January 20, 2010

ANWAR - UMNO CETUS "ALLAH" UTK MUSNAHKAN PAKATAN RAKYAT !


Posted by rakyat marhaen Rabu, 2010 Januari 20

Oleh G. Manimaran
HULU SELANGOR, Jan 20 — Datuk Seri Anwar Ibrahim turun di Bukit Sentosa di sini malam tadi, lokasi dikunjungi presiden Umno Datuk Seri Najib Razak seminggu lalu, dengan mendakwa Umno-BN mencetuskan isu kalimah “Allah” untuk memusnahkan kerjasama dalam Pakatan Rakyat (PR).
“Saya nak cabar Umno malam ini, buktikan yang ini jika tidak betul.
“Isu kalimah Allah ini diadakan untuk tujuan memecahkan DAP dan PAS... sebab itu mereka ingat apabila ada isu ini DAP akan keluar dengan kenyataan menentang (isu kalimah Allah) dan PAS akan membalas, dan akhirnya DAP dan PAS berpecah, maka pecahlah Pakatan Rakyat,” katanya.
Kerjasama PKR-PAS-DAP membentuk PR selepas pilihan raya umum ke-12 Mac 2008.
Tambah beliau, PAS dengan segera telah menyatakan pendiriannya berlandaskan al-Quran bahawa bukan Islam ada dan boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dengan syarat ia tidak disalahgunakan.
“... bahawa kalimah Allah telah digunakan oleh bukan Islam di tanah Arab dan Kristian di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Selain PAS, rakan mereka dalam PR iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga menyatakan pendirian senada dalam isu ini.
Anwar yang juga ketua umum PR berucap di Bandar Bukit Sentosa di sini, tempat di mana pada 9 Jan lalu Umno telah menganjurkan program tiga hari “Umno Juara Rakyat”, yang dirasmikan oleh Najib sendiri.
Kelmarin di Kuantan, Anwar yang juga penasihat PKR mendakwa kontroversi kalimah “Allah” sengaja ditimbulkan oleh Umno untuk menunjukkan bahawa parti itu adalah pejuang Islam yang sebenar.
Ketua pembangkang di Parlimen ini berkata, Umno juga menjadikan isu berkenaan untuk menggugat kepercayaan rakyat kepada parti pembangkang yang kononnya gagal menangani kontroversi tersebut.
Anwar juga mengulangi bahawa penggunaan kalimah “Allah” sudah diguna beribu tahun lalu oleh penganut Kristian di Mesir, malah tiada sebarang masalah timbul berhubung perkara tersebut.
“Saya merujuk kepada ulama Islam dunia iaitu Sheikh Yusuf Al-Qaradawi mengenai perkara tersebut dan beliau sendiri menyatakan bahawa kalimah Allah tidak salah digunakan oleh orang bukan Islam,” katanya.
Kawasan Parlimen Hulu Selangor dikuasai PR menerusi wakil PKR iaitu Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, bekas timbalan menteri Selangor.Bagaimanapun Zainal tidak hadir pada ceramah malam tadi kerana sedang pulih selepas menjalani pembedahan kali ketiga baru-baru ini.
Ceramah di sini malam tadi merupakan persinggahan kedua Anwar yang sebelum itu berucap di Sabak Bernam.
Ia dilihat sebagai sebahagian daripada kempen PKR menjelang kes liwat kedua Anwar yang dijadual bermula Isnin ini.
Ceramah ini akan diadakan di 10 lokasi terpilih di seluruh negara.
Justeru Anwar yang bebas daripada tuduhan pertama enam tahun lalu memberitahu, beliau “bersedia untuk berperang habis-habisan” menghadapi isu tersebut.
Kata Anwar, beliau akan memanggil Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor sebagai saksi apabila kesnya dibawa ke mahkamah.

No comments: