May 08, 2012

AHLI MAJLIS HULU SELANGOR DI TAHAN PETANG TADI @ BERSIH 3.0

Selasa, 8 Mei 2012~ Seorang anggota Majlis Perbandaran Hulu Selangor K Suppiah antara tiga aktivis Pakatan Rakyat yang ditahan polis, dipercayai ekoran penglibatan mereka dalam perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April lalu.

Dua aktivis sudah dibawa ke ibu pejabat polis daerah Dang Wangi untuk disoal siasat manakala Suppiah pula dijangka turut dibawa ke tempat sama daripada balai polis Kuala Kubu Bharu.

Naib Presiden PKR N Surendran berkata, Suppiah yang juga pemimpin PKR akar umbi ditahan pada jam 1 petang tadi ekoran termasuk dalam senarai individu dikehendaki polis berhubung insiden dalam perhimpunan minggu lalu.

"Kita mengutuk penahanan itu dan mesti segera dibebaskan," kata Surendaran yang juga pengamal undang-undang ketika dihubungi Malaysiakini.

Sementara itu, dua aktivis lagi, exco Pemuda PKR (AMK) Farhan Ibrahim dan anggota Unit Amal PAS Mat Kamal Ismail sudah pun dibawa ke IPD Dang Wangi sejak pagi tadi.

Timbalan Ketua Penerangan AMK Rozan Azen Mat Rasip (kanan) berkata, Farhan ditahan kira-kira jam 3 pagi di Melaka Tengah dan disiasat bawah seksyen 440 Kanun Keseksaan berkaitan melakukan khianat ketika rusuhan.

"Dia ditahan tanpa waran," dakwa Rozan ketika dihubungi Malaysiakini.

Farhan diwakili peguam Mohd Yusmadi Yusoff yang juga ahli parlimen Balik Pulau

Sementara itu, Harakahdaily melaporkan Ketua Pengarah Unit Amal PAS Johari Osman sebagai berkata, Mat Kamal ditahan beberapa anggota polis kira-kira jam 12 malam tadi ketika sedang bekerja syif malam.

"Selepas ditahan dia dibawa ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Teluk Kemang dan pagi tadi dia dibawa ke IPD Dang Wangi Kuala Lumpur," kata Johari yang dipetik Harakahdaily.

Setakat ini, masih belum pasti bila mereka akan dibebaskan.

No comments: