September 14, 2010

Tengku Muhammad Faris dimasyhur



Tengku Muhammad Faris Petra menerima watikah pemasyhuran Raja Kelantan daripada Nik Abdul Aziz Nik Mat (tengah) di Balairung Seri Istana Balai Besar di Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 13 Sept. - Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan yang baru berkuat kuasa hari ini.
Pengisytiharan pemasyhuran itu diumumkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Balairung Seri Istana Balai Besar di sini pada pukul 12.30 tengah hari ini.
"Maka dengan ini diisytiharkan mengikut perkara 29 A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan melantik dan mengesahkan Pemangku Raja Kelantan menaiki takhta menggantikan ayahanda baginda berkuat kuasa hari ini," katanya ketika mengumumkan pemasyhuran itu.
Turut hadir Tengku Bendahara Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra, Pengerusi Majlis Perajaan Negeri Kelantan yang juga Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Almarhum Sultan Ibrahim, Pengelola dan Ketua Istiadat Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad, pembesar-pembesar negeri dan semua anggota Parlimen dan Anggota Dewan Undangan Negeri Kelantan.
Nik Abdul Aziz berkata, Majlis Perajaan Negeri Kelantan yang dipengerusikan Tengku Abdul Halim telah bermesyuarat pada pukul 9 pagi ini di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Kota Darul Naim di sini bagi membuat keputusan itu.
Sebagai mewakili rakyat jelata, Nik Abdul Aziz melafazkan taat setia yang tidak berbelah-bahagi terhadap Sultan Kelantan.
"Sekian hamba rakyat mengaku taat setia dan kepada Allah SWT dipohonkan taufik dan hidayat semoga Tuanku Muhammad Faris Petra dapat memerintah dan memandu negeri agar aman, mewah dan makmur dan semoga Allah SWT menyelamatkan Tuanku di dunia dan di akhirat," katanya sebelum mengakhiri pengisytiharan itu dengan laungan takbir Allahuakbar sebanyak tiga kali.
Menurut sumber, seramai 15 anggota MPN hadir pada mesyuarat pagi ini kecuali dua anggotanya iaitu Ahli Parlimen Gua Musang yang juga kerabat diraja Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah dan adinda bongsu Sultan Kelantan Tengku Amalin A'Ishah Putri.
Tuanku Muhammad Faris Petra diputerakan pada 6 Oktober 1969 telah dianugerahkan gelaran Tengku Mahkota Kelantan pada Oktober 1985.
Baginda juga mempunyai tiga adinda iaitu Tengku Bendahara, Tengku Muhammad Faiz Petra, Tengku Temenggong Tengku Muhammad Fakhry Petra dan Tengku Amalin A'Ishah Putri. - Bernama

No comments: