Oleh G. Manimaran
KUALA LUMPUR, Jan 18 — Pada salah satu bekas abu rokok di pejabat setiausaha agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) tertera perkataan “Why Quit?”. Dari sudut tabiat merokok, ia merujuk kepada mengapa hendak berhenti merokok.
Tetapi dalam arena politik ia merujuk kepada sebab setiausaha agung PKR mahu melepaskan jawatannya ketika PKR perlu berjalan jauh.
Soalan mengapa meletakkan jawatan sekali lagi dikemukakan kepada Datuk Salehuddin Hashim (gambar) semasa beliau ditemui di pejabatnya hujung minggu lalu.
Kini, beliau sedang melalui hari-hari terakhir sebagai setiaushaa agung PKR. Walaupun keputusannya untuk meninggalkan jawatan ini sudah diketahui umum manakala pucuk kepimpinan pula sudah menerima keputusannya, sebab dan punca yang menyumbang kepada tindakan Salehuddin masih menjadi bahan perbualan.
Dalam perbualan panjang lebar beberapa hari sebelum pertemuan di ibu pejabat PKR itu, walaupun banyak maklumat yang tidak dapat didedahkan kepada umum, Salehuddin menceritakan pahit manis selama enam tahun bersama PKR — parti politik pertama beliau sertai dalam hidupnya iaitu pada 2004.
Jika begitu keadaannya, apa yang menarik beliau menyertai PKR?
Salehuddin memulakan ceritanya dengan mengatakan bahawa beliau menerima sepucuk surat dari Penjara Sungai Buloh pada tahun 2004. Bermakna beliau diminta oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri agar membantu pihaknya memulih dan memperkukuhkan parti itu selepas mengalami prestasi teruk dalam pilihan raya umum ke-11 pada 2004.
Pada tahun itu PKR hanya memenangi satu kerusi. Presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail sahaja yang mengekalkan kerusi beliau dimenangi pada 1999.
“Pada ketika itu sendiri saya sudah ditawarkan sebagai setiausaha agung... tetapi saya menolak. Jadi, saya diminta agar menjadi setiausaha pengelola,” kata Salehuddin yang sepanjang perbualannya gemar berkata “jangan siarkan” atau “jangan petik yang ini”.
“Apabila PKR kembali pulih dan memperoleh kemenangan lebih baik pada Mac 2008 (sebagaimana dijangkakan), prestasi yang lebih baik, saya pun pergi bercuti di Pulau Pinang.
“Kira-kira sebulan selepas pilihan raya umum ke-12 (sekitar Mac), semasa saya sedang bercuti di Pulau Pinang, saya menerima satu panggilan telefon.
“Panggilan (daripada Anwar) meminta saya menyambung tugas di PKR dan kali ini sebagai setiausaha agung,” kata Salehuddin yang menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim yang menjadi menteri besar Selangor bagi kerajaan negeri Pakatan Rakyat.
Sepanjang enam tahun di PKR Salehuddin jarang-jarang menemui wartawan. Malah beliau sangat jarang memberikan kenyataan media.
Selaku personaliti yang kelihatan bercakap terus-terang dan terbuka apabila memberikan pandangannya menjadi perhatian ramai ekoran pendedahan satu emel, yang secara tidak langsung mengaitkan situasi ‘hubungan tegang’ dalam PKR.
Ia berkaitan dengan emel yang menggambarkan Salehuddin telah menyuarakan rasa tidak puas hati beliau terhadap cara pengurusan ekonomi Khalid khususnya berkaitan dengan pembabitan kroni di Selangor.
Di samping itu, turut dibangkitkan soal isu pinjaman yang dibuat oleh kerajaan negeri Selangor untuk mengambil alih hutang Talam Corp Bhd kepada anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor yang berjumlah RM391 juta.
Anwar, penasihat PKR dan penasihat ekonomi bagi kerajaan Selangor, dua hari selepas Salehuddin memutuskan untuk melepaskan jawatan menafikan desas-desus wujudnya perpecahan dalam parti.
Dalam ulasan yang senada dengan Anwar itu, Salehuddin pula memberitahu: “Mereka (kepimpinan PKR) telah melayan saya dengan baik tetapi tidak tahu bagaimana untuk menggunakan saya.”
“Saya bukan kakitangan... saya adalah urat dan saraf (sekretariat parti),” tambah beliau.
“Saya menganggap kerja ini sesuatu yang serius. Ini adalah amanah,” kata Salehuddin sambil menambah, beliau mempertimbangkan keputusan untuk melepaskan jawatan setiausaha agung, yang mengejutkan ramai pihak, sepanjang lapan bulan lalu.
“Saya fikir, saya muhasabah diri saya sepanjang lapan bulan lalu... adakah saya masih mampu melakukan tugas ini dengan baik, jika tidak apakah patut saya melepaskan kerusi ini kepada orang lain yang lebih berupaya, orang yang lebih muda untuk meneruskan tugas dan tanggungjawab sebagai setiausaha agung,” jelas beliau sambil mengatakan mempunyai latar belakang dan pengalaman memulihkan operasi syarikat-syarikat swasta yang bermasalah.
“Bila sampai masanya saya kena membuat keputusan untuk berundur diri, ini datang dengan amat senang.
“Sekiranya kita memandang ini sebagai satu tanggungjawab dan kerja-kerja amanah, bila saya dapati yang saya tidak dapat lagi mencapai tahap yang saya kira perlu atau orang lain berpendapat saya tidak sampai ke tahap kerja itu, maka wajiblah berundur untuk memberi peluang kepada orang lain.
“Lainlah jikalau jawatan itu dikira pangkat dan berprestij maka sukar hendak melepaskannya,” jelas Salehuddin.
Ada pihak mendakwa beliau melepaskan jawatan setiausaha agung kerana egonya. Menjawab soalan ini, Salehuddin menjawab: “Ya, saya memang kuat ego.”
“Bagaimanapun kita kena membezakan antara kuat ego dan besar ego... kedua-dua ini membawa maksud berbeza, kita kena tahu,” katanya.
Malah Salehuddin juga menafikan beliau meninggalkan jawatan setiausaha agung kerana kecewa tidak mendapat kerjasama dan pandangannya selalu tidak sealiran dengan pemimpin-pemimpin lain dalam PKR.
“Tidak, tidak... saya OK. Saya menerima sokongan yang baik. Memang saya sedikit keras (dalam pendirian dan pandangan),” katanya.
Salehuddin bagaimanapun mengakui ada perkara yang beliau tidak bertahan atau menerima dalam politik negara ini termasuk dalam Pakatan dan PKR sendiri.
“Saya tidak boleh menerima elemen mengistitusikan ketidakjujuran... saya ada orang biasa,” katanya yang turut mengakui menerima tawaran untuk bertanding pilihan raya umum lalu. Beliau menolak tawaran itu sebaliknya memainkan peranan dalam soal kempen untuk anak perempuan Anwar, Nurul Izzah, muka baru yang memenangi kerusi Lembah Pantai.
“Saya tidak berminat dalam politik. Saya berminat untuk memberi khidmat kepada komuniti... saya boleh memberi khidmat mengikut cara ini,” katanya.
Pakatan Rakyat menurut Salehuddin, perlu melakukan sesuatu yang lebih baik tanpa mengulangi kelemahan dan kesilapan yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sepanjang lima dekad pemerintahannya.
“Anda turun gelanggang pilihan raya dengan meminta ‘undilah saya, saya akan membawa perubahan kepada anda’. Jika anda tidak menunaikan apa yang dijanjikan, apa maknanya kepada janji yang dibuat?,” tambah beliau kepada soal pentingnya kejujuran.
“Untuk ini negara perlu bergerak ke depan. Kita memerlukan pembaharuan... ini bukan cerita bila demam kita beri panadol, tapi ini cerita anda memerlukan pembedahan.
“Kita bukan membuat cara lama, tetapi dengan usaha yang lebih baik. Tetapi kita kena membuat dengan cara lain (lebih baik daripada BN). Ini yang dikatakan sebagai reformasi, bukan tukar baju sahaja,” tambah Salehuddin.
Beliau menambah, peranan ahli-ahli politik adalah memastikan wujudnya satu tahap maruah diri dalam masyarakat negara ini.
“Kita perlu berusaha untuk mewujudkan elemen darjat atau maruah diri pada diri setiap orang,” katanya.
Dalam pertemuan ini, Salehuddin masih yakin PKR mempunyai masa depan yang lebih baik daripada sekarang berbanding dengan dua komponen lain dalam Pakatan.
“PAS hanya mempunyai sokongan kumpulan tertentu, itu yang saya rasakan. PAS mempunyai sokongan dalam lingkungan terhad, begitu juga dengan DAP.
“Jadi beritahu saya parti mana yang menikmati sokongan sebahagian besar rakyat negara meliputi semua kaum?” tanya beliau.
Dalam ulasannya, Salehuddin mengakui bahawa PKR perlu memperlihatkan kesungguhan dalam perjuangannya termasuk dalam soal mendisiplinkan kepimpinan dan ahli parti.
Dengan mengambil kira apa yang berlaku dalam parti selepas pilihan raya umum 2004, Salehuddin memberitahu, PKR kelihatan tidak bersungguh-sungguh dalam aspek ini.
“Ambil kes ke atas (Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu) Zulkifli Noordin... apakah tindakan yang diambil oleh kepimpinan parti. Kata siasat, kata hendak ambil tindakan disiplin, akhirnya apa jadi? Tidak ada ketegasan, maksud saya apa jua ketetapan pihak awam mesti jelas dengan ketetapan kita,” katanya.
“Tiada apa-apa tindakan. Orang tertanya-tanya berkenaan tindakan PKR di bawah prinsip tidak bertindak apa yang diperkatakan... ini satu contoh sahaja,” kata beliau yang juga bekas pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).
Apakah PKR mempunyai masa depan tanpa Anwar sebagai ketua umum atau penasihatnya, Salehuddin menjelaskan, “apa yang saya dapat katakan di sini ialah gerakan reformasi yang dimulakan 10 tahun lalu akan berterusan, ia terus mekar walaupun tanpa Anwar... tetapi lebih baik adanya Anwar.”
Anwar, penasihat dan ketua Umum Pakatan Rakyat dijangka berhadapan dengan kes liwat yang keduanya dalam satu dekad hujung bulan ini.
Masa depan negara berada di persimpangan, kata beliau sambil menambah, setiap apa yang berlaku orang suka melihat dari sudut persepsi perkauman.
“Misalnya ambil saja perlawanan bola sepak, jika Malaysia tidak menunjukkan prestasi baik, orang terus kata itu lah dia tiada Cina, tiada India, banyak orang Melayu... kita perlu mengelak benda-benda ini,” katanya.
Mengenai prestasi pembangkang, khususnya PKR, Salehuddin mengakui bahawa beliau memang telah meramalkan kejayaaan yang lebih baik berbanding tahun 1999 dan 2004.
Salehuddin melepaskan jawatannya selepas PKR mengadakan konvensyen khas pertengahan tahun lalu untuk meminda perlembagaan, antara lain membolehkan parti itu mengadakan pemilihan langsung melibatkan ahli akar umbi.
Tugasan besar disusuli dengan konvensyen sulung Pakatan Rakyat pada 19 Dis lalu.
“Pakatan Rakyat telah melakukan yang terbaik... tetapi seharusnya lebih baik daripada apa yang disaksikan,” katanya.
No comments:
Post a Comment