June 04, 2012

UMNO AMPANG JUAL REZAB TANAH MELAYU AMPANG...

KUALA LUMPUR 4 Jun: Jika sebelum ini, heboh diperkatakan Umno Selangor menjual tanah rezab Melayu di negeri itu sehingga tanah milik Bumiputra habis tergadai kerana kerakusan mereka mentadbir.
Namun ternyata semakin lama Pakatan Rakyat (PR) memerintah, sedikit demi sedikit ‘dosa’ Umno berjaya dibongkar.
Terbaru, Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Razali Ramli, tampil mendedahkan di sebalik kemegahan bangunan pejabat Umno Ampang, rupa-rupanya ia dibina atas tanah milik Sekolah Agama Kampung Melayu Ampang.

Menurut Razali, bangunan itu kemungkinan dibina melebihi hingga ke tapak tanah sekolah kerana ianya berhampiran.
“Meskipun saya tak dapat berikan jawapan adakah benar tapak bangunan Pejabat Umno yang didirikan atas tanah rizab sekolah agama, tetapi saya yakin memang ada sesuatu luar biasa di situ.
“Jika dapat dibuat dengan bantuan Pejabat Tanah, saya percaya kita dapat leraikan isu ini,” katanya dilaporkan TV Selangor.
Bagaimanapun, beliau hairan bagaimana MPAJ boleh meluluskan pelan pembinaannya walaupun meragui status tanah tersebut.
“Walaupun rata-rata penduduk setempat memang tahu kawasan itu dikhaskan untuk tapak sekolah, tetapi masalahnya saya percaya kerajaan negeri dahulu tidak pernah mewartakan dengan rasmi bahawa tanah tersebut adalah rizab untuk sekolah,” ujarnya.
Sekolah Agama Kampung Melayu Ampang siap dibina sekitar tahun 2006 manakala pembinaan Pejabat Umno Ampang pula siap dibina kira-kira setahun selepas projek pembinaannya terhenti beberapa kali.
Bagi menjawab dakwaan itu, Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin menggesa siasatan dijalankan dengan segera.
Kata beliau, siasatan itu bagi membuktikan sama ada benar atau tidak dakwaan tersebut seperti dilaporkan oleh Razali.
“Memang kena siasat segera, kita tidak mahu tanah rezab sekolah diambil oleh Umno Ampang.
“Jika dibiarkan, kita tidak akan tahu benar atau tidak dakwaan itu. Tiada apa yang akan disorokkan jika tanah itu memang milik sekolah selepas siasatan,” kata Ketua Wanita KEADILAN itu kepada Keadilan Daily.
Bagaimanapun, beliau tidak terkejut jika dakwaan itu benar kerana sudah menjadi amalan Umno apabila berkuasa, mereka akan berbuat apa sahaja tanpa memikirkannya.
“Kita memang jangkakan perkara seumpama ini boleh berlaku. Selama mereka (BN) tadbir Selangor, sudah banyak tanah rezab pun dijual mereka bagi dapat keuntungan atas angin.
“Jika betul, kita akan ambil tindakan sewajarnya bagi menghukum ‘pencuri’ ini kerana melibatkan hak awam,” ujar Zuraida

No comments: