KUALA LUMPUR, 25 Nov (Hrkh) - Kongres Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) yang bakal berlangsung pada 28 hingga 30 November ini adalah kongres terbesar dan bersejarah untuk meraikan kemenangan rakyat.
Demikian kata Setiausaha Agung KeADILan, Dato' Salehuddin Hashim hari ini semasa mengadakan sidang media khas taklimat khusus kepada media bagi Kongres KeADILan yang akan berlangsung Jumaat hingga Ahad ini.
Menurut Salehuddin, kongres yang akan diadakan di Stadium Tertutup Malawati Shah Alam itu bakal menjanjikan himpunan terbesar parti.
Kongres akan dirasmikan oleh Presiden KeADILan, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, sementara kongres tahunan sayap parti, (Angkatan Muda dan Wanita KeADILan) pula akan berlangsung sehari lebih awal dari kongres di peringkat pusat.
"Ia adalah kongres pertama selepas kemenangan besar KeADILan dan Pakatan Rakyat selepas 8 Mac lalu yang mana ia merayakan kemenangan rakyat yang mahukan perubahan," ujarnya.
Beliau memaklumkan 1900 perwakilan dan 1200 pemerhati bertauliah mengesahkan kehadiran mereka bagi kongres selama tiga hari itu.
Sementara dijangka lebih 20,000 penyokong pula akan membanjiri Ceramah Perdana yang akan disampaikan Ketua Umum Parti, Dato' Seri Anwar Ibrahim pada jam 9.00 malam, Sabtu 29 November di Stadium Malawati.
Mengulas mengenai usul-usul yang diterima dan bakjal dibahaskan, Salehuddin mengumumkan antara tiga hingga lima usul akan dibahaskan.
Sementara pihak Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) telah menerima lebih 70 usul yang dibawa oleh Bahagian-bahagian KeADILan seluruh negara, katanya.
"Tidak kesemua usul ini akan dibahaskan, kerana ia telahpun ditapis oleh MPT, namun ada usul yang akan diselitkan dalam ucapan dasar Presiden Parti, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail," katanya.
Beliau turut menyatakan isu pembentukan kerajaan 16 September bakal menjadi antara isu yang akan dibahaskan perwakilan semasa kongres itu nanti.
Di pihak pimpinan, mereka telah bersedia dengan jawapan terhadap isu-isu yang bakal dibangkitkan, katanya.
Pihak MPT juga menjangkakan isu-isu ekonomi, isu rakyat tertindas dan isu politik semasa bakal menghiasi perjalanan perbahasan kongres kali ini.
Beliau melahirkan harapan agar kongres kali ini akan berjalan dengan keadaan yang paling baik. _
No comments:
Post a Comment