November 23, 2009

SPR PERLU ADAKAN PRU DIKOTA SEPUTEH - MAHKAMAH TINGGI KL


PUTRAJAYA, Nov 23 – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar mengadakan pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh, Kedah.

Ia perlu diadakan dalam tempoh 60 hari berkuat kuasa 16 November lalu.
Mahkamah mengarahkan SPR mengeluarkan notis untuk pilihan raya kecil - yang ke-10 sejak pilihan raya umum Mac 2008 - menjelang Rabu ini.
Bagaimanapun Jabatan Peguam Negara yang mewakili SPR mahu memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.
Pada Isnin lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa SPR wajar mengadakan pilihan raya kecil di kerusi berkenaan selepas didapati wujud kekosongan.
Bagaimanapun Jumaat lalu, hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin mendengar permohonan SPR untuk menangguhkan keputusan tersebut.
SPR memfailkan permohonan itu Rabu lalu selepas Alizatul mengisytiharkan kerusi DUN itu kosong dan memutuskan Datuk Abu Hassan Sharif dari BN-Umno bukan lagi wakil rakyat kawasan berkenaan selepas gagal menghadiri sidang DUN dua kali berturut-turut tanpa kebenaran.
Pada 1 September, Speaker memfailkan semakan kehakiman selepas SPR menerima sijil cuti sakit Abu Hassan berikutan ketidakhadirannya dalam sidang DUN serta mengisytiharkan bahawa tidak berlaku kekosongan bagi kerusi itu dan wakil rakyat BN itu masih merupakan ADUN kawasan berkenaan.
Hari ini, mahkamah menolak hujah SPR bahawa urusan mengadakan pilihan raya kecil akan membabitkan kos besar.
Malah Alizatul juga menolak hujah SPR bahawa akan wujud masalah-masalah lain jika mahkamah yang lebih tinggi membuat keputusan memihak kepada suruhanjaya itu dan membatalkan keperluan mengadakan pilihan raya kecil.
Selain itu, Alizatul juga menegaskan masalah kemungkinan penduduk Kota Siputeh akan mempunyai dua wakil rakyat bukan soal SPR.

No comments: