June 03, 2008

Pendapat ......Dr M setia pada Dr ST Hasmah sajer.

Secara terus terang saya melihat tindakan Dr M yang keluar UMNO itu adalah tindakan terakhir beliau untuk melihat pengaruh beliau dalam UMNO dan di kalangan orang Melayu. Kenyataan beliau dalam media yang menyelitkan kekesalan beliau berhubung sikap orang-orang UMNO dulunya sanggup mencium tangannya ketika beliau menjadi PM tetapi sekarang bersikap tidak lagi menghormatinya adalah antara bukti saya berkata demikian.Dr M terkenal sebagai seorang yang pintar memilih situasi untuk diambil kesempatan. Kepintaran ini biasanya ‘diaktifkan’ lagi dengan suatu tekanan yang memaksa beliau bertindak secara nekad. Kenekadan ini diistilahkan beliau sebagai satu tindakan berani yang harus diambil untuk menyelamatkan UMNO dari terus lemah.Kalau dulu ketika beliau masih berkuasa beliau akan gunakan apa sahaja yang difikirkan boleh menyelamatkan keadaan untuk diambil tindakan. Isu tindakan memfitnah bekas timbalan beliau, Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah antara rentetan tindakan yang dibuat Dr M tanpa melihatnya melalui kanta etika, moral dan peri kemanusiaan. Ini semua tidak ada dalam diari kepimpinan beliau dan seperti kata Abdullah, Dr M tidak peduli itu semua.Namun sekarang Dr M tidak lagi berkuasa, lebih malang lagi apabila Abdullah tidak pernah mengindahkan pandangan beliau. Beliau tersisih dan ditempatkan di sebuah yayasan‘rumah orang-orang tua’ di hujung pelusuk di Putrajaya. Dr M sekarang merasakan dirinya terancam. Bermula dengan pembebasan Anwar Ibrahim kini isu pemecatan bekas-bekas hakim, isu Video Linggam, isu ketuanan Melayu dan raja-raja, isu Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris dan beberapa lagi isu yang dianggap sengaja dilakukan Abdullah untuk memerangkap beliau sedang mula dihidupkan Abdullah.Sekiranya beliau tidak bertindak segera maka lebih banyak lagi perangkap yang akan dimuntahkan Abdullah dan akan menjadi pengetahuan umum. Justeru Abdullah perlu di‘luputkan’ dari penjajahan minda dalam diri Dr M. Hidup atau matinya watak Abdullah dalam kerjaya politik Dr M dilihat segalanya tidak memihak kepada dirinya. Andai dibiarkan Abdullah yang lemah ini akan menyebabkan pembangkang bersama Anwar Ibrahim menguasai negara. Melihat Anwar menjadi PM adalah penglihatan yang dianggap ‘amat menjijikkan dalam sejarah pemandangan’ Dr M selain mimpi ngeri yang akan menanti. Anwar memaafkan atau membalas dendam terhadap apa yang telah dilakukan ke atasnya dulu, tidak membawa apa-apa erti lagi kerana ia bermaksud Dr M adalah lemah, kalah dan tewas. Sedang itu semua tidak pernah wujud dalam kamus hidup Dr M.Nak harapkan Najib yang dianggapnya penakut dan selalu ‘play safe’ itu untuk lawan Abdullah, jangan haraplah. Najib dibesarkan dengan pinggan emas, mana ada darah kepahlawanan macam Hang Jebat. Mahyuddin ‘boleh tahan’ tapi hangat-hangat tahi ayam dan mudah ikut arus, retorik pun boleh tahan juga. Jadi tidak ada hulubalang yang berdarah panglima yang memihak pada Dr M. Dulu nampak ramai tapi bila beliau dah turun takhta semuanya belot sebab nak bolot jawatan dan harta. Sekarang terkial-kial bersendirian. Namun Dr M tentu sahaja telah menduga kesan tindakan yang akan berlaku pada UMNO dan diri beliau sendiri berhubung tindakan keluar parti yang diumumkan ini. Beliau tidak bimbang tentang sejarah kemahsyuran beliau ketika memerintah negara kerana semua ‘tugu-tugu’ yang terbina ketika beliau memerintah tercegat di depan mata dan rakyat serta seluruh dunia pun tahu.Dalam soal keluarga pula mungkin anaknya Mukhriz agak sukar untuk menang kalau bertanding Ketua Pemuda. Ini pula akan membuka laluan menantu Abdullah, Khairi Jamaluddin menang mudah. Shaziman Mansur pula yang juga sepupu Khairi boleh berlakon pelbagai watak untuk memenangkan Khairi. Lagi pun Shaziman cepat naik jadi menteri pun dek kerana Khairi yang memberi jalan pada Abdullah. Takkan Shaziman nak tikam belakang Khairi. Calon lain dalam pemuda memang tak nampak nak sekat Khairi kalau Hishamuddin tak pertahan. Hishamuddin pun seorang pemimipin yang penakut macam sepupunya Najib juga.Kesan dalaman parti mungkin ada dan mungkin tidak berapa jelas. Justeru ini yang memerlukan penilaian. Tindakan beliau mengalih tumpuan media berhubung isu keluar dari UMNO ini sememangnya dijangkakan hangat dan memeranjatkan banyak pihak termasuk Abdullah.Dr M berharap tindakan ini akan menyebabkan rakyat menekan Abdullah melepaskan jawatan. Bila Abdullah melepas jawatan, beliau berjaya mematikan’ usaha Abdullah memerangkap beliau dengan pelbagai isu yang boleh mengaibkan beliau. Najib sekiranya terpilih menggantikan Abdullah adalah anak didik Dr M yang sama-sama berkongsi ‘saham’ menginggeriskan Sains dan Matematik 5 tahun lalu. Pada masa dilaksanakan dua subjek itu dalam Bahasa Inggeris, Najib adalah Menteri Pelajaran.Mungkin apa yang diharapkan Dr M juga sekiranya Najib naik menggantikan Abdullah, Najib perlu bertindak menghapuskan pengaruh Pakatan Rakyat (PR) terutamanya Anwar Ibrahim. Jangan sampai Anwar berjaya ‘memujuk’ ahli-ahli parlimen BN menyertai PR dan seterusnya berjaya membentuk kerajaan. Ini paling bahaya. Secara ‘reverse’nya pula tindakan Dr M keluar parti ini akan merangsang lebih ramai ahli UMNO meninggalkan parti itu dan menyertai pembangkang. Atau pun boleh merangsang dan mempercepat lebih ramai ahli-ahli Parlimen BN berpaling tadah dan menyertai PR. Andai ini perkiraan Dr M maka jelaslah bahawa isu-isu yang sedang didedahkan Abdullah untuk memerangkap beliau menjadi faktor utama beliau mengambil tindakan keluar parti. Namun dalam hal ini Dr M boleh menggunakan plan ‘B’ dengan menyertai mana-mana parti pembangkang atau komponen lain BN selain UMNO seperti Gerakan yang mula membuka keahlian kepada orang Melayu. Lagi pun masih ramai orang Cina yang menyokong beliau. Menyertai PAS juga dilihat sebagai mesej peralihan paradigma pemikiran beliau kepada orang Islam. Ia juga boleh ditafsirkan sebagai isyarat memohon maaf atas pelbagai tohmahan yang dilempar kepada PAS sebelum ini. Lagi pun orang PAS mudah memaafkan orang. Apa lagi penyertaan beliau yang tentunya akan memberi imej baru kepada PAS. Lagi pun bila DR M ada dalam PAS, Anwar tidak akan lagi bermusuh dengan beliau kerana PAS ada dalam PR. Kini selepas mengisytihar keluar parti, Dr M akan menjadi pemerhati dan penilai akan ‘power’ yang masih berbaki pada diri dan pengaruh beliau, baik di kalangan pemimpin UMNO maupun komponen dalam BN. Beliau juga sedia maklum pihak pembangkang akan mula mendekati beliau untuk menyertai mereka dan ini akan menjadikan Abdullah semakin tertekan.Dalam keadaan ‘last kopek’ kerjaya politik Dr M ini usaha Abdullah untuk melenyapkan kemasyuran beliau di mata rakyat telah menjadikan Abdullah sebagai musuh nombor satu. Bersama UMNO atau tidak bukan lagi pertimbangan beliau bila berhadapan dengan musuh. Secara peribadi saya meragui Dr M adalah seorang patriotik sejati pada parti dan orang Melayu kerana seorang pejuang tulen tidak akan membakar kelambunya disebabkan marahkan nyamuk. Justeru apabila sanggup keluar parti tentunya sanggup pula pergi ke parti lain atau menubuhkan parti baru. Namun usia lanjut Dr M mungkin tidak mendorongkan beliau menubuhkan parti baru, walaupun tidak mustahil. Apatah lagi Dr M seorang yang tinggi retorik politik dan bijak berhelah untuk menghalalkan cara. Dan satu perkara yang saya hanya percaya pada Dr M ialah beliau memang amat setia pada isterinya, Dr Siti Hasmah.

SU: tunggu dan lihat

No comments: