September 20, 2010

DEMOKRASI SEBENAR MENGGALAKAN PERBEZAAN DAN PERTEMBUNGAN IDEA - NURUL IZZAH

Oleh Frederick Luccas
SHAH ALAM 19 Sept - Calon yang akan bertanding pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) diminta menunjukkan sikap kepimpinan dan kebertanggungjawaban sekaligus membuktikan Pemilihan 2010 sememangnya bebas dan berdemokrasi.
Ahli Parlimen Lembah pantai, Nurul Izzah Anwar berkata beliau berasa gembira dengan keputusan KEADILAN melaksanakan sistem undi terus yang mencerminkan identiti sebenar pilihan raya yang sepatutnya diadakan di negara ini.
"Seluruh warganegara Malaysia kini menyaksikan bagaimana kita akan berjaya melaksanakan demokrasi tulen di dalam parti, kerana ini akan dijadikan petunjuk cara kita akan mentadbir negara kelak," kata beliau dalam satu kenyataan semalam.
Jelas beliau, demokrasi sebenar mengalakkan pandangan berbeza dan pertembungan idea di antara calon yang akan bertanding.
Katanya lagi, pilihan raya yang sihat adalah apabila ahli parti menilai logik dan keberkesanan ideologi calon yang bertanding, bukannya melihat kepada personaliti dan populariti calon tersebut.
"Jangan kita membuat silap dengan hanya melihat utusan sahaja tanpa menilai mesej yang di bawa. Intipati mesej patut dijadikan pertandingan, bukannya bentuk atau rupa mesej tersebut.
"Setelah kita berjaya merentas cabaran dan kerecokan pilihan raya, kita perlu mengetepikan pangkat dan bersatu menerima calon yang baru dilantik agar dapat membawa perubahan dan membina satu Malaysia yang lebih baik," jelas Nurul Izzah.
Beliau menjelaskan, pemilihan parti kali ini wajar dilihat sebagai satu latihan bina diri untuk ahli parti dan juga sebagai kempen membina keyakinan untuk semua rakyat Malaysia.

No comments: