November 11, 2013

GHAIRAH DENGAN TUNTUTAN PERMODENAN TETAPI JANGAN BUANG SISTEM NEGARA SISTEM RAJA ~ RAJA DR NAZRIN SHAH

Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah mengingatkan semua pihak khususnya orang Melayu supaya tidak terlalu ghairah dengan tuntutan pemodenan sehingga mudah 'membuang' sistem negara termasuk institusi Raja-Raja Melayu.
Malah, titah baginda, di sebalik gelombang globalisasi, rakyat perlu bijak mengimbangkan antara tuntutan tradisi dan permintaan terhadap pemodenan supaya 'air tempayan tidak terlalu cepat dicurahkan kerana mendengar guruh di langit'.
"Institusi raja pernah berdepan ujian getir sekitar 80-an dan 90-an, ketika orang Melayu begitu ghairah, merasakan dirinya cukup gagah, cukup hebat. (Ingatlah), institusi raja adalah penerusan tradisi untuk mengekalkan identiti negara bangsa, satu lambang kedaulatan, payung mahkota negara. Ia mungkin pelita lama tetapi kekal memancarkan cahaya.
"Pelita lama jangan terlalu cepat mahu dibuang kerana 'riak melihat fajar yang sedang menyingsing'. Ingatlah, hari siang juga akan berakhir, jangan nanti bila senja mendakap malam, rakyat mula teraba-raba, hilang haluan diselubungi kegelapan malam, kerana pelita lamanya sudah tiada lagi," titah baginda dalam Kongres Profesor Negara II di sini hari ini.
Kongres anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) itu turut dihadiri Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh dan Pengerusi MPN, Prof. Emeritus Datuk Seri Dr. Zakri Abdul Hamid.
Raja Nazrin bertitah, raja adalah simbol penyatuan dan payung kedaulatan negara yang memberi naungan saksama kepada setiap warga tanpa mengira kaum, agama dan 'kabilah' politik.
Dalam perkembangan lain, baginda menyarankan supaya formula perhubungan dan orientasi baharu antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri diperkenal bagi memastikan rakyat tidak menjadi mangsa pertelingkahan politik.
Menyentuh mengenai perkara itu, baginda merujuk kepada situasi hubungan dua entiti tersebut khususnya melibatkan negeri yang dikuasai kumpulan politik berlainan parti dengan Kerajaan Persekutuan.
Titah baginda, hal sedemikian menyebabkan kakitangan awam yang berkhidmat di negeri-negeri berkenaan berdepan dilema ketika memenuhi tanggungjawab untuk mengimbangkan kesetiaan antara pihak berkuasa negeri dengan Persekutuan.
"Kelainan politik antara negeri dan Persekutuan, jangan sampai menjejaskan hubungan rakyat hingga memungkinkan mereka bersifat parokial (berfikiran sempit) kenegerian, lalu menghindar tercapainya semangat muafakat dan hasrat berpadu," titah baginda.
Sementara itu, baginda mahu penjawat awam mengamalkan prinsip yang tidak bersekongkol dengan amalan yang salah, jenayah rasuah serta salah guna kuasa.
Merujuk kepada kepincangan seperti dilaporkan Laporan Ketua Audit Negara, baginda bertitah, penjawat awam sewajarnya menjadikan kebijaksanaan Bendahara Melaka sebagai teladan.
Titah baginda, kebijaksanaan itu khususnya dalam membezakan antara yang betul dengan salah serta antara keadilan dan kezaliman sebelum melaksana tanggungjawab demi memastikan tata urus pentadbiran berteraskan undang-undang dipatuhi terutama urusan melibatkan wang negara.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131111/dn_01/Jangan-ghairah-pemodenan#ixzz2kKYRkI3S
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: