October 29, 2012

DS ANWAR ~ PAKATAN RAKYAT MAMPU BENTUK KERAJAAN PUSAT YANG BARU


KUALA LUMPUR 29 Oktober: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin Pakatan Rakyat (Pakatan) mampu membentuk Kerajaan Pusat yang baru tanpa politik kotor dan rasuah.
Katanya, kemenangan berlandaskan politik matang dan bersih lebih signifikan berbanding budaya fitnah dan penindasan.
“Saya tidak datang untuk mencerca Najib (Razak), Rosmah (Mansor) dan Umno. Saya nak (Pakatan) menang dan rakyat bangkit menolak rasuah dan fitnah,” katanya di depan 400 penduduk di Warung Ibu Nasi Ambeng, Kg Sungai Gulang-Gulang, Permatang, Tanjung Karang pada Jelajah Merdeka Rakyat semalam.
Ketua Umum KEADILAN itu berkata, Umno BN terus goyah dan banyak isu yang gagal dipertahan melainkan memburukkan Pakatan, meskipun mereka menguasai seluruh jentera kerajaan termasuk media.
Beliau mengingatkan rakyat jangan terkeliru dengan dakyah yang dimainkan media yang terus-menerus memutarbelitkan fakta sebenar.
“Sebab apa dia (Najib) takut? Dia punyai televisyen, jentera dan wang kerana dia ada rasuah. Sebab itu dia tidak mampu jawab,” ujar Penasihat Ekonomi Selangor itu dipetik MediaSelangorku.
Anwar sekali lagi mengulangi ikrar untuk menurunkan harga minyak dalam tempoh 24 jam selepas Pakatan menawan Putrajaya selain membatalkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Jelajah itu turut disertai Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang tiba pada jam 12.30 tengahari bersama rombongan dengan menaiki bas Jelajah Merdeka Rakyat sambil diiringi motosikal berkuasa besar.
Hadir sama, Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali; Ketua Penerangan Negeri, Shuhaimi Shafiei; Adun Kota Alam Shah, M Manoharan dan Penyelaras DUN Permatang, Yahaya Saari.
Terdahulu, Jelajah Merdeka Rakyat mengunjungi penduduk Pekan Sungai Besi.
Selepas selesai di DUN Permatang, rombongan kemudian ke Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam.
Jelajah diteruskan dengan solat dan tazkirah maghrib di Masjid Abu Bakar Ali Bashah, Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung sebelum bergerak ke Pekan Rasa.
Pada jam 9 hingga 12 tengah malam, program diteruskan dengan Ceramah Perdana Merdeka Rakyat di Pusat Bandar Baru Batang Kali, Ulu Selangor.
Penceramah terbabit termasuk Anwar, Khalid, Azmin, Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin dan Naib Presiden, N Surendran.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=38550

No comments: