June 14, 2010

Kes pasir di SUK mula disiasat polis...

SHAH ALAM 13 Jun - Polis telah memulakan siasatan kehilangan beberapa dokumen penting berkaitan urus niaga pasir yang disimpan di dalam peti besi di tingkat empat bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor kelmarin.

Ketua Polis negeri, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu curi dalam bangunan.
Beliau berkata, pihaknya sedang merakam percakapan kakitangan yang bertugas di tingkat empat yang turut menempatkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri.
"Kita akan siasat bagaimana dokumen yang disimpan di dalam peti besi boleh hilang.
"Jika perlu kita akan melakukan tangkapan bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kelmarin, pegawai PTG yang menjalankan siasatan dalaman berhubung dakwaan wujud amalan rasuah dan penyelewengan anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB) dalam aktiviti melombong pasir di Selangor mendapati beberapa dokumen penting berkaitan urus niaga pasir negeri hilang.
Sehubungan itu, satu laporan polis berhubung kehilangan dokumen penting tersebut telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada pukul 4 petang oleh pegawai yang menjalankan siasatan kes tersebut.
Siasatan berhubung dakwaan wujud amalan rasuah dan penyelewengan anak syarikat kerajaan negeri KSSB dalam aktiviti melombong pasir di Selangor bermula selepas laporan polis dibuat oleh Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam pada 12 Mei lalu.

No comments: