September 23, 2014

PERJALANAN YANG JAUH MENJADI SEORANG MENTERI BESAR..TAHNIAH AZMIN ALI

Azmin diberi ucap tahniah oleh bosnya, Anwar Ibrahim.
Benarlah kata orang kalau jodoh tidak ke mana dan manusia boleh merancang, tetapi yang menentukan adalah Allah taala jua. Dan perancangan Allah itu ternyata lebih baik dan sempurna daripada perancangan manusia, kerana Dialah zat maha qadim yang menentu dan berkuasa ke atas segala-galanya.

 Takdir hari ini yang meletakkan Mohamed Azmin Ali, 50 sebagai MB Selangor ke-15 adalah sesuatu peristiwa penting dan amat bersejarah bagi diri Adun Bukit Antarabangsa itu sendiri.

Perlantikannya hari ini merupakan detik gemerlapan dan kemuncaknya dalam dunia politik. Jawatan MB adalah mahkota kejayaan bagi seorang ahli politik. Dan jawatan itu adalah kedudukan tertinggi bagi seseorang bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).



Tidak ramai sebenarnya orang bernasib baik menggapai untuk menduduki jawatan berkenaan. Ada yang sudah setangga untuk menjejak jawatan itu, boleh tergolek jatuh dan hilang tangga untuk "merukah"nya kembali. Jawatan itu juga berhantu dan keramat. Walaupun seseorang itu bermati-matian untuk sampai ke situ dengan pelbagai usaha, tetapi banyak yang kecundang dan kecewa di tengah jalan, menangis tanpa lagu.

Dan hari ini Azmin akan dikalungkan dengan madel dan jambangan bunga tahniah atas perlantikan beliau sebagai MB menggantikan Abdul Khalid Ibrahim yang mengakhir tugasnya petang semalam. Tahniah. Sejarah hari ini semoga disyukuri dan memulihkan kekuatan dan semangat kepada Pakatan Rakyat.

Semua orang bersyukur dengan apa yang berlaku, lebih-lebih lagi Azmin sendiri. Betapa tidak kemelut politik di Selangor yang membuka jalan bagi Azmin menuju ke bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), pusat pentadbiran kerajaan Selangor kemudian akan bertakhta di kerusi MB bukan perkara mudah. Perjalanan ke situ terlalu panjang dan mengambil masa yang lama sehingga ia meletih dan membosankan. Melihat kepada perjalanan dan cabaran dihadapi Azmin, seakan sukar untuk dipercayai akhirnya beliau akan singgah juga di situ.

Hanya calang-calang orang sahaja akan sampai ke bangunan berkenaan untuk memasuki Pejabat MB. Kerusi MB panas, kerusi MB Selangor sangat panas. Apa lagi ia berhadapan dengan kerenah dan persaingan hebat, bukan sahaja dari musuh yang senantiasa mencari peluang untuk menjatuhkan, tetapi dari rakan dalam parti sendiri yang dengki dan irihati. Bagi diri Azmin sendiri mungkin ada yang mengilan dan mengedukan hati dan jiwanya kerana takdir yang diperolehi itu menyebabkan ada kawan dan pemimpin yang tersendu.

Percayalah penerimanya memegang jawatan itu, nombor satunya adalah atas tangungjawab dan takdir juga. Azmin walaupun dari segi hierarkinya adalah pantas untuk dilantik, sebab dia adalah timbalan presiden, tetapi halangan dan cabaran dilaluinya menyebabkan beliau hampir-hampir kecewa dan berputus asa. Jawatan itu bukan untuk dirinya melainkan untuk rakyat Selangor dan juga parti yang didokongnya dan mendokonginya.

Melihat kepada tribulasi itu menyebabkan harapan untuk melihat Azmin menjadi MB Selangor sudah hampir terputus. Azmin sendiri juga sudah pasrah kepada apa yang berlaku. Baginya dia menerima apa saja yang tertakdir tidak cuba melawan takdir dengan melakukan tindakan-tindakan sadis bagi menedapat jawatan berkenaan.

Hakikat ini dilihat kepada raut wajahnya yang membayangkan kehampaan dengan apa yang berlaku apabila diajukan pertanyaan berhubung pengganti Khalid Ibrahim dan mengenai peluang dirinya. Keserabutan bertambah-tambah apabila situasi itu mencemaskan kedudukan PKR sebagai bahtera yang mengusungnya.

"Sama-sama kita doakan, kalau ianya baik... ada hikmah, dapat, (jadi MB), kalau tidak, kita serah kepada ketentuan Allah kerana Dia yang tahu segala-galanya," demikianlah lafaz Azmin penuh kehambaan (tawaduk) bila setiap kali saya mengajukan soal jawatan MB. Beliau bukan ghairah untuk mendapat, tetapi banyak bertawakal kepada Allah. Semasa menghadiri kenduri kahwin anak Salahuddin Ayub, sebulan lepas, patah-patah perkataan dan ayat itulah juga yang diluahnya.

Isterinya, Shamsidar Tahrin juga merasai apa yang dirasai oleh Azmin. Isteri itu lebih tahu gerak geduk cemas resah suaminya dalam menanti sesuatu yang gedek itu. Sahamsidar yang ketika itu berada di sebelahnya tenang dan penuh kesabaran menghadapi pelbagai cerita dan kerenah disebalik jawatan MB membabitkan suaminya.

"Benda ini dah lama ...kita bersabarlah sahaja," komennya ringkas menunjukkan beliau sudah tidak mempunyai ghairah lagi untuk melihat jawatan MB dipangku oleh suaminya. Seolah-olah Shamsidar tidak percaya bahawa suaminya akan menduduki kerusi itu apabila menyedari betapa tebal dan panjangnya tembok menghalang Azmin dari "merukah" ke kerusi MB itu. Sikap isteri sebeginilah juga yang membantu kejayaan Azmin sebagai seorang pejuang politik.

Sesungguhnya jalan dan denai dilalui Azmin terlalu panjang dan masa diambil terlalu lama sebelum dapat menghadap Sultan dan mengangkat sumpah memegang jawatan jam 10:30 pagi ini. Bayangkan bagaimana kalut dan gegernya soal siapa pengganti Khalid Ibrahim. Sejak ia meletus ada berbagai versi dan balada ada yang tragis, dramatik dan sebagainya berlaku.

Sebenarnya sejak tahun 2010 lagi angin atau angan-angan untuk menaikkan Azmin sebagai MB sudah berlangsung. Ia menjadi buah mulut apabila Khalid setelah tiga tahun menjadi MB, dikatakan gagal melayani kerenah orang politik sebaliknya terlalu keras dan tegas sebagai MB dan melupai rencah ratus politik. Saya pernah mengajukan kepada Azmin suatu hari di parlimen mengenai masa dan ketika beliau akan mengganti Khalid; "bila lagi Min?" tanya saya. Dia nampak kekok dan menjawab (saya tahu sekadar melayani saya), dengan berkata;  "InysAllah selepas raya."

(Ketika itu ada seorang rakannya yang telah berpaling tadah dan menjadi kutu berahak jalanan memperli Azmin, kalau dia jadi MB, bagilah jawatan driver kepadanya).

Ternyata walaupun selepas beberapa kali raya dan sehingga memakan lebih tiga tahun, proses itu tidak juga menjelma. Paling meralatkan lagi apabila selepas PRU ke-13 Khalid masih lagi menjadi MB. Khalid kukuh berada di kerusi MB. Tekanan dan asakan dibuat oleh parti tidak menjadi, dan Khalid selesa di kerusinya. Manakala orang yang mengidamkannya sudah penasaran amat.

Khalid sepatutnya melepas jawatan itu kepada Azmin tiga lepas tahun lagi. Tetapi tidak berlaku apabila Khalid sudah merasai enak menjadi MB dan sudah seronok bergelumang dengan kuasa. Apa lagi dia sudah dikukuhi oleh gerombolan yang menjadi benteng dan mempertahanakan kedudukannya sebagai MB. Asakan oleh orang berkepentingan menjadikan Khalid liat dan ampuh buat seketika.

Suasana itu menyebabkan Azmin semacam kempunan dan hampir berputus asa. Azmin tidak berfikir lagi dia akan mudah mengganti Khalid. Khalid menjadi begitu kukuh dan kuat. Apabila Anwar Ibrahim sendiri mengambil alih usaha untuk menyingkirkan Khalid, menerusi projek Kajang Move, maka Azmin merasakan harapannya sudah tidak ada lagi. Projek Kajang Move yang gagal total adalah pelan untuk menyingkirkan Khalid, dengan Anwar sendiri bertindak sebagai penggantinya. Projek itu pun dilaksanakan apabila usaha menggantikan Khalid dengan Azmin secara normal gagal.

Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak ada sebarang niat untuk menjadi MB. Beliau didolar apabila projek Kajang Move gagal. Azizah hanya menjadi pengganti kepada Anwar dan calon MB secara bidan terjun. Walaupun langkah seterusnya, projek itu sudah tidak sepatutnya, tetapi ia dilakukan juga. Mereka yang anti dan irihati dengan Azmin dalam PKR, terus menyakinkan publik bahawa Wan Azizah mampu dan sesuai untuk menganti Khalid. Walaupun ada berbagai halangan, baik dari rakan dalam Pakatan Rakyat atau istana sendiri, tetapi usaha terus juga dilakukan hinggalah ke saat-saat terakhir.

Apa yang berlaku kepada Wan Azizah sudah berlaku dan sedikit sebayak mencalarkan keperibadian dan saksiahnya sebagai pemimpin, isu dan suami mithali.

Usaha untuk menghalang Azmin daripada menjadi pengganti kepada Khalid diteruskan bukan sahaja dengan memperalatkan Wan Azizah, tetapi menerusi pemilihan dalam parti. Pencabaran kepada Azmin dilakukan menerusi perebutan jawatan timbalan presiden PKR. Tidak ada sebab untuk Azmin dicabar dan peranannya dalam parti menerusi jawatan timbalan presiden itu kerana beliau cukup perform dengan jawatan itu. Tetapi kerana untuk memastikan Azmin terkeluar daripada disenaraikan menjadi calon MB, maka ia dilakukan.

Yang memberi cabaran kepada Azmin sebagai timbalan presiden, seterusnya untuk menafikan Azmin daripada dilantik menjadi MB bukan seorang, datangnya hanya dari Khalid Ibrahim, tetapi daripada Saifuddin Nasution Ismail dan juga Rafizi Ramli, Fakeh Hisin dan lain. Cabaran ini walaupun sukar untuk dimenangi kerana track recrod yang ada kepada Azmin, tetapi ia ingin memberi petunjuk bahawa ramai orang tidak senang dan suka dengan Azmin. Itu sahaja. Taktik untuk membunuh imej Azmin sebagai timbalan dilakukan, bertujuan agar dunia melihat Azmin tidak disenangi.

Bagaimana pun Alhamdulilah, Azmin dapat mendepan cabaran itu dengan kedua-dua pencabarnya yang sepatutnya bersatu dan berpakat antara satu sama laian untuk melawan Azmin, apabila mereka kecundang dan rebah makan tanah. Barang kali elok kalau mereka yang ada niat tidak baik yang dilaksanakan atas nama demokrasi menginsafi dan bertaubat atas apa yang dilakukan itu. Khalid sudah menyelesaikan tugas menganggu Azmin tetapi yang lain, khasnya Safuddin nampaknya masih terus. Tidak ada cara lain untuk Saifuddin kembali disanjungi dan dihormati persis sebelum ini melainkan memberi kerjasama dan membantu Azmin.

Tribulasi dan cabaran dilalui Azmin bukan sahaja dari partinya sendiri, tetapi ulah dan tindak tanduk Pas turut sama menyulitkan keadaan. Politiking atau pun kesempatan yang diambil Pas untuk kepentingan parti dan oknum tertentunya, walaupun ia dianggap tidak menghormati konsensus Pakatan Rakyat, menganggu atau pun turut memalapkan harapan Azmin untuk menjadi MB. Bagaimana pun ia bernasib baik kerana Pas akhirnya sedar diri dengan apa yang telah dipersetujui selama ini yang dibentuk dalam Pakatan Rakyat, akhirnya memberi laluan kepada Azmin secara izin dalam paksa atau senyum digulung kepahitan tawa.

Jalan-jalan atau pun rentetan peristiwa yang berlaku selama empat tahun ini yang terpaksa dilalui Azmin sebelum menaiki kerusi MB, bukan perkara senang dan mudah, melainkannya ia adalah cabaran berapi buatnya. Kejayaan dan berkeberhasilan itu juga adalah kerana kesabaran dan kegigihan serta sikap takwakal yang tinggi kepada Allah. Melihat kepada sifat dan sikap yang ada kepada Azmin, yang tenang tetapi berjiwa "Bugis" seorang fighter, sewajarnya kalau beliau dinobat menjadi MB Selangor.

Berdasarkan kepada rekod perjuangan serta penampilan diri sebagai seorang pemimpin dan pengurus bersistemetik, diyakini Azmin mampu memikul tugas dan tanggungjawab yang berat sebagai MB itu. Apapun jaya atau gagal Azmin turut sama terletak kepada sejauh mana komitmen partinya membantu beliau dan juga keikhlasan rakan Pas dan DAP dalam sama-sama menjulang tugas demi rakyat bersamanya. Selain memetakan semula pembangunan negeri dan rakyat Selangor, Azmin juga perlu mewajahkan dirinya sebagai permersatukan ummah.

Syabas dan tahniah kepada Azmin dan juga isterinya yang menjadi pendamping pemimpin yang baik. Selamat bertugas dengan penuh dedikasi dan tanggungjawab serta jangan sesekali lupa akan keringat dan airmata yang tumpah semasa melalui jalan ke bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah itu.  [wm.kl.8:27 am 23/09/14]

AZMIN ALI SEBAGAI MENTERI BESAR SELANGOR KE15

dengan izin Allah swt.. Dato Menteri Besar Selangor Darul Ehsan yg ke 15 adalah YAB Tuan Mohamed Azmin Ali.. memerangkap ADUN Bukit Antarabngsa/Ahli Parlimen Gombak ..

September 11, 2014

KHALID SOKONG SIAPA SAHAJA DI LANTIK JADI MB OLEH SULTAN SELANGOR


SHAH ALAM 10 Sept. - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan menyokong siapa sahaja calon yang dipilih oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menggantikannya termasuk Pesuruhjaya Pas negeri, Iskandar Abdul Samad yang disebut-sebut bakal dilantik untuk jawatan berkenaan.
Abdul Khalid berkata, beliau meletakkan sepenuh kepercayaan serta kebijaksanaan Sultan Sharafuddin dalam perkara itu kerana percaya apa juga keputusan baginda adalah demi kepentingan rakyat dan negeri ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140911/po_04/Khalid-sokong-Iskandar-jika-dilantik-Menteri-Besar#ixzz3CyMdkkgY
© Utusan Melayu (M) Bhd 

MARAH SELAMA 5 MINIT.. SISTEM IMUNE BADAN LEMAH 6 JAM


Mari kongsi ilmu.
Dalam Buku “The Healing dan Discovering the Power of the Water” (By: Dr. Masaru Emoto) disimpulkan bahawa :
1. MARAH selama 5 minit akan menyebabkan sistem imun tubuh kita menjadi lemah selama 6 jam.
2. DENDAM dan MENYIMPAN KEPAHITAN akan menyebabkan imun tubuh kita mati.. Dari situlah bermula segala penyakit, seperti Stress, Kolesterol, Hipertensi, Serangan Jantung, Rhematik, Arthtritis, Stroke (perdarahan/penyumbatan pembuluh darah)…..
3. Jika kita sering membiarkan diri kita Stress, maka kita sering mengalami Gangguan Pencernaan.
4. Jika kita sering merasa KHUATIR, maka kita mudah terkena penyakit Nyeri Bahu atau .
5. Jika kita MUDAH TERSINGGUNG, maka kita akan cenderung terkena penyakit Insomnia (susah tidur).
6. Jika kita sering mengalami KEBINGUNGAN, maka kita akan terkena Gangguan Tulang Belakang Bagian Bawah.
7. Jika kita sering membiarkan diri kita merasa TAKUT yang BERLEBIHAN, maka kita akan mudah terkena penyakit GINJAL.
8. Jika kita suka ber-NEGATIVE THINKING, maka kita akan mudah terkena DYSPEPSIA (penyakit sulit mencerna).
9. Jika kita mudah EMOSI & cenderung PEMARAH, maka kita terdedah terhadap penyakit HEPATITIS.
10. Jika kita sering merasa "SOMBONG" (tidak pernah peduli) terhadap lingkungan, maka kita akan berpotensi mengalami Penurunan Kekebalan Tubuh.
12. Jika kita sering MENGANGGAP MUDAH semua persoalan, maka hal ini boleh mengakibatkan penyakit Diabetes.
13. Jika kita sering merasa KESEPIAN, maka kita boleh terkena penyakit Demensia Senelis (berkurangnya memori dan kontrol fungsi tubuh).
14. Jika kita sering BERSEDIH dan merasa selalu RENDAH DIRI, maka kita boleh terkena penyakit Leukemia (kanser darah putih)
.... . Kongsikan dengan rakan. Banyak faedahnya

September 04, 2014

JIKA PKR BERKERAS MAHUKAN DDWA... DUN TERPAKSA DIBUBAR..

Dr Wan Azziah harus surrender...

MENJOLAK MENTARI                                                                    

Masa untuk menyelamatkan DUN Selangor dibubarkan ekoran kegagalan menyelesaikan kemelut pengganti Khalid Ibrahim masih ada sedikit sahaja lagi. Di pihak Sultan Selangor dikira sudah begitu melegakan apabila baginda telah memberi ruang meminta parti-parti Pakatan, PKR, Pas dan DAP menghantar lebih dua nama.

Sedikit sebanyak sultan telah bermurah hati dan sedia melayan demokrasi di Selangor. Atas budibicara baginda boleh sahaja meminta Khalid "menasihatinya" agar membubarkan DUN Selangor. Tetapi nampaknya tidak begitu. Semangat Perlembagaan dan Undang-undang tampaknya dipedulikan oleh sultan. Baginda juga peka dengan implikasi yang bakal menimpa batang tubuhnya sekiranya tindakan membubar dewan dilakukan. Baguslah.

Kini semuanya terletak kepada PKR bagi menentukan apakah DUN Selangor perlu dibubarkan atau tidak. Kata putus tergenggam dalam tangan PKR. Semalam pihak istana telah mengutus surat kepada parti itu agar menamakan nama lain selain Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk diklantik menjadi MB. Tetapi ada usaha untuk memanipulasikan hakikat surat berkenaan menyebabkan kenyataan dikeluarkan ditarik balik. Kenapa terjadi begini? Seolah-olah orang yang melakukan ini sebagai satu sabotaj dalaman pula.

PKR berpegang kepada prinsip dan pendiriannya menghantarkan hanya satu nama sahaja. Semua orang kena menerima dan menghormati pendirian itu. Tetapi dalam politik tidak semestinya pendirian yang betul itu tetapi kalau ia mendatangkan masalah perlu ditegakkan.

Apakah PKR tetap berpegang kepada pendirian itu hanya mahukan Dr Wan Azizah sahaja? Kalau itulah pendirian tegas PKR, ini bermakna jalan ke arah pembubaran DUN semakin cerah. PKR terutamanya pemimpin yang bersedia untuk memasuki ke pejabat MB bersama Dr Wan Azizah harus berfikir jauh dan berfikir untuk diri sendiri.

Kalaulah DUN dibubarkan dan pilihan raya diadakan semula, katalah Pakatan Rakyat menang dan PKR sekali lagi diberikan kepercayaan oleh rakannya untuk mengetuai parti, dan nama Wan Azizah juga diajukan kepada sutltan untuk jadi MB apakah keadaan yang berlaku sekarang ini tidak berulang? Apakah boleh dipastikan kalau hari ini sultan tolak nama Wan Azizah esok sultan boleh menerimanya.

Walaupun ia tidak mustahil tetapi ia agak mustahil untuk berlaku begitu.

Rasanya kalau hari ini jarum tidak dapat meloloskan diri maka kelendan juga tidak akan dapat menurtinya. Hari Jumaat tidak akan mendahului hari Khamis kerana sunatullahnya begitu. Pada saya seeloknya Dr Wan Azizah kena surrender.

Saya yakin waktu ini atau malam tadi pimpinan PKR sudah pun membincangkan hal ini dan keputusan sudah pun ada serta sedia untuk dimaklumkan. Cuma diharap keputusan itu janganlah tegang sehinggakan pembubaran DUN berlaku. Sebab seperti dikatakan tadi kalau DUN dibubarkan apa yang berlaku kini tetap akan berlaku. Tidak semudah itu untuk memaksa hati sultan daripada menerima seseorang yang tidak diperkenankannya. Sultan adalah sultan. Berihu kali puyuh berkokok macam terkukur, ia tetap puyuh juga yang ekornya pendek dan terbang rendah.

Yang terbaik PKR bersama Pakatan Rakyat hantarlah nama lain. Sekiranya nama Mohamed Azmin Ali tidak dapat dipersetujui kerana masalah tertentu, hantarlah nama lain. PKR masih ada 12 nama lagi yang boleh diangkat menjadi MB. Itu Adun Ijok Dr Isris Ahmad boleh diangkat untuk jadi MB sementara. Dalam soal ini baik Dr Wan Azizah dan mereka yang mengekorinya dan juga Azmin redalah dengan apa yang berlaku.

Bersabit dengan Azmin hairan kenapa timbalan presiden ini tidak dapat diterima. Apakah penolakan kerana kelemahan kepimpinannya ataupun kerana ada chemistry tertentu? Kalau ia ditolak kerana hal-hal personal ini bermakna PKR sudah tidak rasional lagi dalam politik. Masalah ketidakrasionalan inilah menjadikan PKR bermasalah dan juga mengheret sama Pakatan Rakyat.

Saya diberi tahu Azmin tidak disenangi oleh Dr Wan Azizah dan keluarganya. Begitu juga Khalid Ibrahim tidak menyenangi Azmin. Saya faham kalau Khalid tidak menenangi Azmin, tetapi tidak faham kalau Dr Wan Azizan dan keluarganya tidak menyenangi Azmin. Maaf saya terpaksa menyebut dan bertanyakan hal ini? Ingat Azmin bukan milik sesiapa tetapi dia milik PKR.

Semua orang dalam PKR harus berjiwa berjiwa besar untuk memastikan kerajaan negeri Selangor dapat diteruskan oleh Pakatan Rakyat. Setidak-tidak tahan diri untuk kira-kira tiga tahun lagi sebelum pilihan raya umum ke-14 menjelang. Masa itu atur dan susunlah agar hasrat dan cita-cita peribadi masing-masing tercapai?

Perkara yang perlu diutamakan bukan soal peribadi atau melantik sesiapa yang kita berkenan dan suka, tetapi lantiklah mereka yang boleh diterima sultan dan diperkenankan olehnya. Sebab perlu diketahui pemutusnya di situ. Berkeras dengan sultan sampai ke bila pun tidak akan menang. Sultan diibartkan durian rakyat (PKR) diibaratkan mentimun. Tergolek kena digolek pun kena. Apa lagi dalam keadaan apa juga dan bila-bila masa sahaja akan wujud dua kumpulan orang Melayu di negara ini satu menyokong raja dan satu lagi tidak setuju dengan raja.

Kewujudan dua kumpulan yang bertentangan inilah yang menyebabkan segala masalah berhubung dengan kepentingan orang Melayu juga sukar dilaksanakan. Tidak mahu pula saya memberi anologi lebih kepada bangsa yang satu ini, Melayu. [wm.kl.9:20 am 04/09/14]