January 11, 2010

YB ISKANDAR - SEWA PPR TERTUNGGAK LEBIH RM3,500 AKAN DIBANTU KERAJAAN NEGERI

PANDAN INDAH - Ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU) dan mereka yang berpendapatan isi rumah kurang dari RM750 sebulan boleh melangsaikan sewa tertunggak rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dengan membuat kerja khidmat masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Negeri, Iskandar Abdul Samad berkata, garis panduan mengenai perkara berkenaan sudah siap dan ia akan dilaksanakan 1 Mac ini.
Katanya, skim yang diumumkan tahun lalu itu hanya dibuka kepada mereka yang mempunyai tunggakan sewa lebih dari RM3,500 sebulan.
“Kerja khidmat masyarakat yang sudah dikenal pasti adalah mengendali dan menguruskan pusat aduan dan penerangan yang akan dibuka, menyertai ‘Neighbourhood Watch’ atau ‘Pemantauan Kejiranan’ dan mengendalikan kelas-kelas kemahiran atau pendidikan untuk penduduk,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Beliau berkata, peserta skim perlu melakukan khidmat tersebut untuk masa yang ditetapkan sebelum sewa mereka dilupuskan.
“Mereka boleh memilih hari dan waktu bekerja sendiri untuk melakukan kerja-kerja khidmat masyarakat ini. Bagaimanapun, skim ini adalah hanya untuk sewa tertunggak sebelum Januari 2010.
“Tunggakan sewa selepas tarikh itu tidak boleh dibayar melalui kerja-kerja khidmat masyarakat,” katanya.
Menurutnya, dengan adanya skim ini juga ia dapat meningkatkan aktiviti kemasyarakat di kawasan PPR yang terbabit.



No comments: