October 11, 2011

DS ANWAR ~ MINTA PERHATIAN AGONG BERKENAAN ISU KAMPUNG BARU

Malaysiakini
Walaupun Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru 2011 telah diluluskan oleh Dewan Rakyat, ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan agar isu berkaitan akta berkenaan diketengahkan untuk perhatian Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor.
Katanya, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa melengahkan perkenan baginda kerana perkara itu “menyentuh isu kepentingan penduduk Melayu”.
“Dia (kerajaan) lulus, dia boleh lulus. Sekarang ia masih di peringkat Dewan Negara (sebelum digazetkan). Kemudian (perlu) perkenan Yang di-Pertuan Agong.
“Saya berbincang dengan Salahudin Ayub, boleh jadi perkara ini akan diketengahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor untuk melengahkan (supaya) tidak mengeluarkan kelulusan.
“Ini kerana (ia) menyentuh isu (kepentingan dan masa depan orang) Melayu dan penduduk Melayu (di situ),” katanya dalam majlis penerangan “Selamatkan Kampung Baru” malam tadi.
Bagaimanapun Anwar dalam ucapan di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru itu, tidak menyatakan bila Pakatan Rakyat yang diterajuinya akan berbuat demikian.
Menyifatkan cadangan itu sebagai “saluran sementara”, Anwar berkata apa yang lebih penting tindakan itu dibuat bagi memastikan akta tersebut “tidak sempat dilaksanakan dengan sepenuhnya”.
“Kita nak beritahu bahawa rakyat ada pilihan,” tegasnya sambil menerima tepukan gemuruh kira-kira 500 penduduk Kampung Baru yang hadir pada majlis tersebut.
Turut bersama adalah tiga ahli parlimen Pakatan iaitu Salahudin Ayub (Kubang Kerian), Tian Chua (Batu) dan Tan Sri Khalid Ibrahim (Bandar Tun Razak).

No comments: