January 25, 2010

TS KHALID - SELANGOR IKTIRAF WANITA, 40% EXCO WANITA DILANTIK, JADI PEMBUAT DASAR ...


SHAH ALAM, 25 Jan: Kerajaan Negeri Selangor membuktikan hasrat golongan wanita yang selama ini memperjuangkan nisbah 30 peratus sebagai pembuat dasar telah ditunaikan malah melebihi 40 peratus.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, lihat sahaja di dalam saf exco kerajaan negeri sekarang ini, terdapat lebih 40 peratus dari kalangan wanita yang berperanan aktif.
Abdul Khalid menjelaskan demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Wanita Selangor 2010 yang diadakan baru-baru ini Kompleks Belia Selangor, Seksyen 7, dekat sini.
Untuk rekod, terdapat empat tokoh wanita di dalam kepimpinan kerajaan negeri sebagai exco sekarang; Ahli Dewan Negeri (ADN) N30 Kinrara, Teresa Kok memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian Dan Perdagangan, ADN N41 Batu Tiga, Puan Rodziah Ismail (Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi Dan Inovasi).
ADN N45 Selat Kelang, Dr Halimah Binti Ali (Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi Dan Pembangunan Modal Insan) dan ADN N37 Bukit Lanjan, Elizabeth Wong (Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna Dan Alam Sekitar).
Turut berucap dalam majlis itu adalah Penerima Anugerah Omar Al-Khattab 2009 yang berpusat di California, Amerika Syarikat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Exco Wanita Selangor, Puan Rodziah Ismail.
Konvensyen kali ini bertemakan Wanita Berdaya, Harapan Negara - Pemberdayaan Wanita dalam Kepimpinan dihadiri oleh 1,500 kepimpinan wanita di segenap peringkat dalam masyarakat dari seluruh Selangor.
Dalam ucapannya juga, Abdul Khalid berkata, apa yang diamalkan di Selangor bukan berdasarkan kouta tetapi lebih kepada mengenengahkan kebolehan, kemahiran dan pengalaman.
“Bagi saya, kejayaan Negeri Selangor bergantung kepada keupayaan 50 peratus golongan wanita yang ada di negeri ini, justeru itu, mereka wajar mengambil peluang yang terbuka luas sekarang jni dalam bidang ekonomi dan teknologi.
“Kini sebagai sebuah negeri maju, Selangor memasuki bidang sektor perkhidmatan yang tiada diskriminasi antara jantina, tiada beza kebolehan antara lelaki dan wanita, apa yang diutamakan adalah kepakaran dan kemahiran termasuk tenaga berfikir.
Sementara itu, Dr Wan Azizah tidak dapat menahan airmata terharunya apabila diraikan di dalam majlis itu kerana menurut katanya, beliau tidak pernah menangis di hadapan khalayak ramai biar apa pun halangan yang dihadapinya selama ini.
“Tetapi bila melihat semula tayangan peristiwa selama 10 tahun yang dipaparkan tadi, saya tidak dapat menahan perasaan sebak,” ujarnya sambil mengelap airmata dengan tisu.
Sebelum itu, suasana dewan sunyi sepi melihat tayangan multimedia yang memaparkan banyak peristiwa bersejarah sejak 1998 menceritakan detik-detik perjuangannya diiringi lagu berirama syahdu.
Beliau telah dipilih menerima Yayasan Anugerah Omar Al-Khattab berdasarkan perjuangannya membela keadilan dan menegakkan kebenaran di negara ini ekoran ketidak-adilan yang dikenakan ke atas suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim bermula Disember 1998 hingga kini.
Wan Azizah berkata, sebenarnya pihak yayasan itu berhasrat memberikan anugerah itu sejak tahun 2000 lagi tetapi beliau menolak kerana dirasakan perjuangannnya hanya untuk membebas dan membela nama baik keluarga.
Namun setelah didesak berdasarkan maruah dan nama wanita Islam masakini sangat buruk menyebabkan beliau terbuka hati untuk menerimanya kerana menyifatkannya ini adalah ruang beliau berdakwah dan menaikkan nama wanita Islam di mata dunia.
“Saya menerima anugerah ini untuk semua wanita dan bagi pihak seluruh mereka yang terlibat di dalam perjuangan menegakkan keadilan dan kebenaran di mana sahaja mereka berada,” tegasnya sambil diiringi tepukan hadirin.


No comments: