October 18, 2011

GEJALA SOSIAL SEMAKIN KRITIKAL ~ EXCO DR HALIMAH ALI

AMPANG JAYA 18 OKT : Selain berfungsi melahirkan masyarakat berilmu institusi perpustakaan juga boleh menangani gejala sosial di negara ini yang dianggap semakin kritikal serta menjadi krisis nasional.
Sehubungan itu, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata usaha kerajaan negeri membuat pembaharuan dengan penjenamaan semula perpustakaan di negeri adalah satu tindakan jangka panjang bagi menangani masalah tersebut dari terus berleluasa.

Kewujudan perpustakaan dengan pelbagai kemudahan serba lengkap yang canggih mengikut peredaran masa juga mampu membentuk masyarakat terutama golongan muda menjadi generasi berilmu dan memiliki jati diri terpuji.
Katanya, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) yang dipertanggungjawabkan terhadap usaha itu telah mengorak langkah positif bermula dengan pembukaan perpustakaan di Seksyen 13 Shah Alam yang mana ketika ini mendapat sambutan yang baik dengan kehadiran ramai pengunjung yang semakin bertambah dari masa ke semasa.
Tegasnya, perpustakaan yang selama ini dianggap sebagai lokasi membosan kini mengalami pembaharuan dengan suasana yang lebih ceria serba baru dan canggih serta dilengkapi pelbagai kemudahan moden untuk keperluan pengunjung.

"Usaha penjenamaan semula perpustakaan di negeri Selangor yang dilakukan kerajaan negeri menerusi PPAS ini adalah usaha bagi memerangi gejala sosial serta jenayah dan yang lain supaya ia dapat dibendung dan seterusnya mampu melahirkan generasi baru yang berilmu dan punya jati diri yang boleh dibanggakan.
"Ia juga adalah perancangan kerajaan negeri untuk terus membangunkan Selangor sejajar dengan statusnya sebagai negeri termaju di negara ini," katanya ketika merasmikan PPAS cawangan Ampang Waterfront di semalam.
Turut hadir, Pengarah PPAS, Mastura Mohamad; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bangi, Dr Shafie Abu Bakar dan ADUN Lembah Jaya, Khazim Abdul Aziz dan Pengerusi Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor), Raja Idris Raja Kamaruddin.

Dr Halimah berkata, PPAS kini memiliki sebanyak 97 perpustakaan di seluruh Selangor dan kompleks perpustakaan itu dibiayai di bawah agenda tanggungjawab sosial korporat Perangsang Selangor yang kesemuanya berjumlah RM1.3 juta
Katanya, perpustakaan dikendalikan PPAS mempunyai pelbagai kemudahan untuk dimanfaat sepenuhnya oleh pengunjung dan ini amat bermakna kerana ia mengubah kesedaran orang ramai untuk mengunjungi perpustakaan.

"Jika selama ini orang ramai terutama remaja sering kali mengunjung kafe siber untuk melayari internet, kini mereka boleh berkunjung ke perpustakaan ini yang mana ianya disediakan untuk digunakan.

"Malah banyak lagi kemudahan disediakan seperti ruang santai, kemudahan surau, sudut kanak-kanak, kafe dan sebagainya," katanya.

No comments: