SHAH ALAM, 9 Feb: Kerajaan
Negeri Selangor telah mengarahkan Bazar Larut Jalan Jelatek Ampang
ditutup serta merta kerana gagal menarik pengunjung.
Penganjur bazar itu pula, Persatuan Wanita Ampang diarah membayar wang
deposit berjumlah RM16,160 kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya
(MPAJ).
Kerajaan Negeri juga mengarahkan MPAJ mengutip semua hutang tertunggak
daripada Persatuan Wanita Ampang yang diketuai Puan Salmah Ismail,
walaupun terpaksa menggunakan saluran undang-undang.
Setiausaha Politik kepada YAB Datuk Menteri Besar Selangor, Faekah
Husin berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat Majlis Tindakan
Ekonomi Negeri Selangor (MTES) pada 21 Disember 2011 selepas mendapati
Bazar Larut Malam itu gagal mencapat matlamat asal.
“MPAJ juga diberi amaran keras agar tidak lagi membenarkan mana-mana
persatuan mahupun Badan Bukan Kerajaan (NGO) menganjur projek serupa
sebelum mengenalpasti kemampuan pemohon/penganjur.
“Keputusan tegas ahli MTES antara lain mengingatkan semua PBT untuk
tidak sewenang-wenangnya mempercayaai mana-mana persatuan atau NGO
untuk mengendali projek tanpa menyelidik kebolehan persatuan tersebut,”
kata Faekah.
Beliau mengulas surat pembaca yang ditulis oleh Hakim Joe yang
disiarkan di laman portal berita Malaysia Today yang bertajuk Power vs
Authority yang disiarkan semalam. Hakim Joe mendakwa wujudnya pengaruh
politik dalam pemberian konsesi pengendalian pasar malam atau bazar
tersebut dan terdapat pengaruh parti politik dalam pentadbiran kerajaan
negeri ketika membendung salah guna kuasa yang dikatakan telah
berlaku.
“Penjelasan ini membuktikan tiada salah guna kuasa yang dikatakan cuba
ditutup oleh kerajaan negeri, tiada panggilan dan penyelesaian belakang
yang dilakukan oleh Presiden mahupun Ketua Umum Parti Keadilan dalam
menentukan keputusan seperti yang dikatakan penulis. Kalau tidak,
masakan keputusan tegas boleh diambil melalui mesyuarat terbuka MTES,”
kata Faekah.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri mengalu-alukan maklumat daripada orang
ramai jika terdapat salah guna kuasa untuk memastikan negeri ini
ditadbir dengan telus dan bertanggungjawab tetapi perlu disertakan
dengan fakta-fakta tepat untuk mengelak fitnah.
“Menuduh Menteri Besar tunduk dengan arahan pimpinan parti yang mahu
menutup amalan rasuah adalah tuduhan yang sangat berat dan tidak adil.
Kerajaan Selangor sedang dengan segala daya melaksanakan prinsip
pengasingan kuasa antara pentadbiran negeri dan parti yang mana kita
lihat telah gagal dilaksanakan pemerintahan BN sehingga membawa kepada
kejatuhannya di beberapa negeri termasuk Selangor,” katanya.
Faekah secara terbuka mengakui sukar melakukan reformasi dalam
pentadbiran apabila terlalu banyak kepincangan sepanjang 52 tahun
pemerintahan Barisan Nasional tetapi yakin Pakatan Rakyat mampu
melaksanakannya dengan usaha beterusan dan sokongan rakyat.
No comments:
Post a Comment