan Kota Bharu, selalu Umno bertanding tetapi mereka kalah. Perlukah lagi kita beri peluang di kawasan itu? Sama juga dengan MCA. Tidak adil ditanya dan dibahaskan,” katanya.
Sementara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kasim berkata BN sememangnya mempunyai calon, sama ada dari Umno, MCA atau MIC.
Katanya, kredibiliti BN dalam PRK kali ini tidak wajar dipertikaikan kerana parti dalam Pakatan sendiri tidak sepakat menyatakan persetujuan ketua pembangkang untuk bertanding di Kajang.
“Kita ada calon. Umno, MCA dan MIC masing-masing mempunyai calon.
“Prestasi Anwar jatuh kerana parti dalam Pakatan tidak sehaluan. PAS dan DAP tidak berpuas hati. Ada di antara wakil rakyat dan pemimpin PKR tidak berpuas hati dengan penyandang Adun Kajang, Lee Chin Cheh kerana meletakkan jawatan,” katanya.
Shahidan berkata PRK adalah satu pesta dosa kerana banyak perbuatan fitnah disebarkan dalam kempen PRK sehingga pihak yang diaibkan sudah tidak ada apa lagi yang dapat dirahsiakan.
“PRK pesta dosa besar. Jika muda-mudi buat pesta sosial, mereka buat dosa besar tetapi PRK lebih besar kerana dosa orang memfitnah lebih besar daripada membunuh.
“PRK tempat terkumpulnya pesta dosa yang hebat. Dosa ceramah maki hamun di luar batasan kemanusiaan. Mereka memaki orang sehingga tiada apa lagi yang boleh dilondehkan,” katanya.
Ahli Majlis Tertinggi Umno itu turut melihat penampilan BN dalam PRK kali ini sebagai medan menguji kerajaan dalam beberapa isu yang sering dimainkan di Selangor.
“PRK kali ini, pengundi tidak lihat isu tetapi kehadiran kerajaan dengan fakta sama ada kerajaan mampu menstabilkan harga dan selesaikan beberapa isu besar seperti perkauman dan sengketa agama,” katanya. – 5 Febuari, 2014.- TMI