March 27, 2012

NAJIB MINTA MAAF ATAS KESILAPAN LALU, LIM KIT SIANG PERINCIKAN 12 KESILAPAN NAJIB... SANGGUP KE NAJIB MINTAK MAAF?

Utusan — Ahmad Lutfi Othman


March 27, 201227 MAC — Pengerusi BN, Najib Razak, umpama Santa Claus sekarang, cukup pemurah meskipun kantung negara menipis. Untuk memastikan dia tidak diingati sebagai perdana menteri terakhir daripada Umno, semua sektor masyarakat mahu “dirasuahnya”.
(Menarik bidasan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu: “Rakyat berpendapatan rendah digula-gulakan dengan RM500 sekali bagi sahaja. Pada masa sama, Tajudin Ramli boleh ketawa berdekah-dekah kerana sebesar RM589 juta — hutangnya kepada Pengurusan Danaharta Nasional Bhd — diberikan percuma kepadanya.”)
Sabtu lalu, semasa berkempen di Taman Desa Rhu Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan (negeri yang dilihat bakal jatuh ke tangan Pakatan Rakyat dalam PRU13), Najib menegaskan, beliau akan mengumumkan lebih banyak bantuan kepada rakyat dalam tempoh beberapa minggu akan datang. Tambahnya, antuan itu adalah antara idea baru difikirkan kerajaan, tetapi tidak mahu mengumumkannya sekarang.
Najib juga rela merendah diri, memohon maaf, di atas kesalahan lampau BN walaupun tidak dijelaskan pula apa sebenarnya kesilapan itu. Ya, demi meraih kemenangan dalam PRU13 — ibu segala pilihan raya, yang paling sengit bakal disaksikan — beliau akan menuruti segala cadangan strategis kempen Umno.
Lim Kit Siang memperincikan 12 kesalahan Najib selama 35 bulan menjadi PM, antaranya, merampas kuasa kerajaan Perak; politik hipokrasi mengizinkan ekstrimis perkauman; bertambahnya politik keganasan terhadap aktiviti Pakatan Rakyat; gejala rasuah dan kronisme terburuk; kematian Teoh Beng Hock, Ahmad Sharbani di bawah seliaan SPRM dan kes-kes serupa di bawah jagaan polis; muncul kembali politik Mahathirisme; dan banyak lagi aksi yang melunturkan keyakinan awam terhadap institusi utama negara.
Apakah Najib sedia memohon maaf di atas siri kesalahannya itu? Pastinya tidak, ‘kan?
Dan jangan lupa, untuk mengekalkan Putrajaya, Najib juga sudah berikrar akan mempertahankan simbol kuasa itu, sehingga ke titisan darah terakhir, “walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa”.
Dalam ucapan di Parlimen, 22 Mac lalu, Kit Siang mengingatkan: “Oleh sebab takut kehilangan kuasa buat pertama kali dalam tempoh 55 tahun sejarah negara ini, PRU13 akan menjadi yang paling kotor, tidak adil, dan tidak demokratik.”
Soalan saya, apakah anda sendiri, terutama aktivis dan penyokong Pakatan, sudah bersedia berdepan dengannya gelanggang paling getir ini dan mungkin menagih korban.
Kalaupun tempoh penguasaan BN mungkin dilanjutkan sepengal lagi, kerisauan Najib tidak mudah padam. Seperti kata Daim Zainuddin, jika prestasi BN tidak bertambah baik berbanding 2008, Najib mesti berundur, menjejaki langkah Abdullah Ahmad Badawi.
Najib terpaksa menelan peluru yang dihalakan kepada Pak Lah selepas BN terlepas lima negeri dan gagal mengekalkan majoriti dua pertiga di Parlimen.
Justeru, Najib kini begitu sibuk menjelajah seluruh pelosok negara, berkempen (juga secara tersirat, mengugut) membeli sokongan rakyat ... sudah pasti atas kapasitinya sebagai perdana menteri, dengan memperkakas segala kemudahan-sumber kerajaan dan menghanguskan dana awam.
Terbaru, 21 Mac lalu, di kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam — menurut akhbar, di hadapan lebih 10,000 mahasiswa — diiringi Menteri Pengajian Tinggi dan yang peliknya turut menyibuk, Noh Omar, Timbalan Pengerusi Umno Selangor ... Najib secara terbuka berkempen untuk BN, sekali gus memburuk-burukkan Pakatan.
“Anda semua boleh memberikan kami kepercayaan untuk memimpin negara ...,” tegasnya sambil menegaskan, terdapat “golongan yang sanggup menjual apa saja termasuk bulan dan bintang serta cakerawala”. Ungkapan sama dihamburkan dalam setiap ceramah politiknya mengasak Pakatan.
Bagi saya, silakan saja Najib dan konco-konconya ke kampus, hatta untuk berkempen politik sekalipun, tetapi benarkan juga pelajar mendengar sudut pandangan berbeda daripada saingan BN.


Biarkan mereka berdebat, berdialog dan berpartisipasi membangunkan negara. Bukankah negara ini mengamalkan demokrasi yang memberi ruang untuk berbeda pendapat?
Jaminan Najib di majlis itu memang mengujakan: “Kita tidak tutup minda, mereka boleh dengar, yang penting sekali siswa boleh buat penilaian ... sebab itu, kerajaan bukan hendak kongkong.”
Soalnya, cuba anda tanya aktivis pelajar dan selami kegiatan di menara gading. Kongkongan ketat masih memagari. Mereka tetap dilayan bagai budak sekolah. Sebahagian tokoh “pembangkang” terus berada dalam senarai hitam yang dilarang masuk kampus sedangkan menteri-menteri BN bebas berkempen semahunya.
(Dewan-dewan sekolah juga menjadi gelanggang utama gelembong dan labun pemimpin Umno terutama di negeri-negeri Pakatan.)
Bahkan, terkini, tarikh pilihan raya kampus dianjak sesuka hati, sejauh bulan September akan datang, juga di atas pertimbangan politik PRU13, dibimbangi memberi kesan buruk kepada regim Najib, meskipun tempoh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sudah lama berakhir, seawal Februari lalu lagi.



Juak-juak Umno yang “bengap” — yang menjajah Urusetia Hal Ehwal Pelajar (HEP) — cukup bimbang jika pilihan raya kampus diadakan dalam tempoh terdekat. Mereka bimbang jika kumpulan Pro-Mahasiswa menang, ia akan menyumbang momentum cukup bertenaga sehingga mampu mempengaruhi rakyat untuk menolak BN dalam PRU13 nanti.
Ekoran itu, amarah pelajar tidak dapat ditahan lagi sehingga lapan kumpulan siswa, pada 23 Mac lalu, mahu menyerahkan batu nesan kepada Menteri Pengajian Tinggi di pejabatnya di Putrajaya, sebagai simbolik tanda “kematian demokrasi kampus”.
Difahamkan satu lagi demonstrasi bakal dianjurkan jika pihak universiti gagal memberi alasan munasabah di atas kelewatan itu memandangkan KPT mendakwa mereka menyerahkan isu tarikh pilihan raya kepada kampus masing-masing.
Najib tentunya menyedari faktor kritikal generasi muda ini, terutama yang baru kali pertama akan mengundi. Beliau pasti tidak mudah mengalah dengan hanya menyandarkan kekuatan BN kepada pengundi di saluran satu dan dua. Orang muda juga mahu dirasuahkannya!
Harus diingat, dalam beberapa pilihan raya kecil selepas 2008, ramai juga pengundi muda dilihat menolak Pakatan dan “tertarik” dengan pendekatan kempen BN. Ada aktivis PAS di kawasan pinggir bandar atau pedalaman, yang saya temui, mengakui kesukaran mendekati generasi muda ini, termasuk di negeri yang dikuasai Pakatan.
Oleh itu, Pakatan tidak boleh berasa selesa dengan kecenderungan mengundi anak muda. Selain turun menghayati kompleksiti kehidupan dan merasai degup jantung mereka, sekali gus menawarkan formula penyelesaian, tidak kurang pentingnya tokoh-tokoh muda dan “berjiwa muda” mesti diletakkan sebagai calon PRU13.

Dalam pada itu, portal berita The Malaysian Insider mendakwa BN menyenaraikan lima isu yang perlu diselesaikan bagi mendapatkan sokongan rakyat dalam PRU13, iaitu Pusat Fidlot Nasional (NFC), semakan semula gaji kakitangan awam, pertukaran saham MAS-AirAsia, Lynas dan penyenaraian saham FELDA.
Saya turut difahamkan bahawa isu FELDA perlu ditangani dan dihadam sebaiknya, terutama oleh PAS, bagi menjayakan misinya mendapatkan lebih banyak kerusi Parlimen dalam PRU13.
“Dalam apa keadaan sekalipun, mudah atau payah, pengundi Melayu adalah cabaran utama PAS. Dan masyarakat FELDA merupakan penentu dalam banyak kawasan yang ditandingi PAS,” kata seorang pemerhati politik.
Dalam perkembangan lain, saya cukup tersentuh dengan iklan warna semuka penuh gel mandian Follow Me, yang disiarkan Utusan Malaysia, Jumaat lalu, dalam sisipan Mega, halaman 25.
Ia umpama poster filem lucah!
Lebih teruk muka surat iklan bogel itu bersebelahan dengan kolum “Tafsir al-Quran & Asbabun Nuzul” oleh Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, ulamak muda yang sering mengisi ruang udara radio Ikim.
“Takkan Utusan dah nazak, takda duit, sebab terpaksa bayar saman malu pemimpin Pakatan?” tanya seorang rakan selepas saya maklumkan iklan itu. “Apa pun, aku dah lama tak baca Utusan,” tambahnya.
Daripada hampir 40 SMS yang saya hantar kepada rakan-rakan, memalumkan kejengkelan saya terhadap iklan lucah itu, rupanya hampir semua mereka sudah tidak membaca Utusan lagi.
Mungkin ada teman-teman yang melihat isu iklan bogel dalam Utusan Malaysia itu “perkara kecil” yang tidak sepatutnya saya singgung di sini, namun saya tetap berdegil untuk mengatakan, hal-hal mungkar ini usah “dibiasakan atau dilazimkan” biarpun dilihat remeh. — harakahdaily.net

No comments: