Oleh Ibrahim Yahaya
KUALA LUMPUR : Terlebih dulu, ucapan
Al-fatihah kepada perwira yang terkorban di Lahad Datu hari ini. Semoga
roh pejuang ini ditempatkan bersama roh orang soleh dan salam takziah
kepada keluarga pejuang yang sudah pasti merasai kehilangan orang
tersayang.
Peristiwa Lahad Datu ini sudah pasti
akan membuka mata dan minda kita mengenai betapa mudahnya negara ini
diceroboh oleh orang luar. Ini kerana sebagai sebuah semenanjung amat
sukar untuk kita menjaga setiap inci pesisir pantai kita tambahan pula
negara ini sudah menjadi 'gula' yang menarik banyak 'semut' ke sini
termasuk kedatangan orang Myanmar ke Pulau Langkawi.
Jika kita menempatkan semua perwira
negara menjaga pesisir pantai negara, ia tidak juga akan menyelesaikan
masalah ini tambahan pula ada tempat yang terlalu dekat sehinggakan kita
tidak dapat membezakan antara orang kita dengan penceroboh. Antara
tempat itu ialah Golok dan Lahad Datu.
Selain itu, kegiatan dalang tempatan yang membawa masuk PATI turut
menyumbang kepada kebanjiran orang luar di negara ini. Apatah lagi jika
ada pemimpin tertentu yang dikatakan oleh media Filipina terbabit dalam
kejadian di Lahad Datu.
Penduduk Sulu dikatakan sering berulang-alik ke Lahad Datu sama ada
untuk mendapatkan bekalan atau bertemu dengan sanak-saudara mereka di
sini.
Sudah tentulah sebelum ini perjalanan
mereka tidaklah sukar sangat kerana sifat mereka yang tidak menunjukkan
sebarang reaksi yang boleh mengganggu keselamatan negara. Apatah lagi
yang datang ialah orang tua, wanita dan kanak-kanak.
Sebelum sebarang penjelasan diberikan
oleh kerajaan bagaimana kumpulan penceroboh itu boleh masuk ke negara
ini, sudah tentulah 'suasana' yang disebut di atas tadi, pasti tidak
terlintas oleh mana-mana pihak ada golongan yang akan berani membuat
'kacau' seperti yang berlaku pada 12 Februari lalu. Ia mungkin didorong
atau terdorong.
Apabila penceroboh itu 'sudah berada' di negara ini dengan jumlah yang
ramai iaitu dikatakan 180 orang termasuk kanak-kanak, wanita dan orang
tua, persoalannya ialah apakah strategi yang terbaik untuk menyelesaikan
isu pencerobohan ini?
Sudah tentu pihak keselamatan memikirkan kaedah berperang bukanlah satu
strategi yang baik, walaupun ada pihak yang mungkin mahu ia berlaku,
sebalik memikirkan pendekatan perundingan yang boleh mendatangkan
keadaan 'tepung tidak berselerak selepas rambut ditarik.'
Tidak hairanlah selama lebih dua minggu
usaha untuk berunding dan terus mengepung dilaksanakan berbanding
tindakan menyerang penceroboh itu yang mahu mengaku bahawa Sabah adalah
tanah mereka sedangkan mereka tahu bahawa itu tidak mungkin berlaku pada
masa sekarang.
Akhirnya, hari ini pada 1 Mac penceroboh
dikatakan mengambil sikap menyerang pejuang negara sehingga menyebabkan
tiga terbunuh (sehingga berita ini ditulis) dan 12 orang penceroboh
terbunuh seperti yang dilaporkan oleh media elektronik malam ini.
Sudah sampai masanya untuk memastikan urusan kemasukan ke negara ini
diperketatkan tidak kira yang mahu masuk itu orang tua, kanak-kanak atau
wanita.
Asalkan mereka bukan rakyat negara ini
harus dihantar pulang atau ditangkap untuk ditempatkan di pusat tahanan.
Penulis yang pernah mencari kapal muhibah (yang membawa penduduk Sabah
dan Sarawak ke Semenanjung dan sebaliknya) dikatakan tenggelam di
perairan Johor pernah ditahan oleh Kastam Indonesia kerana termasuk
sedikit ke kawasan mereka. Setelah diminta naik ke kapal dan penulis
menjelaskan perkara itu, kami (bersama jurugambar Ridzuan) dilepaskan.
Itu baru masuk sedikit ke perairan Indonesia sudah ditahan dan sudah
tentulah jika ada yang sudah berada di pantai kita dan tidak mempunyai
surat yang sah, perlu ditahan bagi mengelakkan kejadian yang tidak
diingini berlaku.
Semoga kerajaan dapat menyelesaikan isu
di Lahad Datu seterusnya dan bukan saja rakyat negara ini sedang
memerhati malah seluruh dunia pasti mahu menunggu berakhirnya peristiwa
bersejarah yang turut diulas oleh ahli politik setengah masak yang
mengatakan ia dilakukan oleh parti tertentu dan ada juga pemimpin
pembangkang yang suka menyemaikan perasaan benci kepada kerajaan
menyatakan kejadian polis terbunuh tidak patut berlaku.
No comments:
Post a Comment