September 05, 2009

Cadangan Pemindahan Kuil Hindu Di Seksyan 19 Di Bekukan

SHAH ALAM, 5, Ogos- Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memutuskan bahawa cadangan memindahkan Kuil Hindu di Seksyen 19, ke Seksyen 23 dibekukan sementara, ekoran bantahan keras daripada penduduk.
Khalid berkata, kontroversi yang tercetus daripada rancangan pemindahan kuil tersebut akan ditangguhkan sehingga tapak alternatif yang sesuai dikenalpasti.
“Kerajaan negeri sangat prihatin tentang perkara ini, kita merasakan kita terpaksa melihat semula cadangan tersebut, saya telah meminta masyarakat di seksyen 23 supaya mereka tidak lagi membincangkan perkara ini kerajaan negeri akan melihat bagaimana usaha2 ini dapat diteruskan,” katanya.
Tan Sri Khalid berkata demikian kepada media di kediaman rasminya selepas Majlis Dialog bersama penduduk Seksyen 23 berhubung isu pemindahan kuil tersebut di Dewan Bankuet MBSA, pagi tadi.
Katanya, Kerajaan Negeri prihatin terhadap keinginan masyarakat India yang inginkan kuil itu dibina dan akan berusaha untuk mencari tapak alternatif yang sesuai.
“Kita akan berbincang dengan PKNS supaya dapat mengenalpasti satu lagi tempat yang sesuai yang boleh diterima oleh Jawatankuasa Kuil Seksyen 19 dan boleh diterima oleh penduduk di persekitaran Seksyen tersebut,“ini akan kita lakukan seberapa segera sebab kita rasa masalah pemindahan kuil ini mesti diselesaikan kalau tidak ini boleh menjadi perkara-perkara yang menjadi isu antara penduduk,” katanya.
Beliau berkata, hasrat memindahkan kuil berkenaan akan diteruskan, tetapi ditangguhkan buat masa ini sambil berharap penduduk tidak menimbulkan ketegangan lagi.
Katanya, ekoran bantahan penduduk dalam sesi dialog pagi tadi, kerajaan negeri terpaksa menilai semula cadangan memindahkan kuil Sri Mariaman itu ke Sekyen 23.
“Kita faham, perkara yang melibatkan agama merupakan isu sensitif. Tetapi kita tidak akan menyapunya ke bawah permaidani (mengelak daripada menyelesaikannya),” katanya.
Sambil menegaskan beliau tidak kecewa dengan insiden ini, Tan Sri Khalid berkata, bantahan itu telah dijangka, berdasarkan tunjuk perasaan yang dibuat oleh penduduk setempat sebelum ini.
Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menyifatkan insiden yang berlaku pagi tadi berpunca daripada salah faham ekoran terdapat anggapan bahawa keputusan telah dibuat, sedangkan perkara itu masih di peringkat cadangan.
“Saya tengok daripada perbincangan yang telah diadakan tadi ada miss information, telah dihasilkan oleh pihak-pihak tertentu, mereka yang datang sudah menganggap pembinaan telah dilakukan, ini memberi gambaran bahawa kita buat tanpa berbincang dengan penduduk, sekiranya mereka mendapat maklumat yang tepat ia tidak akan berlaku,” jelasnya.
Beliau turut menyeru media agar menyampaikan maklumat dengan tepat dan tidak mencetuskan perbalahan dan salah faham penduduk.
Bagaimanapun, Khalid meminta perkara itu tidak dipanjangkan kerana ia telah diselesaikan dengan mencari tapak lain sebagai alternatif.

No comments: