May 24, 2010

SAIFUDDIN - KONGRES PKR 28-30 MEI LAMBANG KEUTUHAN PKR


PENGKALAN CHEPA, 24 Mei: Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang akan mengadakan kongres kali keenam pada 28 hingga 30 Mei ini adalah menjadi lambang keutuhan parti, kata setiausaha agungnya, Saifuddin Nasution Ismail(gambar).
Kongres itu akan diadakan di Dewan Konvensyen Kelantan Trade Centre (KTC) yang disertai kira-kira 2,000 perwakilan dari seluruh negara.
Demikian dinyatakan Saifuddin ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah isu semasa anjuran Urusetia Kerajaan Negeri Kelantan bertempat di Kampung Pauh Panji, malam tadi.
Beliau berkata, tema kongres kali ini ialah ‘Harapan Baru Selamatkan Malaysia’ di mana tumpuan akan diberikan kepada ucapan dasar presiden yang akan mengulas empat perkara iaitu isu-isu disiplin dan organisasi, PKR dan prestasi negeri-negeri Pakatan Rakyat, isu-isu pilihan raya dan isu-isu semasa.
“Presiden juga akan menyentuh isu semasa dan memberikan penjelasan yang panjang lebar berkaitan isu membabitkan Yang Berhormat meninggalkan parti,” ujar beliau lagi.
Katanya, isu lompat parti disentuh secara terperinci oleh presiden dan perwakilan akan diberi masa secukupnya untuk membahaskan pelbagai isu semasa dalaman parti dan kongres kali ini akan menyaksikan 206 perwakilan cabang yang akan hadir.
“Perbahasan kali ini akan diberi ruang secukupnya dengan memberi tumpuan kerangka ucapan dasar presiden dan penutup kongres pada 30 Mei akan disampaikan oleh Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Machang.
Sementara itu, bagi mengisi program sebelah malam, dua ceramah perdana akan diadakan iaitu di Tanah Merah yang akan dihadiri oleh Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang manakala di Kota Bharu pada 29 Mei pula oleh tiga Menteri Besar iaitu Tuan Guru, Lim Guan Eng dan Tan Sri Khalid Ibrahim.
Menyentuh isu keahlian semasa PKR kini, Saifuddin berkata, PKR kini mempunyai keahlian yang sah seramai 125,000 orang walaupun digembar-gemburkan dengan ahlinya yang keluar parti pada setiap kali pilihan raya kecil diadakan.
“Saya sangat berpuas hati dengan keahlian masa kini, tetapi ia tidak bermakna tiada ruang untuk menambahkan ahli dan usaha untuk menambah ahli semakin meningkat.
“Kongres kali ini juga akan menyentuh isu keahlian dan perwakilan akan diberi penerangan langkah untuk menarik ahli, jadi kongres ini juga akan mengingatkan kita kerja-kerja asas parti iaitu siap sedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa,” katanya lagi.
Turut menyampaikan ceramah pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang juga Adun Panchor dan Adun Pasir Tumboh, Ahmad Baihaki Atiqullah.

No comments: