Selari dengan sasaran Selangor bebas dadah 2010 yang disasarkan pimpinan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Selangor terdahulu, satu rombakan kepimpinan badan bukan kerajaan (NGO) ini akan dilakukan.
Pengerusinya kini, Rodziah Ismail berkata, rombakan itu dibuat bagi memastikan jawatan eksekutif dalam persatuan ini dipegang secara sepenuh masa.
Katanya, ia penting dalam memacu usaha berlipat ganda dalam memastikan sasaran yang diberi tercapai.
“Ya akan ada rombakan kepimpinan pemadam pada tahun depan, saya mahukan ada kedudukan eksekutif kalau boleh dipegang secara sepenuh masa sebab bagi saya kita tidak akan berjaya sekiranya bersikap sambil lewa dari segi pengurusan dan aktiviti yang dirancang perlu ada satu eksekutif yang serius, ghairah dan prihatin dalam sasaran yang kita tetapkan,” katanya.
Rodziah berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis penutup Kursus Kepimpinan Biro Hal Ehwal Wanita PEMADAM Negeri Selangor, kelmarin.
Bagaimanapun, beliau tidak menafikan bahawa sasaran berkenaan sukar dicapai kerana Selangor kini adalah negeri ke-6 yang mencatatkan jumlah penagih teramai.
Tambahnya kedudukan lokasi Selangor berada bersebelahan dengan Kuala Lumpur yang mencatatkan jumlah penagih tertinggi bakal menjadi faktor peningkatan gejala ini di Selangor.
Bagaimana pun, usaha membenteras dadah dan memupuk kesedaran masyarakat yang dilakukan PEMADAM mendapat sokongan penuh daripada kerajaan negeri.
Rodziah berkata, sebagai langkah awal sebuah pejabat PEMADAM akan ditempatkan di setiap daerah sebagai tempat rujukan masyarakat.
“Setiap pejabat daerah akan diberi pejabat lengkap. Pegawai daerah setuju untuk beri pejabat yang lengkap dari sudut pentadbiran dan masyarakat keliling yang mempunyai masalah tahu tempat untuk dituju," katanya.
Selain itu, jawatankuasa PEMADAM juga akan menggembleng usaha bersama pimpinan tempatan dan turun ke akar umbi bagi membantu mereka yanng menghadapi masalah berkaitan dadah.“NGO saran biro-biro kebajikan di kampung dan bandar mesti ada hubung kait dengan PEMADAM, maknanya kita ambil jawatankuasa PEMADAM masuk dalam biro tempatan,” katanya.
Rodziah berkata, masyarakat seharusnya bekerjasama dengan PEMADAM dalam membendung aktiviti penagihan dadah dan tidak hanya meletakkan beban kepada persatuan ini.
Katanya, PEMADAM hanyalah sebuah NGO yang aktif memerangi dadah, namun ia sebenarnya adalah menjadi tanggungjawab utama Agensi Anti Dadah Kebangsaaan (AADK) yang merupakan sebuah agensi kerajaan.
No comments:
Post a Comment