October 13, 2009

Penekanan terhadap pembangunan luar bandar dlm bajet 2010 - TS Khalid

SHAH ALAM, 12 Oktober - Kerajaan negeri berhasrat memberi penekanan terhadap pembangunan luar bandar sebagai pendekatan baharu dalam penyediaan bajet 2010.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata persiapan ke arah itu perlu dilaksanakan mulai sekarang.
“Pembangunan luar bandar dalam Selangor adalah penting pada masa depan, maka pelbagai persiapan perlu dilaksanakan mulai sekarang bagi mempertingkatkan kualiti hidup di kawasan luar bandar,” jelas beliau dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Dialog Bajet 2010 di SACC Convec dekat sini pagi tadi.
Exco Kerajaan Negeri, Dato' Dr Hasan Mohamad Ali, antara yang menyambut ketibaan Dato' Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Kerajaan negeri juga katanya bercadang menyediakan bajet berimbang walaupun bakal berhadapan dengan defisit bagi tahun kewangan semasa.
Majlis dialog anjuran kerajaan negeri ini bertujuan menghasilkan draf belanjawan berhemah dan selaras dengan dasar Merakyatkan Ekonomi, Melestarikan Komuniti yang bakal dibentangkan dalam Persidangan Dewan Negeri Selangor bulan hadapan.
Program itu dihadiri lebih 300 peserta termasuk Exco Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan, Penggerak Belia, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, institusi kewangan dan pertubuhan bukan kerajaan.
Agenda program dua hari itu antaranya, taklimat mengenai kedudukan ekonomi semasa, Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor dan Pelaksanaan Projek-projek Kecil Luar Bandar serta pembentangan kertas kerja yang antaranya membincangkan mengenai Cabaran Pembangunan Industri Selangor.Hasil perbincangan akan dibentangkan dalam sesi rumusan pagi esok.


No comments: