HULU BERNAM - Pejabat Daerah Hulu Selangor (PDHS) berjaya mengesan kegiatan pelupusan sisa kenderaan secara haram yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab di sebuah ladang kelapa sawit di sini.
Pegawai Daerah, Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, maklumat mengenai kegiatan haram itu diperoleh hasil aduan penduduk termasuk penuntut universiti berdekatan yang menyedari wujudnya aktiviti melupuskan sisa buangan dengan kaedah pembakaran terbuka.
“Berdasarkan siasatan, kegiatan ini sudah berlarutan sejak sebulan lalu. Namun, pelupusan yang dilakukan di dalam ladang kelapa sawit sejauh lebih kurang dua kilometer menyebabkan ia sukar dikesan.
“Bagaimanapun, kegiatan haram ini berjaya dihidu ekoran kaedah pelupusan dilakukan secara pembakaran terbuka,” katanya kepada Sinar Harian selepas melakukan serbuan di lokasi tersebut di Ladang Escot, di sini, semalam.
Turut serta dalam serbuan itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Gombak, Penguatkuasa Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Penghulu Mukim Kalumpang serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Hulu Bernam.
Nor Hisham berkata, pelupusan sisa secara haram itu dilakukan di atas tanah milik individu seluas hampir 1.2 hektar.
Menurutnya, pemilik tanah terbabit didakwa telah menyewakan tanahnya kepada pengusaha tidak bertanggungjawab sebanyak RM700 sebulan.
“Kegiatan ini jelas menyalahi undang-undang dan kita akan mengambil tindakan kepada pemilik tanah di bawah Seksyen 127, Kanun Tanah Negara atas kesalahan melanggar syarat tanah.
“Pemilik tanah akan menerima notis pertama iaitu arahan supaya melakukan pemulihan semula tanah dan jika tidak dipatuhi, tanah tersebut akan dirampas,” katanya.
Sementara itu, Penolong Pegawai Kawalan Alam Sekitar JAS, Nik Ahmad Ridzuan Nik Mohd Kamil berkata, berdasarkan siasatan dan kesan kemusnahan alam sekitar, pihaknya akan mengambil tindakan lebih tegas dan pemilik tanah bakal berdepan tindakan mahkamah.
Menurutnya, JAS akan mengambil tindakan di bawah Seksyen 29 (a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 iaitu Larangan Pembakaran Terbuka dan pemilik tanah boleh kompaun sebanyak RM2,000.
“Bagaimanapun, pemilik tanah mungkin berdepan tindakan mahkamah dengan denda sehingga RM500,000,” katanya.
Dalam pada itu, Penghulu Mukim Kalumpang, Abdul Ghani Surani ketika ditemui berkata, sebelum ini pengusaha sama telah diberi amaran kerana melakukan kegiatan sama di Kampung Sungai Surian dan diberi arahan keluar.
Beliau bagaimanapun tidak menyangka pengusaha terbabit hanya beralih tempat dan meneruskan kegiatan tersebut di lokasi lain.
“Disember lalu, kita telah memanggil pengusaha terbabit dan memberi amaran supaya berhenti melakukan kegiatan tersebut dan persetujuan bersama mengenai perkara berkenaan dicapai.
“Jadi, kita menganggap mereka sudah berhenti, tetapi sebaliknya berlaku malah mereka bertindak melampau dengan melakukan kegiatan sama di dalam ladang kelapa sawit berdekatan kediaman penuntut universiti di sini,” katanya.
No comments:
Post a Comment