November 09, 2009

GARANG JUGA SPEAKER TENG CHANG KHIM KPD AMK SELANGOR..

SHAH ALAM, 9 Nov - Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Teng Chang Khim hari ini menegur tindakan Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang mahukan pejabat Speaker menyerahkan memorandum bantahan mereka kepada Anggota Dewan Undangan  Negeri (Adun) Pelabuhan Klang Badrul Hisham Abdullah.
“Saya tersinggung…ini satu tindakan tidak sopan…mereka boleh serah memo tetapi jangan anggap pejabat speaker pejabat pos… pejabat speaker harus
dielakkan daripada terlibat di dalam gerakan politik sedemikian,” katanya.
Bercakap pada sidang akhbar di luar sidang Dewan Undangan Negeri hari ini, Teng berkata pada sebelah pagi, Setiausaha Politik Kepada Menteri Besar Nik Nazmi Nik Ahmad telah bersetuju menerima memorandum bantahan daripada AMK tetapi AMK bertegas mahukan pejabat speaker menyerahkan memorandum itu kepada Badrul Hisham.
“Saya minta AMK ambil kembali (memo) itu daripada pejabat saya. Saya tidak akan serahkan kepada Badrul,” tegasnya.
Teng yang jelas kecewa dengan perkara itu berharap AMK dan mana-mana parti politik lain tidak mengulangi tindakan sedemikian.
Terdahulu, sekumpulan anggota AMK Selangor yang diketuai Ketua Penerangan AMK Kebangsaan Lee Khai Loon mengadakan demonstrasi secara aman di hadapan bangunan Dewan Undangan  Negeri sebelum sidang dewan bermula pagi ini meminta Badrul Hisham meletakkan jawatan sebagai Adun kerana mendakwa beliau gagal menjalankan tanggungjawabnya kepada rakyat.
Badrul Hisham baru-baru ini mengumumkan keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menjadi Adun Bebas yang menyokong Barisan Nasional (BN).
Sementara itu ketika ditemui pemberita, Badrul Hisham yang hadir pada sidang dewan hari ini berkata beliau tetap dengan pendiriannya menjadi Adun Bebas dan tetap memberi sokongan kepada BN.

No comments: