May 20, 2010

BILA SAMMY VELLU BETUL2 NAK ANGKAT BUNGKUS !


PETALING JAYA 19 Mei - Datuk Seri S. Samy Vellu hari ini didesak meletakkan jawatan Presiden MIC sebelum akhir tahun ini kerana kepimpinannya sudah tidak diperlukan oleh kebanyakan masyarakat India.
Desakan tersebut dibuat oleh Timbalan Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, V. Mugilan yang sebelum ini disebut-sebut sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor pada bulan lalu.
Beliau yang juga Ketua Pemuda MIC Hulu Selangor berkata, pengunduran Samy Vellu akan memberi peluang kepada pemimpin baru menerajui dan menstrukturkan semula parti itu sebelum menghadapi cabaran pada Pilihan Raya Umum Ke-13.
"Zaman bagi orang lama seperti dia untuk menerajui parti yang mewakili kaum India sudah berlalu.
"Atas sebab itu dia harus berundur segera kerana dia kini menjadi beban kepada parti dan BN," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mugilan berkata, apa yang disuarakan olehnya hari ini adalah sekadar mahu mengingatkan kembali Samy Vellu tentang desakan sama yang pernah dilakukannya terhadap bekas Presiden MIC, Tun V. Sambanthan kira-kira 30 tahun lalu.
"Hari ini kami menggunakan modus operandi yang sama ketika Samy Vellu mendesak Tun Sambanthan meletak jawatan dahulu.
"Kini kami beranggapan dia tidak mampu memimpin lagi" katanya.
Katanya, sokongan pengundi India kepada BN pada Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor bulan lalu bukan kerana Samy Vellu tetapi mereka menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Kalau Samy Vellu tidak berkempen di Hulu Selangor, BN akan menang dengan majoriti yang lebih besar lagi," katanya.
Ditanya adakah beliau bimbang desakan itu akan menyebabkan beliau dipecat daripada parti, Mugilan berkata, jika itu berlaku, beliau akan menggelar bekas ahli Parlimen Sungai Siput itu sebagai diktator.

No comments: