January 06, 2010

Isu Kalimah Allah: PAS memperlihatkan kesederhanaan

Posted by rakyat marhaen

PAS berjaya menampilkan imej yang "sederhana" ketika berdepan dengan kontroversi penggunaan kalimah Allah, berbanding dengan UMNO yang dianggap semakin "ekstrem" posisinya. Malah, pendirian yang diumumkan pada malam 4 Januari, selepas mesyuarat lajnah biro politik PAS itu menerima pujian daripada masyarakat bukan Islam.
PAS mengambil pendirian bahawa "penggunaan nama Allah pada asasnya adalah dibenar untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi", tetapi mengingatkan bahawa "penggunaan kalimah Allah secara salah dan tidak bertanggungjawab mestilah dielakkan", malah "dengan tegasnya ingin menolak sebarang bentuk tindakan agresif dan provokatif jahat yang boleh menggugat keharmonian dan mencetuskan ketegangan masyarakat". 【Kenyataan media PAS】
Pendirian sedemikian bukan sahaja meletakkan satu garis untuk membezakan antara PAS dengan UMNO, malah meletakkan parti komponen Barisan Nasional selain UMNO di satu kedudukan yang agak sukar. Misalnya, MCA dan Gerakan yang selama ini berkempen dengan "melabelkan PAS sebagai parti politik yang ekstrem", kini terpaksa berdepan dengan "sekutu" yang kelihatan lebih ektrem daripada "musuh".
Pujian daripada DAP
Jelas, bahang kontroversi penggunaan kalimah Allah kini cuba "dipadamkan" di media cetak bahasa Cina. Selain hujah Menteri dan pemimpin BN, komen atau pandangan daripada pemimpin Pakatan Rakyat semakin tidak mendapat ruang di dada akhbar Cina.
Misalnya, penilaian positif oleh pemimpin DAP, Lim Kit Siang (gambar kiri) terhadap PAS semalam, berbunyi "PAS memberi sumbangan yang wajar dipuji dalam penyelesaian kontroversi ini" (merujuk kepada pendirian PAS), tidak disiarkan pada hari ini. Malah, kenyataan Nga Kor Ming, ahli parlimen Taiping (DAP) yang membidas UMNO kerana cuba mengalih pandangan daripada kenaikan harga gula dan kehilangan enjin jet dengan isu kalimah Allah, juga tidak disiarkan.
Lebih-lebih lagi, media cetak bahasa Cina mula mengelak daripada menyiarkan sebarang analisa atau pandangan yang dikemukakan kolumnis, pemerhati politik dan sebagainya. Pendek kata, dalam isu kalimah Allah, media cetak bahasa Cina lebih "berwaspada", dengan memaparkan kenyataan daripada menteri dan pemimpin BN.
Parti komponan BN terasa bahang
Walau bagaimanapun, seandainya diperhatikan di laman internet, pendirian PAS ini disambut secara positif oleh bukan muslim. Misalnya, pemerhati politik, Jason Leng Kek Mun mempersoalkan "Siapa yang lebih ekstrem sebenarnya?"
Dalam blognya, Jason menulis "PAS digambarkan sebagai ekstrem, konservatif, kolot dan fanatik oleh MCA dan Gerakan," sebelum mempertikaikan, "kalau dilihat kontroversi kalimah Allah yang berlaku kebelakangan ini, siapa sebenarnya yang memainkan isu ini? Siapa yang membuat kecoh? Siapa yang menghasut?"
Malah, Jason memanjangkan kepada bebrapa isu yang berlaku beberapa tahun kebelakangan, "Siapa yang mengugut untuk membakar Dewan Perhimpunan?(Isu Suqiu) Siapa yang kata bukan Melayu mengancam Melayu? Siapa yang menjulang keris tanpa mempedulikan perasaan kaum lain?"
Beliau memberi jawapannya di akhir tulisan tersebut, iaitu UMNO. Malah, beliau sempat untuk mengusik MCA dan Gerakan, dengan dakwaan bahawa realiti ini hanya tidak difahami oleh kedua-dua parti komponan BN ini.
Khalid Samad dipuji
Sementara itu, pendirian Mursyidul Am PAS, Nik Aziz Nik Mat dan pemimpin kontroversial, Khalid Samad (ahli parlimen Shah Alam-PAS) turut mendapat penilaian baik daripada masyarakat bukan Islam. Menurut temuramah Malaysiakini edisi bahasa Cina dengan beberapa tokoh agama dan pemerhati politik, Nik Aziz dan Khalid Samad dipuji kerana menampilkan imej yang memperlihatkan "keterbukaan".
Ahli parlimen Bukit Bendera-DAP, Liew Chin Tong juga memberi pujiannya kepada PAS, bahawa ramai antara pemimpin PAS yang menafsir soal agama dari perseptif yang lebih luas, dan bukannya melihat isu dari perspektif perkauman yang sempit.
Selain itu, Pengarah Eksekutif Institut Kajian Dasar (IKD), Khalid Jaafar (gambar kiri) juga mengganggap bahawa pendirian PAS ini adalah berdasarkan al-Quran. Ketika ditemuramah therocknews, laman internet bahasa Cina, Khalid Jaafar memuji pendirian PAS yang membenarkan bukan muslim untuk menggunakan kalimah Allah, menunjukkan bahawa PAS mendefinisi maksud Quran dengan tepat.
Khalid Jaafar juga membidas kejahilan UMNO dalam isu ini, dan menganggap UMNO akan mencungkil ketidakpuasan rakyat seandainya meneruskan tindak tanduk sedemikian.
*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu.

No comments: