PUTRAJAYA, 31 Mac – Bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi disenaraikan sebagai salah seorang saksi utama dalam kes terhadap Tan Sri Chan Kong Choy berkaitan skandal projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ). Arthur Wang, salah seorang peguam bekas menteri pengangkutan itu memberitahu pemberita bahawa Abdullah telah dinamakan sebagai salah seorang daripada 15 saksi terhadap anak guamannya lapor The Malaysian Insider.
Kes itu yang sepatutnya disebut semula hari ini ditangguhkan sehingga 10 Mei.
Peguam-peguam Chan berkata mereka memerlukan lebih masa untuk meneliti 19 set dokumen dikemukakan oleh pasukan pendakwaan pagi semalam.
Hari ini, Chan ditemani oleh isterinya Puan Sri Ann Chan dan anak perempuan mereka Chan Kai Xuan, 27.
Pada 28 Februari lalu, Chan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan menipu Abdullah berhubung skandal projek PKFZ.
Chan, 55, dituduh menipu Abdullah untuk meluluskan Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) sebagai pemaju siap guna untuk projek Hab Pemindahan di Zon Bebas Pulau Indah dan kerja pengubahsuaian di tapak PKFZ antara 2004 dan 2006, berjumlah RM1.9 bilion.
Bekas timbalan presiden MCA itu didakwa melakukan ketiga-tiga perbuatan menipu itu di Tingkat 4, blok utama Pejabat Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra.
Kesemua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan beliau berdepan dengan hukuman penjara lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan, bagi setiap pertuduhan.
No comments:
Post a Comment