January 14, 2010

KENYATAAN WAKIL PENDUDUK TIDAK BENAR, MEREKA ADALAH EJEN UMNO...

Dari berita yang dipaparkan didalam Sinar Harian hari ini yang menyalahkan pemimpin PKR dan menuduh kenyataan beliau adalah tidak benar dan merupakan satu dari usaha untuk menjatuhkan kepimpinan dan merendahkan pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.
Dari mananya kenyataan itu dikeluarkan dan mengapa setiap kali berita berkenaan bumbung di Bukit Sentosa, wakil yang menjadi ejen UMNO mewakili penduduk, sebenarnya majoriti dari penduduk di perumahan Seri Cempaka/Seri Anggerik sebenarnya amat gembira apabila langkah kerajaan negeri membantu mereka selepas 8 tahun untuk menyiapkan bumbung di 2 blok perumahan sebagai langkah awal untuk menilai kualiti dan struktur bumbung sebelum menyiapkan baki blok-blok yang terlibat (kos kurang dari 300k). Janganlah cepat menuduh kerajaan negeri tidak membuat apa-apa tindakan berkenaan bumbung tersebut. Sebenarnya semua bumbung yang mengalami kerosakan adalah sebahagian dari angkara pemaju berkomplot dengan pemimpin BN sebelum ini (CF kedaikopi). Ini termasuklah PBT yang berkenaan yang mengeluarkan CF kpd pemaju. Kerajaan negeri sedang meneliti langkah seterusnya, setelah 8 tahun boleh bersabar, tunggulah dalam masa terdekat ini, jangan cepat membuat penilaian terhadap keupayaan pentadbiran negeri.
Pihak PKR amat kecewa diatas manipulasi berita hari ini dan suratkhabar ini harus bertanggungjawab diatas berita yang disiarkan. Dimasa lepas, banyak berita yang tidak seimbang dan malahan ruang yang diberikan untuk kerajaan negeri memberikan maklumat dan berita amat mengecewakan didalam halaman SH Hulu Selangor (S24).

Shaiful Anuar Sulaiman
Ketua Penerangan PKR
Cabang Hulu  Selangor

Penduduk berang kenyataan PKR
BUKIT SENTOSA – Sebahagian besar penghuni di 52 blok pangsapuri yang terjejas akibat masalah bumbung di sini berang dengan kenyataan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) cabang ini yang mendakwa, kononnya Perdana Menteri memperoleh maklumat salah daripada pemimpin tempatan berhubung kerosakan bumbung terbabit.
Penduduk juga marah, geram dan kesal dengan kenyataan pemimpin PKR itu yang mengatakan tidak berlaku sebarang perpindahan penduduk daripada kawasan tersebut.
Menurut mereka, pemimpin PKR itu hanya tahu bercakap tetapi tidak menyelidiki terlebih dahulu fakta dan kebenaran mengenainya.
Malah, mereka turut menegaskan bahawa kelibat pemimpin itu langsung tidak pernah kelihatan sama ada untuk tujuan tinjauan atau lawatan penduduk termasuk di dalam program komuniti.
Pengerusi Persatuan Penduduk, Pangsapuri Seri Anggerik 3, Mohd Amin Md Tan, 42, berkata, dia amat terkejut dengan kenyataan itu dan menyangkal sepenuhnya dakwaan kononnya pemimpin tempatan memberikan maklumat salah kepada Perdana Menteri sehingga mengumumkan peruntukan belasan juta untuk membaik pulih bumbung terbabit.
Menurutnya, penyediaan kertas kerja mengenai anggaran kos pembaikpulihan itu adalah atas persetujuan penduduk dan bukan sengaja direka.
“Kami sudah perjuangkan isu ini sejak lapan tahun lalu dan mahukan peruntukan khas bagi membaikinya.
“Tetapi, apabila sudah ada pemimpin yang mahu membantu dan sanggup menyalurkan peruntukan berjuta, ada pula yang iri hati dan dengki.
“Nash (Mohd Nashruddin Abd Aziz) pun tak pernah datang lawat kami atau meninjau masalah bumbung ni, jadi bagaimana dia tahu semua maklumat ini,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.
Amin turut menyangkal kenyataan pemimpin PKR Cabang Hulu Selangor itu yang mengatakan kerosakan bumbung itu berlaku sebelum ada penduduk mendiaminya. Menurutnya, pemimpin itu seolah-olah buta sejarah dan tidak langsung mengambil tahu perkembangan di kawasannya.
Dia turut mencabar pemimpin PKR itu supaya buktikan kebena ran kononnya tiada penduduk terlibat yang berpindah.
“Kalau benar beliau pemimpin yang mengambil tahu masalah penduduk di sini, tahukah beliau, berapa penduduk yang terlibat di Pangsapuri Seri Anggerik 3 ini?
“Kalau nak bukti jelas, Nash pun boleh tanya salah seorang pemimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Hulu Selangor yang menetap di sini, berapa ramai yang sudah meninggalkan pangsapuri ini, ada atau tidak?” katanya.
Menurutnya, penduduk boleh membuktikan berapa ramai yang berpindah dan di mana mereka menetap sekarang.
Amin dalam pada itu melahirkan rasa sedih dan kesal kerana Kerajaan Negeri meletakkan seorang pemimpin seperti itu.
Penduduk Pangsapuri Anggerik 3, Kamazan Mohd Kilau, 49, pula menjelaskan, jumlah peruntukan RM15.6 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu hanyalah anggaran kos pembaikpulihan dan bukan jumlah tepat yang diperlukan.
Malah dia difahamkan, peruntukan itu termasuk kos mengecat semula bangunan lama.
“Peruntukan yang diumumkan hanyalah anggaran dan tidak timbul soal pembaziran kerana kerja pembaikpulihan belum dilaksanakan.
“Bagaimana boleh dikatakan wujudnya pembaziran sedangkan belum ada kerja pembaikpulihan dilakukan,” katanya.
Menurutnya, Nashruddin sepatutnya menyiasat terlebih dahulu perkara itu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang disifatkannya tidak berasas dan hanya tangkap muat.
Kenyataan pemimpin itu juga dikatakan sengaja mahu mengelirukan rakyat.
Setiausaha Persatuan Penduduk, Apartmen Seri Mawar, Abdul Latif Abdullah, 50, menasihatkan pemimpin PKR itu supaya bersikap terbuka dan bersyukur dengan bantuan Kerajaan Pusat menyelesaikan masalah tersebut.
Menurutnya, tidak sepatutnya seorang pemimpin yang dipilih rakyat membelakangi segala masalah rakyat dan tidak mengambil tahu tentang sebarang masalah dihadapi.
“Walaupun kawasan saya tidak terlibat dengan masalah kerosakan bumbung ini, tetapi saya tetap sedih dengan masalah yang dihadapi.
“Dan seandainya ada pemimpin yang sudi membantu, kita perlu mensyukurinya,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk, Pangsapuri Seri Cempaka, Mohamad Zainuddin Yeob, 56, kesal dengan kenyataan Nashruddin yang disifatkannya hanya pandai bercakap dan menabur janji.
Menurutnya, Nashruddin pernah berkunjung ke pangsa- purinya dan berjanji mahu membantu menyediakan peruntukan untuk melaksanakan aktiviti gotong-royong.
“Bagaimanapun, bukan sahaja peruntukan tidak disalurkan, malah kelibatnya juga tidak kelihatan ketika gotong-royong dijalankan.
“Saya berasa cukup marah dengan kenyataannya kerana saya sendiri terlibat dengan perpindahan.
“Bagaimana pula dia boleh cakap, tiada penduduk yang berpindah dan kalau betul, sejak dulu lagi pangsapuri ini rosak, saya pun tidak akan tinggal di sini,” katanya yang terpaksa berpindah ke taman bersebelahan.

No comments: