BUKIT MERTAJAM - Hasrat lebih
1,000 individu untuk menikmati hasil pelaburan terbantut malah mereka
kerugian lebih RM1 juta apabila seorang pengusaha skim cepat kaya yang
disertai mereka melarikan diri, baru-baru ini. Semua peserta itu melabur wang tunai
melalui skim diberi nama 'Pelaburan Jala Ikan' yang menjanjikan pulangan
lumayan RM450 setiap bulan. Bagi menerima bayaran itu, peserta perlu
membuat pelaburan tunai RM1,450 dan hasil keuntungan hanya diberi untuk
tempoh lapan bulan sahaja. Ketika mereka sepatutnya menerima bayaran
itu, pengusaha terbabit menghilangkan diri yang menyebabkan peserta
pelaburan itu baru sedar yang mereka telah menjadi mangsa penipuan.
Salah seorang mangsa skim itu, N. Rajendaran,
51, daripada Taman Selasih, Kulim berkata, dia setuju menyertai skim
itu dengan pelaburan sebanyak RM13,050 pada 30 November lalu. "Saya
diberi pelbagai janji manis supaya menyertai skim itu. Akhirnya saya
buat pelaburan sebanyak itu dengan harapan mendapat keuntungan lebih
besar," katanya ketika ditemui di sini semalam. Dia antara empat
daripada 1,000 orang yang membuat laporan polis setelah menjadi mangsa
penipuan skim itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah
(SPT) semalam. Skim itu mula diperkenalkan di sini bulan Februari tahun
lepas dan disertai oleh ramai kakitangan kerajaan dan syarikat
swasta. Rajendran berkata, dia sanggup menyerah wang sebanyak itu kepada
seorang wanita yang dikatakan menjadi kerani pada skim pelaburan
tersebut.
"Sepatutnya saya menerima wang keuntungan itu pada
masa yang ditetapkan malangnya, pengusaha berkenaan telah pun
menghilangkan diri," katanya sedih. Seorang lagi mangsa dikenali
sebagai, Selvam, 42, dari Taman Kota Permai, Bukit Mertajam
berkata, dia sedih kerana membuat pelaburan melebihi RM50,000 setelah
membuat pinjaman dari sebuah bank tempatan. "Saya sanggup buat pinjaman
dari bank itu kerana pihak pengusahanya menyediakan dokumen perjanjian
lengkap. "Saya alami kerugian besar dan kena bayar balik pinjaman kepada
bank selama 15 tahun," katanya. Menurut
Selvam, pengusaha lelaki terbabit sanggup datang ke rumahnya pada awal
bulan November lalu dan menegaskan pelaburan diperkenalkan itu adalah
yang terbaik untuk masyarakat India di negeri ini.
Seorang pelabur termuda dalam skim itu, Ang
Seew Keing, 23, dari Kubang Semang pula berkata, dia sanggup
menyerah wang sebanyak RM20,300 kepada wanita berkenaan sebelum ia
menyerahkan kepada pengusaha skim tersebut. "Saya hanya sempat melabur
RM20,300 sahaja dalam skim itu dan sebanyak RM10,300 telah dapat semula
dan sehingga ini bakinya RM9,000 dilarikan oleh lelaki itu,"
katanya. Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial daerah, Asisten
Komisioner Ridzuan Nor Ihsanketika dihubungi berkata, pihaknya
menerima empat aduan daripada beberapa mangsa pelabur skim itu di negeri
ini. "Polis akan menjalankan siasatan sebaik sahaja menerima aduan
tersebut," katanya.
No comments:
Post a Comment