November 27, 2010

Wanita KEADILAN Mahu Jawatan Ketua Umum Diwujudkan Untuk Anwar

Oleh Suara Keadilan
PETALING JAYA 26 Nov - Setelah melihat kedudukan kehormat Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat dipertikaikan oleh sesetengah pihak semasa pencalonan dan kempen Pemilihan 2010 lalu, Wanita KEADILAN hari ini mencadangkan agar jawatan rasmi diwujudkan bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Wanita Zuraida Kamaruddin berkata jawatan khas sebagai Ketua Umum diberikan kepada Anwar sebagai penghargaan dan pengiktirafan parti terhadap pergorbanan beloiau menegakkan keadilan serta kesengsaraan dan keaiban yang dialami beliau disebabkan angkara Umno-Barisan Nasional.
"Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya tidak perlu sebut (panjang) kerana sebelum ini beliau diaibkan dan dinafikan haknya dan keluarganya.
"Oleh kerananya, Keadilan (PKR) ditubuhkan (maka) beliau perlu diberi pengiktirafan. Khas untuknya," kata Zuraida dalam ucapan dasarnya yang bertajuk "Suburkan Demokrasi Tujah Inovasi" pada kongres Wanita di Dewan Sivik di sini pagi tadi.
Beliau berharap cadangannya itu mendapat sokongan padu perwakilan Wanita bagi melihat Anwar disahkan sebagai Ketua Umum secara rasmi pada kongres kali ini.
"Lahirnya reformasi kerana Anwar, suburnya demokrasi usaha Anwar, melangkah inovasi bersama Anwar!" jelas beliau lagi.
Pada sidang media selepas tamat sesi perbahasan ucapan dasar beliau, Ahli Parlimen Ampang itu menjelaskan tidak ada konflik dengan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Presiden kerana ketokohan Anwar akan memanfaatkan KEADILAN sekiranya beliau berada dalam struktur parti.

No comments: