June 03, 2010

INDEKS INTEGRITI URUS NEGERI SGR DI PERKENALKAN OLEH KHALID


20100116194246_khalid 
ibrahim
Oleh Jamilah Kamarudin
Shah Alam: Kerajaan Negeri Selangor hari ini memperkenalkan dua polisi baru iaitu Indeks Integriti Urus Tadbir Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat dan Pakatan Integriti (Integrity Pact) dalam usahanya mengekalkan pentadbiran yang bersih dan memerangi rasuah.
Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, Indeks Integriti Urus Tadbir Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat akan dijadikan kayu pengukur untuk menilai keberkesanan dan kemajuan yang dicapai kerajaan Selangor setiap tahun berdasarkan prinsip pentadbiran cekap, telus dan amanah.

"Indeks ini akan membolehkan Kerajaan Negeri maklum akan kedudukannya dari segi pentadbiran dan pada masa yang sama, rakyat Negeri Selangor boleh menilai komitmen kerajaan negeri terhadap dasar-dasarnya," katanya dalam sidang media disini hari ini.
Manakala Pakatan Integriti pula digunakan untuk tujuan pencegahan rasuah dalam kontrak dan tender awam dan ia mampu membantu kerajaan, perniagaan dan masyarakat dalam usaha membasmi rasuah, katanya.
Sehubungan itu, satu Jawatankuasa Khas yang terdiri daripada Exco dan pegawai tertinggi kerajaan negeri akan dilantik bagi membuat pelaksanaan mengenai kedua-dua polisi integriti terbabit.
Khalid berkata, kerajaan negeri akan menjadikan Indeks Urus Tadbir dan Pakatan Integriti sebagai satu hala tuju untuk mengekalkan pentadbiran yang bersih dan telus serta boleh dijadikan contoh kepada negeri-negeri lain yang ditadbir Pakatan Rakyat mahupun Kerajaan Pusat.
"Pada masa ini, kerajaan Malaysia tidak termasuk dalam integriti global. Jadi kerajaan negeri Selangor akan muncul sebagai negeri pertama mempunyai Indeks Integriti di negara ini," katanya.
Bagi menerangkan polisi ini dengan lebih jelas, Khalid berkata pihaknya telah menjemput Transparency International Malaysia (TI-M) untuk memberi taklimat dan penerangan kepada Exco serta pegawainya semasa Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) pagi tadi.
"Kita harap maklumat dan panduan yang diberikan TI-M ini dapat digunakan oleh Jawatankuasa Khas membangunkan polisi terbabit," katanya.
Lesen premis judi bola sepak tidak diluluskan 
Sementara itu, Khalid turut mengumumkan bahawa kerajaan negeri Selangor pada hari ini juga telah mengeluarkan arahan secara rasmi kepada semua 12 Pihak Berkuasa Tempatannya (PBT) supaya tidak meluluskan permohonan lesen premis perjudian bola sepak Piala Dunia di negeri itu.
Beliau berkata keputusan itu dipersetujui sebulat suara ahli Exconya dengan berpendirian bahawa judi adalah haram disisi Islam dan boleh merosakkan moral masyarakat Islam dan bukan Islam.
Keputusan itu juga dibuat selepas berbincang dengan Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri dan PBT kini mempunyai kuasa untuk tidak mengeluarkan lesen premis perjudian bola sepak, katanya.
"Kerajaan Selangor berpendapat tindakan kerajaan Pusat Barisan Nasional meluluskan lesen perjudian akan menambahkan lagi penyakit sosial dan tidak akan meyelesaikan perjudian secara haram yang dijangka berleluasa sepanjang perlawanan Piala Dunia berlangsung.
"Dengan keputusan ini, kesemua 12 PBT di Selangor perlu mematuhi arahan ini dan Selangor akan bebas dari perjudian sepanjang berlangsungnya Piala Dunia 2010," katanya.

No comments: