KUALA KUBU BHARU - “Kami sudah hilang sabar!” demikian keluhan Tok Batin, Hassan Polis, 54, bersama penduduk Orang Asli, Kampung Kolam Air di sini berikutan masalah ketiadaan bekalan elektrik yang dialami sejak lima tahun lalu.
Menurutnya, selama ini, lapan keluarga di perkampungan tersebut hanya bergantung dengan pelita, lilin dan sesekali cahaya unggun api untuk melakukan kerja rumah termasuk apabila menguruskan persiapan anak-anak ke sekolah di waktu pagi.
Bagaimanapun, mereka terpaksa bergelap sekiranya perbelanjaan untuk membeli lilin dan minyak gas habis digunakan untuk membeli keperluan harian.
“Tetapi, walaupun kami marah dengan keadaan seperti ini, kami masih menghormati undang-undang kerana apa yang mahu hanyalah penyelesaian.
“Kami sedar kami hanya penduduk minoriti tetapi, kami ada hak seperti mana disuarakan kebanyakan pemimpin yang mahu membela nasib kami,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, semalam.
Hassan berkata, sejak 2006 mereka dijanjikan kemudahan bekalan elektrik sebaik rumah penduduk yang dibina menerusi Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) siap sepenuhnya di kampung mereka.
Hassan bagaimanapun kesal kerana walaupun rumah berkenaan siap, namun bekalan elektrik yang dijanjikan tidak disambung.
“Dua, tiga tahun kami masih boleh sabar, tapi ini sudah lima tahun kami menunggu dengan pelbagai janji dan alasan diberikan.
“Tetapi, sehingga ke hari ini kami tetap bergelap dan masih bergantung kepada lilin dan pelita sedangkan orang lain sudah menikmati kemudahan asas ini,” katanya.
Menurutnya, jika dilihat pada jarak perkampungan mereka dengan bandar yang hanya memakan masa lima minit atau lebih kurang 1.5 kilometer, tidaklah sukar untuk menyalurkan bekalan elektrik.
Katanya, perkara itu juga tidak mungkin menjadi faktor penghalang kerana tiang lampu dan kabel telah pun dipasang pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Bagaimanapun, beliau hairan mengapa kemudahan itu masih belum disambungkan ke perumahan mereka.
Apabila ditanya pernahkah aduan dibuat kepada Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), beliau berkata, mereka pun ada maruah dan tidak sepatutnya mereka dibiarkan turun naik ke pejabat JHEOA daerah untuk kemukakan perkara sama.
“Rasanya sudah bertimbun surat kami di pejabat JHEOA. Dan orang pejabat pun sudah muak dengan muka kami yang terlalu kerap ke sana.
“Jadi, kami rasa amat kecewa dengan masalah yang tidak berkesudahan ini sehingga membebankan kami semua,” katanya.
Sementara itu, Johari Buyung, 34, berkata, mereka pernah usahakan untuk memanjangkan aduan kepada wakil rakyat, namun mendakwa ditegah pegawai JHEOA kerana tidak mahu menanggung malu.
Johari berkata, mereka hanya dinasihatkan supaya bersabar dan menunggu sehingga peruntukan disalurkan.
“Sebab itu, kami tidak pernah menulis surat kepada wakil rakyat kawasan ini.
“Kami sebelum ini mencadangkan supaya biarlah kami yang tanggung kos pemasangan meter sekiranya JHEOA menghadapi masalah berkaitan hal ini.
“Tetapi, pegawai yang kami temui menegah kerana jabatan tidak sanggup menanggung malu,” katanya.
Johari berkata, disebabkan sekatan itu, penduduk terpaksa menanggung beban dan berdepan dengan pelbagai masalah.
Suri rumah, Bangsi Soya, 43, pula berkata, ketiadaan bekalan elektrik sememangnya mengundang banyak masalah terutama ketika menyediakan makan malam, masalah anak-anak mengulang kaji pelajaran dan ketika mengurus persiapan anak-anak ke sekolah.
Menurutnya, sering kali mereka terpaksa menggunakan unggun api untuk membuat kerja rumah atau menunggu siang untuk menyiapkan dan menghantar anak ke sekolah.
“Kalau sudah tiada lilin atau pelita, terpaksa meraba-raba dalam gelap. Bagi yang ada lampu suluh mungkin mudah, tetapi semua itu perlukan wang untuk bateri termasuk membeli minyak untuk pelita.
“Kampung kami juga gelap kerana sepanjang jalan tiada lampu. Kami juga bimbang apabila mahu menghantar anak ke sekolah sebab jalan gelap.
“Paling merisaukan yang berjalan kaki kerana bila sudah tiada minyak untuk mengisi tangki motor, kami terpaksa berjalan kaki keluar,” katanya.
Bangsi berkata, kebanyakan penduduk yang bergantung kepada hasil jualan buah Jering dan Petai atau sesekali dapat kontrak potong rumput, tidak mampu membeli bekalan minyak.
Namun katanya, penduduk perlukan cahaya di waktu malam sehingga terpaksa membeli diesel yang jauh lebih murah berbanding minyak gas mahupun petrol.
Selain itu sebuah lagi perkampungan Orang Asli, iaitu Kampung Buluh Telor turut berdepan masalah sama.
Difahamkan, lebih 40 penduduknya mengalami masalah serupa sejak bertahun lamanya.
Dalam pada itu, Pegawai JHEOA Daerah Hulu Selangor, Zainal Abidin Mat ketika dihubungi mengesahkan mengenai masalah dihadapi penduduk di kedua-dua kampung terbabit.
Beliau bagaimanapun, bersedia memberi maklumbalas pada petang ini memandangkan terpaksa menghadiri pertemuan bersama Pengarah JHEOA di Shah Alam, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Bharu, Wong Koon Mun ketika dihubungi melahirkan kekecewaannya berhubung dakwaan wujud sekatan ketika penduduk mahu mengemukakan aduan kepadanya.
Bagaimanapun, beliau bersedia membantu penduduk menyelesaikan masalah tersebut.
“Saya terkejut apabila dimaklumkan ada sekatan daripada pegawai JHEOA untuk membuat aduan kepada saya.
“Perkara ini tidak sewajarnya berlaku kerana JHEOA perlu mengutamakan hak rakyat daripada takut menanggung malu,” katanya.
Menurutnya, beliau menerima aduan penduduk Kampung Buluh Telor dan masalah mereka adalah tidak mampu mengemukakan deposit untuk pemasangan meter elektrik.
“Tetapi, saya bersedia menyalurkan sumbangan bagi pemasangan meter sekiranya maklumat lengkap diberikan JHEOA mengenai jumlah keperluan itu.
“Tetapi, sehingga kini saya belum menerima sebarang maklumat dan tidak menyangka perkara ini yang berlaku,” katanya.