DAP menjejaki langkah MCA dan Umno bagi menangguhkan pemilihan kepimpinan parti itu, yang sebelum ini dijadual pada Ogos depan sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata keputusan sebulat suara itu dicapai pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP yang diadakan malam semalam.
"Kami jangkakan PRU-13 akan diadakan tahun depan serentak dengan pilihan raya Sarawak dan disebabkan itu kami mengambil keputusan untuk menangguhkan pemilihan parti untuk memberi komitmen penuh bersiap sedia dalam menghadapi PRU-13 yang dilihat paling kritikal.
"Justeru, kami akan mengadakan bengkel pilihan raya umum nasional pada 16 Jan ini di Kuala Lumpur sebagai persediaan menghadapi PRU-13," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Katanya, keputusan itu diambil selepas menimbangkan keputusan penangguhan pemilihan parti yang telah diputuskan oleh Umno dan MCA baru-baru ini, yang memberi petanda jelas bahawa PRU-13 sudah semakin hampir.
Katanya, penangguhan pemilihan parti itu adalah selama setahun dan ditangguhkan sehingga Ogos 2012.
No comments:
Post a Comment