June 01, 2010

KAMPUNG BARU UTK ORG MELAYU...

Oleh Syed Mu’az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 1 Jun - Cadangan membangunkan hartanah di Kampung Baru di ibu negara berdasarkan nisbah 60:40 bagi Bumiputera dan bukan Bumiputera rata-ratanya tidak dialu-alukan oleh penduduk kawasan berkenaan.
Penduduk Kampung Baru yang ditemui The Malaysian Insider dengan tegas memberitahu mereka tidak akan menyerahkan tanah mereka kepada bukan Melayu untuk dibangunkan bersama.
Ini kerana bagi mereka, tanah Kampung Baru adalah hak milik masyarakat Melayu dan hanya mereka sahaja yang boleh mendiami kawasan berkenaan.
Nazimuddin Hissuddin yang berusia 60 tahun menegaskan, cadangan tersebut jika dilaksanakan akan merosakkan imej Kampung Baru yang selama ini dimonopoli oleh masyarakat Melayu.
“Saya bantah sekeras-kerasnya cadangan tersebut kerana selama ini Kampung Baru didiami oleh masyarakat Melayu sahaja, jadi mengapa ia mesti dibuka kepada bangsa lain pula?
“Selama ini masyarakat Melayu sahaja yang tinggal di sini jadi mereka mempunyai hak untuk membantah cadangan tersebut.
“Selain ini, imej Kampung Baru yang selama ini mencerminkan masyarakat Melayu akan rosak sekiranya masyarakat bukan Melayu turut berada sama di sini,” katanya.
Sabtu lalu, satu majlis perjumpaan dengan pemilik dan pewaris tanah di Kampung Baru telah diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra bagi membincangkan pembangunan di kawasan berkenaan.
Projek pembangunan Kampung Baru meliputi kawasan seluas 151.57 hektar iaitu lebih luas daripada projek Kuala Lumpur City Centre iaitu 40 hektar, yang merupakan antara projek pembangunan hartanah yang terbesar sekali di dunia.
Seorang lagi penduduk, Mohd Said Mohd Nor, 63, berpendapat hak milik masyarakat Melayu di Kampung Baru perlu dikekalkan memandangkan ia satu-satunya perkampungan Melayu yang ada di Kuala Lumpur.
“Kenapa mesti nak serahkan hak pemilikan tanah ini kepada masyarakat bukan Melayu?
“Ini satu-satunya kampung Melayu di Kuala Lumpur dan ia harus dikekalkan.
“Saya setuju cadangan untuk membangunkan Kampung Baru tetapi saya bantah cadangan kerajaan untuk serahkan 40 peratus hak pemilikan tanah kepada masyarakat bukan Melayu,” katanya.
Pembangunan semula Kampung Baru yang sudah lama diperkatakan disentuh semula oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mengadakan lawatan ke sana awal tahun ini.
Najib berkata, nilai tanah di kawasan itu boleh melebihi RM20 bilion jika penduduk menerima konsep pembangunan itu yang dapat merealisasikan potensi Kampung Baru sepenuhnya.
Nilai tanah di Kampung Baru sekarang hanya di sekitar RM350 sekaki persegi (0.09 meter persegi) sahaja sedangkan kawasan seperti KLCC sudah melebihi RM2,000 kaki persegi.
Susulan pertemuan Sabtu lalu, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chick Raja Zainal Abidin mengumumkan bahawa hak pemilikan tanah orang Melayu di kawasan Kampung Baru tidak akan terjejas walaupun masyarakat bukan Melayu bakal diberikan kuota 40 peratus untuk memiliki hartanah di kawasan berkenaan.
Cadangan itu bertujuan memaksimumkan potensi pembangunan di kawasan tersebut, kata beliau sambil berkata, “apabila kita katakan bukan Melayu, maksudnya ia tidak terhad kepada kaum bukan Melayu di Negara ini tetapi mungkin juga pelabur-pelabur luar yang berminat.”
“Kalau kita teruskan sekatan kepentingan tanah ini kepada orang Melayu sahaja, saya tidak yakin kita akan dapat nilai tanah, RM4,000 atau RM1,000 sekalipun seperti yang pemilik tanah dan pewaris tanah di Kampung Baru mahukan,” katanya.
Berdasarkan cadangan untuk membatalkan sekatan kepentingan tanah-tanah di Kampung Baru, kaum bukan Melayu akan berpeluang untuk memiliki ruang perniagaan dan unit-unit kediaman yang akan dibangunkan di kawasan itu berdasarkan nisbah 60:40.
Raja Nong Chik berkata Kabinet dalam mesyuaratnya pada awal bulan ini juga secara dasarnya telah bersetuju mengenai cadangan itu.
Sekatan kepentingan tanah yang terdapat di dalam geran tanah Kampung Baru menetapkan bahawa tanah di kawasan itu tidak boleh dipindah milik atau diduduki oleh kaum bukan Melayu.
Ia secara tidak langsung menjadi satu dilema dalam isu-isu tanah di kawasan berkenaan selain disifatkan akan mengehadkan potensi pembangunan Kampung Baru, sekiranya sekatan itu dikekalkan.
Semalam, beliau menjelaskan cadangan membangunkan hartanah di Kampung Baru berdasarkan nisbah 60:40 bagi Bumiputera dan bukan Bumiputera belum muktamad selagi tidak mendapat persetujuan daripada pemilik tanah di kawasan berkenaan.
Kerajaan akan mendengar serta menerima maklum balas daripada pemilik tanah di kawasan berkenaan sebelum mengambil sebarang keputusan.
Cadangan kerajaan itu turut dibantah penduduk Salleh Mad, 80 yang mengatakan cadangan untuk serahkan hak pemilikan tanah kepada masyarakat bukan Melayu adalah tidak logik.
“Cadangan tersebut memang tidak logik, ini adalah tanah masyarakat Melayu. Mengapa mesti diserahkan kepada masyarakat bukan Melayu?
“Jadi saya minta supaya kerajaan menimbangkan semula cadangan tersebut kerana ia melibatkan masa depan Kampung Baru yang selama in dikekalkan imej masyarakat Melayu,” katanya.
Dalam pada itu, Adibah Salleh, 70, pula berpendapat cadangan tersebut dibantah oleh masyarakat Melayu di kawasan berkenaan.
“Bukan saya seorang sahaja yang bantah tetapi keseluruhan masyarakat Melayu di sini membantah cadangan tersebut.
“Sebagai penduduk saya mahu imej Kampung Baru ini dikekalkan walaupun pembangunan dijalankan disini,” katanya.
Pendapatnya turut disokong Masijah Sukar, 70, yang berkata, cadangan untuk membangunkan Kampung Baru diterima oleh masyarakat Melayu tetapi bukan cadangan hak pemilikan tanah kepada masyarakat bukan Melayu.
“Kalau serahkan hak pemilikan tanah ini kepada masyarakat bukan Melayu, maka hilanglah imej Kampung Baru ini.
“Ini kampung masyarakat Melayu jadi biar masyarakat Melayu sahaja yang tinggal di sini.
“Mengapa mesti nak kacau kawasan kami?” katanya.
Fatimah Sarip, 70, pula berpendapat cadangan tersebut akan menyebabkan masyarakat Melayu tidak lagi dapat duduk dalam sebuah “komuniti yang dimonopoli masyarakat Melayu.”
“Saya hanya mahu masyarakat Melayu sahaja yang tinggal di sini.
“Kerana selama ini masyarakat Melayu sahaja yang tinggal di sini dan ini merupakan warisan turun-temurun,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Kehormat Lembaga Pentadbiran Penempatan Pertanian Melayu Kampung Baru, Shamsuri Suradi berkata masyarakat Melayu Kampung Baru membantah keras cadangan kerajaan tersebut.
“Sudah berpuluh tahun masyarakat Melayu tinggal di sini dan mereka memang membantah cadangan tersebut,” katanya.
Oleh itu tegas Shamsuri, beliau berharap kerajaan akan menimbang balik cadangan tersebut.

No comments: