May 29, 2009

TEROBOH DULU - JAYA SUPERMARKET, PJ, KERJA2 DIBERHENTIKAN !



SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor hari ini sudah mengarahkan semua kerja merobohkan bangunan Jaya Supermarket dihentikan serta merta bagi membolehkan siasatan dijalankan untuk mencari punca berlakunya terjadi tragedi semalam yang mengorbankan dua nyawa.
Hanya kerja-kerja mencari dan menyelamat lima pekerja Indonesia yang masih hilang dibenarkan sehingga sebab kejadian tersebut dikenalpasti.
Keputusan ini sudah dibuat setelah unit kejuruteraan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (DOSH) dan Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) memberi taklimat di mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pagi tadi.
MBPJ juga sudah diarahkan supaya memastikan jentera-jentera yang digunakan dalam kerja merobohkan bangunan tersebut tidak dibenarkan dibawa keluar. Pihak IKRAM sudah diberi masa selama satu minggu untuk menyampaikan laporan siasiatan pada hari Jumaat minggu hadapan dalam mesyuarat MTES.
Kerajaan Negeri juga sudah mengarahkan supaya pihak MBPJ dapat memastikan semua jenazah-jenazah mangsa diuruskan dengan baik mengikut adat serta agama masing-masing. MBPJ juga mungkin berurusan dengan semua kedutaan yang terlibat bagi memastikan semua sanak-saudara mangsa mengetahui status kejadian di samping mengeluarkan kenyataan memohon maaf serta ucapan takziah kepada semua mangsa.
Kawalan keselamatan juga sudah dilakukan di seluruh kawasan kejadian bangunan runtuh bagi memastikan keselamatan penduduk setempat. Risalah-risalah berhubung kejadian serta kaunter informasi mungkin didirikan di kawasan kejadian bertujuan memberi maklumat kepada orang ramai serta keluarga mangsa yang terlibat berhubung kejadian.
Melalui taklimat mengenai kejadian runtuhan bangunan Jaya Supermarket hari ini, Kerajaan Negerimendapati terdapat kelemahan garis panduan yang serius dalam kerja-kerja merobohkan bangunan tersebut.
Kelemahan ini harus diperbetulkan secepat mungkin supaya tragedi ini tidak berulang dan rancangan pembangunan di Negeri Selangor tidak terganggu.
Terima Kasih.
TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO MENTERI BESAR SELANGOR

No comments: