April 01, 2012

DS ANWAR ~ KRITERIA CALON PRU13 DIPERKETATKAN ELAK LOMPAT

Ketua Umum PKR berkata, antara kriteria utama calon yang dinilai adalah amanah, berintegriti, tidak rasuah, dan setia pada parti.


SUBANG JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini memperketatkan syarat kelayakan calonnya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara kriteria utama calon yang dinilai adalah amanah, berintegriti, tidak rasuah, dan setia pada parti.

PKR sebelum ini menghadapi kesukaran apabila empat daripada ahli parlimennya serta beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) keluar PKR dan menjadi wakil bebas, lalu mengambil pendekatan menyerang Ketua Pembangkang itu dengan isu-isu peribadi.

Anwar turut menyelar budaya Umno yang mementingkan kroni dan membenarkan ramai golongan profesional berada di syarikat besar mengambil kesempatan mengaut keuntungan.

“Budaya sebegini memang sudah lama,” katanya kepada pemberita selepas Dialog Profesional Muda bersama Penasihat Ekonomi Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata sedemikian dalam responnya terhadap kenyataan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Umno ketandusan golongan profesional cerdik pandai untuk dijadikan ‘winnable candidate’ PRU13.

Mansuh PTPTN

Sementara itu, Anwar berkata Pakatan Rakyat akan melaksanakan proses npemansuhan Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) secara berperingkat.

Katanya, keuntungan pendapatan Petronas melebihi RM90 bilion setahun kemungkinan boleh dijadikan salah satu penyumbang untuk menampung kos pemansuhan RM44 bilion PTPTN.

“Kakitangan PTPTN pula akan diserap masuk ke Kementerian Pengajian Tinggi (KPT),” katanya.

No comments: