HULU BERNAM - Pemimpin di peringkat akar umbi perlu memainkan peranan dalam meyakinkan rakyat mengenai matlamat hidup dan perjuangan sebenar.
Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hanya dengan keyakinan itu mampu membentuk kefahaman seterusnya membangkit kesedaran rakyat mengenai perjuangan sebenar parti.
“Pemimpin di peringkat bawah harus sedar dan yakin dengan izin Allah SWT, yakin program kita lebih baik daripada Barisan Nasional (BN) dan yakin Melayu di kampung, Orang Asli, India di ladang mampu membawa perubahan.
“Jangan sesekali biarkan kita dianggap bodoh dan menuruti segala kemahuan pemimpin, tetapi perlu sedar tanggungjawab kita adalah untuk menyampaikan,” katanya ketika berucap di majlis Hi-Tea meraikan beliau di sini, semalam.
Hi-Tea bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim anjuran PKR Cabang Tanjung Malim itu turut dihadiri pemimpin PKR Pusat antaranya, Ketua Penerangannya, Prof Dr Muhd Nur Manuty dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Shamsul Iskandar Mohd Akim.
Turut hadir, Ketua Penerangan Pas Pusat, Idris Ahmad; Ketua PKR Cabang Tanjung Malim, Mejar (B) Kamal Badri.
Anwar berkata, rakyat dan pemimpin parti juga perlu mengambil contoh sikap pemimpin dalam Pas yang istiqamah dalam perjuangan mereka.
Menurutnya, pemimpin seharusnya terus turun padang dan menyusun strategi serta berdakwah sedarkan juga sampaikan mesej perjuangan parti.
“(Mesej) bukan saja untuk orang lain tetapi diri sendiri dan dengan itu mudah-mudahan kita dapat membawa perubahan menyeluruh.
“Jangan sesekali bimbang dengan kekalahan kerana kita pasti akan bangkit,” katanya.
Beliau berkata, seorang pemimpin itu seharusnya mengangkat martabat dan bukan menjatuhkan orang lain kerana perjuangan itu berbeza dengan pendekatan dilakukan UMNO dan BN.
Terdahulu, Anwar menyuntik semangat kira-kira 300 penyokong parti itu yang hadir di majlis tersebut dengan peristiwa kebangkitan rakyat di Mesir.
Menurutnya, kebangkitan itu adalah didorong oleh semangat dan keyakinan yang kental rakyat dan mereka mampu bersuara seterusnya membuktikannya.
“Mengapa saya bawa peristiwa Mesir ini? Bukan kerana sama dengan negara kita, tetapi ada ciri persamaan yang boleh kita belajar melalui apa yang berlaku di negara berkenaan.
“Kita boleh belajar kerana jelas dengan kekangan pemimpin, rakyat akan tertindas,” katanya
No comments:
Post a Comment