November 10, 2009

Jais boleh guna budi bicara ..


SHAH ALAM – Usaha menyediakan garis panduan atau peraturan berkenaan pentauliahan untuk seseorang itu memberikan kuliah agama oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sememangnya amat disokong. 
Bagaimanapun, peristiwa tangkapan yang dibuat ke atas bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin dengan menggunakan undang-undang bagi menghalang beliau menyampaikan kuliah agamanya dilihat sebagai tindakan yang tidak wajar. 
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Muda, Mat Shuhaimi Shafiei berkata, sebagai seorang yang pernah memegang jawatan sebagai mufti sepatutnya Dr Asri perlu diberi peluang untuk memberikan kuliah dan juga tazkirah. 
Katanya, menurut Peraturan 22 Negeri Selangor terdapat pengecualian kepada mana-mana orang terutamanya bekas-bekas Mufti untuk memberikan kuliahnya. 
“Mereka ini adalah orang yang telah menerbitkan buku-buku ilmiah berkaitan agama dan mempunyai pengalaman yang cukup dan Jais tidak perlu menggunakan peraturannya terhadap mereka kerana tiada tauliah daripada Jais. 
“Kerajaan negeri boleh menggunakan Peraturan 22 ini untuk mengecualikan beliau bagi memberikan kuliah dan berasa pelik kerana Jais tidak menggunakan peruntukan peraturan terbabit,” katanya. 
Menurut Suhaimi, Jais hanya menekankan yang Dr Asri ini tiada tauliah sedangkan mereka boleh menggunakan budi bicara dengan menggunakan Peraturan 22 terbabit . 
Katanya, beliau menyeru kepada Jais dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) untuk membetulkan persepsi masyarakat yang keliru di atas penangkapan Dr Asri. 
“Perkara pokok yang difikirkan oleh masyarakat terhadap Dr Asri, beliau membawa pemahaman yang sesat. 
“Jais, Exco dan juga Mais melalui DYMM Sultan perlu mempertimbangkan untuk tidak mendakwa Dr Asri,” katanya.



No comments: