June 28, 2009

TGNA AJAK DS NAJIB BERDEBAT SELESAI ISU POLITIK

KOTA BHARU – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, akan menghantar surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mengajak beliau mengadakan debat secara terbuka untuk menyelesaikan kemelut politik yang berlaku antara Pas dan UMNO. Nik Aziz berkata, surat yang dirangka khusus untuk Najib itu dibuat bagi menyelesaikan kemelut politik yang berlaku di antara kedua-dua parti. Beliau berkata, langkah itu adalah sebagai reaksi terhadap laporan polis yang dibuat dua hari lalu oleh Pergerakan Pemuda UMNO negeri berhubung kenyataan beliau dalam satu ceramah politik pada 21 Jun lalu, yang didakwa berbaur hasutan dan boleh mencetuskan ketegangan. “Sekarang macam-macam berlaku. Pemuda UMNO Kelantan kelmarin dalam sidang akhbar melaporkan bahawa mereka membuat laporan polis berkenaan ucapan saya. Tak apa. Itu dia punya fasal. “Tetapi saya fikir ia tidak akan menyelesaikan masalah. Masalah itu hanya akan selesai dengan cara Islam. Dalam Islam ada tiga cara, pertama dengan bijaksana; kedua, nasihat dan ketiga adalah berdebat,” katanya kepada media selepas mengimamkan solat dhuha sempena sambutan Bulan Sembahyang di pekarangan Pasar Siti Khadijah di sini, semalam. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Islam dan Dakwah negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah. Nik Aziz berkata, perkara yang berlaku sekarang tidak akan selesai hanya dengan menggunakan media sebagai saluran, tetapi mesti dibincangkan secara berdepan. “Saya nak minta beliau (Najib) berdebat dengan saya bulat-bulat secara terbuka. Tidak secara sulit kerana perkara ini telah terbuka kepada umum. Tak habis-habis sejak tahun 1951. “Saya cuma nak tahu kenapa UMNO tolak Islam. Kenapa UMNO lawan Pas sedangkan Pas ini guna Islam. Debat secara terbuka antara beliau sebagai pemimpin Islam dengan Najib yang dianggapnya pemimpin sekular,” katanya.

No comments: