SHAH ALAM – Barisan Ahli Dewan Negeri Selangor (ADUN) muda daripada Pakatan Rakyat (PR) menggesa Kerajaan Negeri menghentikan penghantaran mahasiswa institut-institut pengajian tinggi milik Kerajaan Negeri mahupun anak-anak syarikat Kerajaan Negeri seperti Universiti Industri Selangor (Unisel), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) dan Kolej Inpens ke program anjuran Biro Tata Negara (BTN), Jabatan Perdana Menteri. ADUN Batu Caves, Amiruddin Shari berkata, mereka yang mengikuti program berkenaan mengadu pengisian program sebahagiannya tiada kaitan dengan nilai kenegaraan mahupun penyebaran ilmu, sebaliknya adalah program politik kepartian UMNO-Barisan Nasional dan perkauman semata-mata. Menurut beliau, peserta kursus didoktrinkan dengan propaganda tentang ketuanan Melayu dan ancaman luar serta tidak diberikan ruang untuk mencabar propaganda tersebut memandangkan programnya berjalan secara satu hala sahaja. “Sepanjang pengalaman saya di universiti, saya percaya hal ini turut dipropagandakan kepada minda pelajar bahawa mereka perlu mengikuti program BTN, kalau tidak mereka tidak ‘graduate’. “Ini adalah satu penipuan, ini adalah satu sikap yang tidak jujur. Bagi saya Kerajaan Negeri mampu melaksanakan seminar atau kursus yang lebih baik malah akan buat banyak program dan menghalang dari menghadiri program yang merosakkan oleh BTN,” katanya. Amiruddin berkata, pihaknya yakin program berkenaan bertentangan dengan matlamat asal penubuhan BTN malah bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Beliau berkata, sepatutnya mahasiswa perlu didedahkan dengan lebih banyak program ilmu yang memberikan ruang pelbagai pandangan dibincang dan dibahaskan. Katanya, program ini boleh berbentuk forum mahupun pidato terbuka, bukannya dibuat secara senyap-senyap dan tertutup sebagaimana modus operandi program BTN. “Kami menghantar surat yang ditandatangani semua ADUN muda PR kepada Menteri Besar dengan salinan kepada Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan Negeri Selangor, Dr Halimah Ali untuk menyatakan pandangannya. “Justeru, kita berpandangan Kerajaan Negeri ada pendiriannya terhadap isu-isu ini. Jadi saya minta supaya Kerajaan Negeri bertindak untuk mengarahkan jemaah universiti untuk menghalang mereka daripada menghadiri program BTN,” katanya. Sementara itu, ADUN Teratai, Jenice Lee berkata, sekiranya program yang dijalankan berkaitan pentadbiran negara dan demi kebaikan masyarakat sudah tentu tidak akan timbul perkara seperti ini. “Kita tidak kisah sekiranya program tersebut memberikan manfaat kepada pelajar, contohnya hak asasi manusia, apakah itu demokrasi? Tetapi tujuan ini seolah-olah menipu pelajar pergi sana selepas itu buat ‘brain wash’ mereka dengan isu-isu perkauman ataupun permusuhan dengan parti yang lain,” katanya. Manakala ADUN Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad yang pernah mengikuti program BTN berkata, sepanjang dalam program tersebut ada dikatakan KeAdilan atau Anwar Ibrahim adalah ejen Yahudi, DAP adalah parti ejen Singapura, Pas adalah parti ajaran sesat. Beliau berkata, itu yang dimasukkan ke dalam modul mereka yang bersifat politik kepartian, maksudnya tidak wujud sebuah program sebenar di bawah Jabatan Perdana Menteri dan pelajar tidak dibenarkan memberikan hujah sendiri. |
November 20, 2009
TOLONG JANGAN HANTAR MASHISWA KE BTN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment