October 06, 2010

220 BERTANDING DI PUSAT..SAIFUDDIN NASUTION

PETALING JAYA, 6 Okt – Sekurang-kurangnya 220 orang dicalonkan untuk bertanding jawatan peringkat pusat pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang julung kali diadakan secara langsung.
Mereka yang dicalonkan mempunyai masa sehingga 16 Oktober ini untuk mengesahkan penerimaan pencalonan.
“Mereka yang telah mengesahkan penerimaan pencalonan akan diperkenalkan pada majlis khas pada 16 Oktober ini dan nama-nama mereka akan dicetak pada kertas undi,” kata Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail pada sidang media di ibu pejabat PKR tengah hari tadi.
“Keadilan mengambil semangat meraikan demokrasi menerusi hari pengesahan pencalonan tersebut,” katanya lagi.
Cabang-cabang PKR akan melangsungkan pengundian peringkat masing-masing selama tiga minggu bermula 29 Oktober ini.
Seramai 400,000 ahli parti itu layak untuk mengundi pada sistem pemilihan yang diadakan di bawah sistem satu ahli satu undi iaitu pemilihan secara langsung.
Sistem pemilihan langsung ini dibolehkan ekoran pindaan perlembagaan parti itu tahun lalu.
Bagi jawatan presiden nama-nama yang dicalonkan ialah Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, penyandang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Datuk Zaid Ibrahim.
Dipercayai jawatan itu akan dipertahankan oleh Dr Wan Azizah selepas Anwar menolak pencalonan nama beliau untuk kerusi presiden.
Dalam pada itu bersama Zaid, enam nama lagi disyorkan untuk jawatan timbalan presiden iaitu dua Naib Presiden Azmin Ali dan Mustaffa Kamil Ayub, Tan Sri Khalid Ibrahim, Tian Chua, Fuziah Salleh, Dr Wan Azizah, Azmin dan Mustaffa telah mengesahkan pendirian bertanding kerusi timbalan presiden.
Sebanyak 22 nama dicalonkan bertanding kerusi naib presiden iaitu Khalid, Abdullah Sani Hamid, Ansari Abdullah, Baru Bian, Chong Kok Wei, Tian Chua, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, Fuziah, Dr Lee Boon Chye, Datuk Dr Mansor Othman, Azmin, Dr Muhammad Nur Manuty, Yahya Shaari, N Gopalakrishnan, Nurul Izzah Anwar, S. Manikavasagam, Saifuddin, R Sivarasa, Shamsul Iskandar Mohd Akin, Mustaffa Kamil, R Suresh Kumar, Dr A Xavier Jayakumar, Yusmadi Yusof, Zaid, Senator Ir Zambri Yusoff dan Saiman Marzuki.
Saifuddin yang mengesahkan tidak bertanding sebarang jawatan berkata, 190 orang dinamakan untuk merebut 20 kerusi MPP.

No comments: