March 21, 2015

RAKYAT KELANTAN YAKIN UNDANG HUDUD


Rakyat Kelantan yakin hudud mampu kurangkan jenayah Rakyat Kelantan menyambut baik bahkan bersedia sekiranya hukum hudud terlaksana di negeri berkenaan dan mengharapkan penguatkuasaannya dapat mengurangkan kadar peratusan kadar jenayah di negeri berkenaan. Masyarakat dari pelbagai lapisan usia menyambut baik perkembangan berkaitan pelaksanaannya dan memberi pandangan bahawa hukum Allah itu merupakan suatu sistem yang dapat mencegah jenayah di Kelantan. “Saya sokong pelaksanaan hukum hudud 100 peratus sebab ia dapat mengurangkan masalah jenayah bahkan tidak ada langsung insya-Allah,” ujar Mohd Abdul Aziz Ibrahim. Bagi Mohd Fikri Abdul Aziz pula, beliau menyifatkan kelulusan enakmen itu suatu perkembangan yang baik. “Undang-undang yang telah ditetapkan oleh Allah sepatutnya dilaksanakan. Ia suatu perkembangan baik dan telah diluluskan malah disokong oleh semua ahli dewan termasuk pembangkang. "Apabila dilaksanakan nanti secara positifnya jenayah akan berkurangan kerana orang akan takut,” katanya. Mereka juga senada dan tidak rasa khuatir atau takut atas pelaksanaan hukum hudud ini memandangkan sifatnya adil dan hanya terkena kepada yang melakukan kesalahan sahaja. Selain mengharapkan supaya hukum hudud ini terlaksana mereka juga mengharapkan perlaksanaannya nanti mengikut kaedah syarak yang telah digariskan seperti yang termaktub dalam Al-Quran. Semalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan sebulat suara meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015). Rang undang-undang yang diluluskan di peringkat DUN ini akan di bawa ke Parlimen bagi mendapatkan sokongan majoriti bagi membolehkan Kelantan melaksanakan hukum hudud kisas dan takzir. 

Posted & copy by RAKYAT MARHAEN


No comments: