December 14, 2010

PAKATAN RAKYAT DESAK NAJIB BUAT PENJELASAN

KUALA LUMPUR 13 Dis: Pakatan Rakyat menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat penjelasan berhubung kenyataannya bahawa tidak ada kerajaan lain yang boleh mentadbir Malaysia selain Barisan Nasional (BN).

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, kenyataan itu amat berbahaya dan menggambarkan BN sedang membuat perancangan untuk melakukan rampasan kuasa sekiranya mereka tewas dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
"Ini satu kenyataan yang berbahaya kepada proses demokrasi dalam negara kita. Ia memberikan gambaran bahawa kalau Umno BN tak menang, siapa pun tak menang.
"Ini menimbulkan tanda tanya apakah sebenarnya yang akan dilakukan, apa yang akan berlaku selepas pilihan raya umum akan datang ini?
"Adakah ini bermakna satu rusuhan akan dilakukan oleh Umno BN atau adakah Najib melalui Menteri Dalam Negeri yang juga sepupu beliau dan Menteri Pertahanan yang merupakan bekas setiausaha beliau suatu masa dahulu aan melakukan satu rampasan kuasa atau kudeta melalui ketenteraan dalam negara kita?" katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Beliau juga berkata, Najib seolah-olah terdesak dan tidak yakin mampu mempertahankan BN sehingga mengeluarkan kenyataan berbau ugutan.
"ni satu ugutan yang dilakukan oleh Perdana Menteri dan juga bukan sekadar ugutan tapi seperti persiapan dan perencanaan untuk menghadapi pilihan raya.
"Perdana Menteri sendiri seakan-akan tidak yakin untuk menang tapi pasti tidak akan ada pihak lain yang akan menang," katanya.
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dalam sidang media sama berkata, kenyataan Najib itu merupakan satu tamparan kepada rakyat Malaysia.
"Kita minta Perdana Menteri buat kenyataan yang jelas, sekiranya rakyat memilih selain daripada BN, mereka akan serah kuasa dengan cara yang bertangungjawab dan amanah seperti mana dalam proses demokrasi," katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata, kenyataan itu menggambarkan BN seolah-olah berniat melanggar proses demokrasi di negara ini.
"Ini menggambarkan sebenarnya Umno/BN tidak mengamalkan konsep demokrasi berparlimen,tidak percaya kepada pilihan raya malah awal-awal lagi mengugut dan memberi isyarat bahawa itulah sikap beliau dan sikap Umno BN.
"Ini ternyata bercanggah dengan segala yang kita perjuangkan selama ini.
"Keadaan ini mengimbau senario di negara Ivory Coast di Benua Afrika, apabila pihak yang tewas enggan mengosongkan Istana Presiden, walaupun tewas dalam pilihanraya," katanya.
Sabtu lalu, Najib mengeluarkan kenyataan demikian yang disiarkan media arus perdana.

No comments: